KENDERAAN elektrik atau electric vehicle (EV) kini lebih lebih mendapat perhatian apabila ia mula dipasarkan di Malaysia sejak 2022.
Menerusi statistik rasmi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), jumlah EV di negara yang dijual untuk enam bulan pertama pada 2024 mencecah 10,664 kenderaan lebih dua kali ganda berbanding 2023.
Tahap penggunaan kenderaan itu juga dilihat semakin menunjukkan momentum pertumbuhan konsisten terutamanya dalam pasaran negara dengan 2.6 peratus daripada jumlah pendaftaran pada separuh pertama 2024.
BACA LAGI: 'Pengangkutan awam masih kurang memuaskan tapi dah nak fokus kereta EV'
BACA LAGI: [VIDEO] Sering dilanda banjir, penduduk Pantai Timur boleh 'pujuk' kerajaan tiru inovasi pod kapsul

Penggunaan kenderaan EV yang semakin diperluaskan di Malaysia. — Gambar hiasan
Menurut penganalisis RHB Investment Bank Bhd pada Julai lalu, penggunaan EV model BYD Dolphin lebih tinggi iaitu sebanyak 41 peratus yang terjual berbanding Tesla dengan 29 peratus.
Malaysia juga mempunyai lebih 10,000 kenderaan EV yang dijual pada harga serendah RM99,900.
Selain memberi kelebihan dalam penjimatan kos membeli petrol, EV sekali gus menjadi alternatif bagi pengguna mengurangkan pencemaran alam sekitar.
Menariknya tentang EV adalah ia tidak menggunakan enjin untuk bergerak malah, langsung tiada sebarang pengeluaran asap serta gas berbahaya seperti karbon dioksida.
Ciri itu secara tidak langsung mampu menyediakan keselesaan yang lebih kepada penggunanya menjalani pemanduan dengan lancar dan senyap tanpa menyebabkan pencemaran bunyi.
Model tersebut turut memberi kelebihan buat individu gemar memandu secara santai dan tidak mahu berbelanja banyak pada minyak atau petrol.

Kereta EV sesuai untuk individu yang mahu melakukan perjalanan secara santai. — Gambar hiasan/Agensi
Bagaimana pula dengan masa pengecasan bateri yang perlu diambil untuk melakukan perjalanan jauh?
Berbeza dengan kereta diisi petrol, EV mungkin memerlukan masa lebih lama iaitu sekurang-kurangnya 20 minit untuk mencapai cas penuh dengan pengecas pantas arus terus.
Sama seperti yang dialami seorang pengguna EV di Malaysia ketika mengecas keretanya di sebuah stesen minyak di sekitar kawasan Rehat dan Rawat R&R di Gambang, Pahang.
Menerusi video dimuat naik di akaun Instagram @yes_iman, masa yang diambil untuk mengecas penuh keretanya adalah selama lebih 30 minit.
Manakala, pengguna kereta biasa hanya mengambil masa tidak lebih lima minit untuk mengisi minyak petrol.
Namun, hal sedemikian sebenarnya boleh diatasi dengan memperbanyakkan lagi lokasi pengecasan khusus untuk kereta EV seperti stesen minyak yang ada di setiap kawasan termasuk di luar bandar.
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) sebelum ini menyatakan bahawa jumlah stesen pengecas EV melebihi 2,000 setakat Februari lalu.
Namun, Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz memaklumkan, pihaknya menyasarkan sebanyak 10,000 stesen EV yang boleh beroperasi di negara ini menjelang 2025 bagi memudahkan, melancarkan dan mempercepatkan proses mengecas kereta.
Dalam usaha memajukan infrastruktur EV Malaysia, sebanyak 14 Pengecas Super dan 26 Pengecas Destinasi ditempatkan di Selangor.
Beliau bagaimanapun berkata, Tesla kini dalam perancangannya untuk mengembangkan rangkaian pengecasan dengan menambah kemudahan baharu di beberapa lagi lokasi seperti Kuantan, Pahang; Pulau Pinang, Putrajaya dan Kuala Lumpur pada 2024.
Usaha itu sekali gus dapat mengurangkan kebimbangan pengguna EV mengecas kereta untuk melakukan perjalanan jauh.
Ia juga mungkin akan menjimatkan masa iaitu kurang 20 minit walaupun tidak mencapai pengecasan penuh kerana boleh mencari stesen sama dalam tempoh singkat atau jarak yang pendek.
Bukan itu sahaja, pengguna EV juga boleh mempertimbangkan untuk membuat pengecasan di rumah dengan membeli alat pengecas EV mudah alih berserta kotak dindingnya.

Pengguna boleh menggunakan peranti pengecasan EV mudah alih di rumah. — Agensi
Alat tersebut yang boleh dipasang di garaj rumah itu pada masa sama memberi kelebihan untuk mengecas EV tanpa had serta boleh dilakukan sesuai dengan jadual pengguna.
Rangkaian ketika mengecas di kediaman kebanyakannya juga beroperasi pada tahap kelajuan sebanyak 240 voltan.
Pun begitu, pengecasan di rumah sesuai buat individu yang tidak terburu-buru kerana masa yang diambil untuk mendapatkan bateri penuh adalah kira-kira lapan hingga 13 jam.
Justeru, penggunaan kenderaan EV masih perlu dipertingkatkan terutamanya daripada aspek penjimatan masa serta kebolehan mencapai rangkaian pengecasan dalam tempoh sekejap seperti kereta petrol.
Ia juga membuatkan lebih ramai rakyat Malaysia untuk menggunakan kenderaan EV selari dengan aspirasi kerajaan untuk membantu negara mengurangkan subsidi petrol buat jangka masa panjang.
Untuk rekod, MITI pada Februari lalu pernah mengemukakan cadangan 'One-Time Subsidy' khusus buat pemilikan kenderaan EV dalam usaha menggalakkan perkembangan industrti tersebut.
Cadangan tersebut bagaimanapun sedang diperhalusi dan dipertimbangkan oleh Kementerian Kewangan dan masih belum diputuskan oleh kerajaan setakat ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
