Penagih dadah ancam nyawa ahli keluarga, disimbah cat antara cabaran penguat kuasa AADK


  • Massa
  • Jumaat, 06 Sep 2024

AADK akan cuba membantu sekurang-kurangnya dalam tempoh 24 jam selepas menerima aduan.

DENGAN peningkatan jumlah penagih dadah dalam enam tahun kebelakangan ini, cabaran dihadapi Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) bagi menghadapi isu penyalahgunaan dan penagihan dadah semakin kompleks.

Bermula program pencegahan, rawatan dan pemulihan sehingga ke cabang penguatkuasaan, tiga komponen agensi berkenaan mempunyai cabaran dalam menguruskan masalah dadah yang masih belum selesai.

Jika laporan sebelum ini Majoriti menyoroti alternatif seperti Rawatan Pemulihan Bergerak (MRT) yang digunakan oleh pihak AADK untuk merawat klien, kali ini cabaran di bahagian penguatkuasaan pula menjadi tumpuan.

BACA LAGI: Konon mampu beri tenaga, air ketum punca hidup graduan universiti di Selangor musnah

BACA LAGI: AADK serius tangani masalah mental akibat penagihan dadah, wujud Puspen khas di Johor

Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Keselamatan AADK, Azmi Mustapa, yang diberi kepercayaan memikul tugas penting itu selama empat tahun tidak menafikan pelbagai situasi sudah dilaluinya.

Antara tiga cabaran besar yang dihadapi oleh Azmi sepanjang berkhidmat sebagai 'kepala kantor' dalam bahagian penguatkuasaan ialah sikap melindungi orang tersayang, mob psikologi dan logistik.

Menurutnya, sikap terlalu menyembunyi perangai sebenar ahli keluarga bagi mengelak timbulnya persepsi yang boleh menjejaskan imej di mata masyarakat juga perlu dihadapi dalam sesetengah situasi.

"Apabila AADK nak mengesan aktiviti penyalahgunaan dadah, keluarga jadi halangan kerana malu anak jadi penagih misalnya.

"Jika sampai satu peringkat yang dianggap mengancam keharmonian keluarga, barulah mereka (ahli keluarga) mengajukan masalah kepada AADK melalui platform yang kita sediakan," katanya kepada Majoriti ketika ditemui baru-baru ini.

Jika menyentuh topik cabaran kedua iaitu mob psikologi dalam konteks di bawah pengaruh dadah pula, ia merupakan tindakan luar kawalan yang boleh dilakukan oleh seseorang individu sehingga timbulnya kekerasan.

WhatsApp Image 2024-09-04 at 16.07.46

Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Keselamatan AADK, Azmi Mustapa.

Menurutnya, mob psikologi ini akan berlaku sebagai tindak balas jika golongan penagih tahu mereka akan dibawa AADK untuk menjalani rawatan.

"Bila diadu tanpa pengetahuan, mereka ini akan mengelak daripada ditangkap. Maklum sajalah apabila terlibat dengan dadah, akan ada tindak balas fizikal dan sebagainya.

"Apabila diambil oleh pegawai untuk menjalani rawatan, sudah tentu ada rejection dan mungkin mob psikologi timbul.

"Kita juga menghadapi kes-kes cubaan membunuh keluarga. Apabila terlibat dengan dadah, ia boleh melibatkan kes jenayah. Ia juga satu cabaran bagaimana kita nak tenangkan keluarga dan menenteramkan klien," ujarnya.

Tidak dapat dinafikan, Azmi juga pernah berpengalaman menyaksikan anak-anak buahnya mendapat ancaman seperti rumah disimbah cat dan ugutan-ugutan jika berurusan dengan klien yang mempunyai kaitan dengan tokan dadah.

123

Rumah disimbah cat antara ancaman yang diterima kakitangan AADK.

Bukan hanya diuji dengan sikap keluarga mahupun tindakan luar jangka klien, Azmi juga berkongsi bahawa ujian dari segi logistik untuk membantu si pengadu juga antara cabaran terbesar bahagian penguatkuasaan.

"Kadang-kadang masyarakat bila mengadu dia nak cepat kan? Tapi ia proses yang memerlukan masa dan kita nak pastikan juga maklumat itu adalah tepat.

"Ada aduan yang kita terima, kadang-kadang tidak tepat. KPI kita menyasarkan untuk jawab dalam tempoh 24 jam sehingga tiga hari. Kita cuba yang terbaik supaya cepat bertindak. Kita nak menyesuaikan antara tempoh 24 jam sehingga dua hari itu," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram