[VIDEO] Budaya 'cilok' penunggang motor di Eropah boleh jadi contoh di Malaysia


  • Massa
  • Rabu, 11 Sep 2024

Undang-undang 'lane splitting' untuk penunggang motosikal yang perlu diperhalus dan diperketatkan di Malaysia. — Gambar hiasan/Agensi

TINDAKAN 'mencilok' di jalan raya seakan-akan menjadi satu budaya terutamanya dalam kalangan penunggang motosikal.

Perbuatan 'mencilok' atau digelar sebagai lane splitting adalah apabila penunggang menggunakan laluan di antara dua kenderaan untuk memotong barisan sebagai jalan pintas.

Sikap pengguna jalan raya sedemikian secara tidak langsung mendorong kepada peningkatan kes kemalangan.

BACA LAGI: Penutup lubang selenggara tak rapat, wanita tak sedarkan diri lepas motor tercampak 4 meter di Ipoh

BACA LAGI: Tambah stesen, guna peranti mudah alih bantu pengguna EV jimat masa pengecasan penuh

6269565707494735382

Kadar kematian meningkat kebanyakannya melibatkan penunggang motosikal. — Gambar hiasan/Agensi

Berdasarkan laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia 2021, kadar kematian jalan raya Malaysia jauh lebih tinggi berbanding negara lain iaitu sebanyak 22.5 peratus.

Manakala, dalam pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia 2022 diterbitkan Kementerian Pengangkutan melaporkan, purata kematian tahunan adalah sebanyak 6,540 dalam tempoh sedekad dan 60 peratus kematian direkodkan sepanjang tempoh itu melibatkan penunggang motosikal.

Situasi penunggang motosikal melakukan lane splitting itu sememangnya biasa dilihat terutamanya pada waktu puncak atau di kawasan perindustrian.

Ia juga bukanlah satu tindakan selamat dan amat berisiko untuk berlaku kemalangan atau pelanggaran dalam apa jua keadaan.

Sama seperti kemalangan berlaku melibatkan seorang pekerja kilang yang maut digilis lori treler selepas cuba memotong kenderaan terbabit di Lebuh raya Utara Selatan (arah Selatan) dekat Bandar Casia, Pulau Pinang pada Julai lalu.

Rentetan itu, terdapat beberapa buah negara yang mengetatkan undang-undang khusus pada perbuatan tersebut seperti United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS).

the-highway-code-rule-159-min

'Lane splitting' dibenarkan dengan mematuhi syarat-syarat tertentu. — Gambar hiasan/Agensi

Di UK, amalan itu tidak menyalahi undang-undang tetapi ia tetap dikawal ketat oleh Kod Lebuhraya dan Undang-Undang Lalu Lintas bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya lain.

Terdapat beberapa peraturan yang perlu dipatuhi oleh penunggang untuk 'mencilok' iaitu menunggang secara berhati-hati, memeriksa cermin sisi, titik buta dan melihat keadaan trafik semasa.

Penunggang motosikal juga perlu menggunakan laluan kecil antara dua lorong itu pada kelajuan yang rendah iaitu tidak melebihi 15 hingga 20 kilometer perjam.

Di AS pula, kebenaran menukar menggunakan lorong di garisan putih itu hanya dibenarkan di California dan Minessota.

Meskipun begitu, sikap penunggang motosikal di negara terbabit dilihat masih tidak menunjukkan trend perubahan drastik.

Menerusi video dimuat naik seorang warga Malaysia yang menetap di AS, terdapat beberapa penunggang tetap mengambil langkah selamat dengan tidak memotong kenderaan lain.

Dalam video itu, kelihatan seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi mengekalkan jaraknya dengan kereta di hadapan di lorong yang sama.

Perkara itu bagaimanapun dilihat bukan sahaja mengurangkan risiko motosikal bergesel dengan kenderaan lain, tetapi ia secara tidak langsung membuatkan pengguna lain berasa selamat.

"Aku sebagai pemandu kereta rasa selamat sebab tak adalah kena perhatikan motosikal ‘cilok’ kiri kanan," tulis pemilik akaun Facebook Saif Suhairi.

Meskipun di Malaysia tiada akta atau undang-undang tetap berhubung lane splitting, ia tidak membenarkan mana-mana penunggang menunggang motosikal secara berbahaya.

Sikap dan tanggungjawab golongan itu yang lebih penting sebagai langkah berjaga-jaga mengurangkan risiko kemalangan di jalan raya.

Justeru, terdapat pelbagai cadangan dan saranan yang sering dilontarkan terutamanya kepada pihak Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk memberi pendedahan awal tentang peraturan berkenaan terutamanya di dalam kelas memandu.

Pendekatan itu juga boleh disertakan di dalam Kurikulum Pendidikan Pemandu (DEC) dengan menjelaskan kepada pelajar waktu dan lokasi tertentu yang membolehkan pertukaran lorong digunakan bagi mengurangkan kekeliruan atau konflik sekiranya berlaku kemalangan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram