MENJADI satu hal yang menyeronokkan bagi 'kaki motor' untuk mengikuti perjalanan jarak jauh bersama rakan-rakan konvoi mereka.
Merasai angin bertiupan sewaktu berada di jalan raya menjadikan pengembaraan sebagai satu kenangan yang tidak mampu dilupakan.
Pengalaman hebat itu malah menjadi memori terindah terutama apabila mengenang kembali setiap detik-detik yang dilalui.
BACA LAGI: Dari kelas belakang ke 'selempang pink' UiTM, kreativiti pasangan kembar pikat pengguna TikTok
Norehan sewaktu muda menaiki motosikal 1992 Kawasaki.
Itulah perasaan yang mampu digambarkan tentang seorang wanita, Norehan Desa yang sudah mengembara banyak kawasan di dalam dan luar negara.
Setakat ini, Norehan sudah pernah menunggang motosikal di seluruh negeri dan juga di negara luar seperti Eropah, Jepun, Balkan, Morocco dan Kemboja.
Anak jati Baling, Kedah berkata, dia sanggup meredah laluan yang sukar kerana miliki minat yang mendalam terhadap hobi itu sejak zaman persekolahan.
"Daripada saya tingkatan 3 lagi sudah bawa motosikal pergi dan balik sekolah. Walaupun sewaktu itu tiada lesen lagi, tetapi saya suka bawa motosikal," katanya.
Norehan menunggang motosikal sewaktu berada di Eropah.
Mengimbau kenangan lama, Norehan berkata, dia miliki motosikal pertama, Kawasaki Kips adalah sewaktu habis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
"Waktu itu, SPM saya dapat keputusan yang bagus... Jadinya saya minta ibu belikan motosikal pertama kerana parent saya memang dari dahulu sudah nampak yang saya miliki minat mendalam terhadap dunia permotoran," katanya kepada Majoriti.
Tidak hanya itu, ibu kepada tiga orang anak itu berkata, dia dikelilingi dengan rakan-rakan yang turut memiliki minat yang mendalam terhadap pengembaraan menggunakan motosikal.
"Biasa saya akan terbang ke luar negara dan sewa motosikal di negara yang saya kunjungi itu. Saya memang ada kawan-kawan yang tahu tempat untuk sewa di luar negara.
"Saya ride kebiasaannya dengan rakan. Suami saya baru sahaja meninggal pada 19 Mei lepas.
"Suami saya dahulu kerja sebagai polis, jadinya dia tidak dapat mengikuti saya untuk menunggang motosikal bersama kerana kekangan kerja," katanya.
Norehan menunggang motosikal di Morocco, Afrika Utara.
Bagaimanapun, sokongan terkuat yang dilontarkan kepada dirinya untuk meneruskan hobi ekstrem itu adalah cinta hatinya, Othman Mohamed Said.
"Walaupun dahulu suami tak ikut tetapi dia beri saya 100 peratus kepercayaan. Dia cakap dengan saya untuk pergi ke mana sahaja yang saya suka asalkan jaga diri dan jaga maruah," katanya.
Selain itu, anak-anaknya juga memberi sokongan penuh kepadanya untuk meneruskan hobi 'mahal' itu.
"Anak saya beritahu supaya saya teruskan minat saya. Anak-anak tak mahu saya susah hati atau bersedih dengan kehilangan ayah mereka," katanya.
Gemar mengembara dengan menunggang motosikal, tercedera menjadi suatu perkara yang normal bagi dirinya kerana sudah melalui hal itu berkali-kali.
"Kadang-kadang motosikal sahaja yang jatuh, kadang-kadang dengan saya sekali jatuh kerana kita rasa tempat itu dah stabil... tetapi rupanya tanah tak rata," katanya.
Perjalanannya bersama rakan-rakan menunggang motosikal dari Jakarta ke Bromo.
Menceritakan detik kecederaan, kaki kiri wanita berusia 50 tahun itu juga pernah patah akibat menunggang motosikal sewaktu berada kawasan Bromo, Indonesia pada November 2023.
Norehan berkata, sewaktu itu, dia menyewa motosikal CRF Honda di Jakarta untuk mengembara ke Bromo bersama 10 rakannya dari Malaysia dan empat lagi orang Indonesia yang memimpin pengembaraan mereka.
"Untuk naik ke Bromo guna motosikal ada laluan hutan yang orang panggil sebagai laluan tikus. Hanya orang tertentu sahaja yang tahu. Biasanya orang naik Bromo guna kenderaan pengembaraan Jeep 4X4 akan melalui jalan yang lain," katanya.
Norehan sewaktu menunggang motosikal di Indonesia.
Norehan bersyukur apabila mampu menaiki Bromo dengan berjaya, namun dia mengalami kecederaan sewaktu dalam perjalanan pulang dari Bromo.
"Dari muda tak pernah patah kaki, Dah tua baru patah kaki. Sewaktu itu dah habis ride mahu hantar motosikal dah tetapi tiba-tiba cedera.
"Saya masuk hospital di Malang, Indonesia. Mereka mahu saya jalani pembedahan di sana tetapi saya minta pulang untuk buat pembedahan di Pulau Pinang," katanya.
Bagaimanapun, kecederaan itu tidak menghalang Norehan untuk tetap aktif meneruskan minatnya itu.
"Alhamdulillah sekarang saya sudah okay. Bulan 10 dan 12 pun saya ada program motosikal di Thailand," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram