Pertaruh Coach Haizan di Mahkota, PN dilabel harap populariti pemain bola sepak, ulang skrip seperti Radhi, Baddrol Bakhtiar


  • Politik
  • Rabu, 11 Sep 2024

Mohamad Haizan (tengah) dipilih bagi mewakili PN untuk bertanding pada PRK DUN Mahkota, pada 28 September ini.

PERIKATAN Nasional (PN) mempertaruhkan bekas pemain bola sepak Johor, Mohamad Haizan Jaafar bagi mewakili gabungan parti itu untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.

Perkara itu diumumkan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin di hadapan jentera parti di Bilik Gerakan Utama PN DUN Mahkota di Kampung Melayu, Kluang, Johor, pada Selasa malam.

Hamzah berkata, bekas jurulatih bola sepak daerah Kluang yang lebih dikenali sebagai Coach Haizan itu merupakan anak jati Layang-Layang, Renggam, dengan kelulusan Diploma Kecergasan dari Universiti Putra Malaysia (UPM).

BACA LAGI: Dah sah bergelar YB, 3 manifesto realistik buat Baddrol Bakhtiar untuk warga Gurun

BACA LAGI: PN makin bergolak menjelang PRK DUN Nenggiri?

Disifatkan sebagai figura yang amat dikenali ramai dan mendapat sokongan semua kaum, bekas jurulatih berusia 61 tahun itu juga pernah menerima Anugerah Cemerlang Perkhidmatan Awam pada 2002 dan 2016 ketika bertugas sebagai pembantu sukan.

Pemilihan muka baharu yang menjadi taruhan PN itu nyata meraih perhatian dalam kalangan banyak pihak, apatah lagi dengan statusnya sebagai bekas pemain bola sepak negara.

WhatsApp Image 2024-09-11 at 11.36.15

Bekas pemain itu disifatkan sebagai figura yang amat dikenali ramai dan mendapat sokongan semua kaum.

Jika diimbas kembali pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah tahun lalu, gabungan parti di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu turut meletakkan dua bekas pemain bola sepak negara sebagai calon mereka.

Ternyata percaturan tersebut membuahkan hasil apabila kedua-duanya berjaya menewaskan calon Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya lalu.

Baddrol Bakhtiar yang juga bekas ketua pasukan Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Sabah FC, memenangi kerusi DUN Gurun dengan memperoleh 17,771 undi, manakala Muhamad Radhi Mat Din yang juga legenda bola sepak Kedah, mengalahkan Pengerusi PH Kedah, Datuk Mahfuz Omar di DUN Alor Mengkudu.

Justeru, tidak hairanlah jika PN sekali lagi sebulat suara meletakkan bekas pemain bola sepak negara sebagai calon mereka di Mahkota.

Bagaimanapun, menjengah ke ruangan komen di media sosial Facebook khususnya, rata-rata warga maya dilihat meninggalkan pandangan yang pelbagai berhubung pemilihan Mohamad Haizan.

Antaranya pengguna Facebook dengan nama akaun Mohammad Mhd berpendapat bahawa PN seolah-olah hanya mengharapkan populariti yang dimiliki pemain bola sepak negara untuk meraih perhatian pengundi.

"Harap populariti pemain bola sepak. Bukan semua orang layak pikul tanggungjawab (sebagai) YB (Yang Berhormat).

"Mungkin nak cuba taktik meletakkan Baddrol di Gurun, siapa tahu menjadi di Mahkota, tapi yang di Kedah, manifesto pun tiada," tulisnya.

badrol

Baddrol (tengah) memenangi kerusi DUN Gurun pada PRK tahun lalu, dengan memperoleh 17,771 undi.

Selain itu, ujar Ekul Ajam, bekas pemain bola tidak mempunyai pengetahuan mendalam mengenai langkah pembangunan negeri yang sewajarnya.

"Asyik-asyik bekas pemain bola. Kalian ingat mereka reti nak bangunkan negeri ke?

"Niat mereka nak menang dan menarik anak-anak muda sahaja, tapi bab membangunkan negeri rasanya tak boleh pergi jauh mana pun, Kedah ada dua bekas pemain, menang-menang sunyi sepi," tulisnya.

Untuk rekod, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRK DUN Mahkota pada 28 September ini, manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 14 dan 24 September.

Pilihan raya ini diadakan susulan kematian penyandangnya, Allahyarhamah Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram