BEKAS bintang Manchester United, Cristiano Ronaldo membidas bekas pengurusnya, Erik ten Hag yang disifatkan terlalu negatif dalam memberi komen selain mendesak pasukan itu supaya membuat rombakan besar-besaran.
Dalam satu podcast bersama Rio Ferdinand yang merupakan bekas rakan sepasukannya, pemain Al-Nassr terbabit beranggapan skuad The Red Devils sepatutnya memberi saingan dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).
Ini selepas pengurus dari Belanda berkenaan berasakan kelab tersebut perlu meletakkan cita-cita tinggi di peringkat domestik dan Eropah, terutamanya setiap kali beraksi dalam Liga Juara-Juara UEFA (UCL).
BACA LAGI: Pemilik Manchester United ada sebab tak pecat Ten Hag
BACA LAGI: Dikecewakan arkitek Sepanyol, Liverpool lega Luis Diaz tak jadi pergi Manchester

Ten Hag terus diberikan tekanan atas tempoh tidak menentu di Manchester United. — Agensi
"Jurulatih tidak sepatutnya berkata mereka tidak boleh berentap untuk menjuarai EPL dan UCL. Sebagai pengendali Manchester United, anda tidak boleh berfikiran negatif dan beranggapan sukar bersaing.
"Dari segi mental, mungkin anda boleh katakan mereka tidak memiliki peluang, tetapi tidak sepatutnya meluahkannya secara terbuka. Anda perlu cuba dan terus mencuba," katanya.
Ten Hag kini berada dalam tekanan setelah hanya meletakkan skuad The Red Devils di kedudukan kelapan EPL musim lalu selain pulang awal dari kempen UCL.
Bagaimanapun, kekecewaan itu diubati dengan kejayaan dalam kempen Piala FA yang membolehkan pengendali berusia 54 tahun tersebut kekal untuk tahun ketiganya bersama skuad The Red Devils.
Dalam pada itu, Cristiano Ronaldo yang baru sahaja mencipta rekod dengan menjaringkan gol ke-900 peribadinya berkata, dia masih mengharapkan hal terbaik buat Manchester United.

Cristiano Ronaldo menjulang tiga gelaran EPL bersama Manchester United. — Agensi
"Apa yang saya harapkan untuk kelab ini adalah untuk mereka menjadi yang terbaik. Saya masih sayangkan pasukan ini, saya bukanlah seseorang yang mudah melupakan masa lalu," katanya.
Kapten skuad antarabangsa Portugal itu dikenali ramai selepas menyertai Manchester United pada 2003 dan kekal selama enam tahun di kelab England berkenaan sebelum berkelana ke Real Madrid.
Sepanjang tempoh tersebut, pelbagai kejayaan dikecapinya termasuk menjulang satu gelaran UCL, tiga kejuaraan EPL dan beberapa trofi lain di peringkat domestik.
Tidak lama selepas itu, Cristiano Ronaldo mengumumkan kepulangannya ke Stadium Old Trafford pada 2021 pada usia 37 tahun, namun gagal membawa impak diharapkan buat pasukan itu.
Kini, memasuki penghujung kariernya, pemenang lima anugerah Ballon d'Or itu beraksi di Arab Saudi bersama Al Nassr dengan pelbagai rekod terus dipecahkannya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
