SEJARAH baharu tercipta apabila bekas pemain bola sepak negara, Baddrol Bakhtiar diangkat menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) bagi kawasan Gurun selepas disahkan memenangi kerusi kawasan itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang diadakan pada 12 Ogos lalu.
Baddrol Bakhtiar bukanlah nama asing dalam arena bola sepak negara. Dia yang merupakan bekas ketua pasukan Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Sabah FC mengejutkan banyak pihak susulan keputusannya untuk menamatkan karier sebagai pemain bola sepak baru-baru ini.
Malah, tindakan beraninya untuk terjun ke dalam dunia politik dan bertanding sebagai calon mewakili Perikatan Nasional (PN) di DUN Gurun mendapat reaksi yang pelbagai.
Ada yang menyokong, namun tidak kurang juga yang mempersoalkan kredibilitinya untuk menjadi pemimpin di kawasan berkenaan.
Namun rakyat sudah pun memilih, keputusan rasmi pada Sabtu menyaksikan Baddrol berjaya memenangi kerusi DUN Gurun selepas meraih 17,771 undi menewaskan pencabarnya, wakil daripada Pakatan Harapan (PH), Mohammed Firdaus Johari (11,187) dengan majoriti 6,584 undi.
Bagaimanapun, kejayaan tidak datang bergolek buat anak jati kelahiran Kedah itu apabila dia menerima kritikan hebat pada awal tempoh berkempen.
Baddrol sebelum ini mencuri tumpuan banyak pihak susulan responnya berhubung manifesto yang dianggap kurang bijak.
Ketika ditanya soal manifesto yang bakal disajikan olehnya buat penduduk di Gurun, bekas pemain tengah skuad Harimau Malaya itu menepis pertanyaan tersebut dengan meminta orang ramai untuk mengundinya terlebih dahulu sebelum boleh memaklumkan visinya di kawasan itu.
Bagaimanapun, tindakan itu dilihat memakan dirinya sendiri apabila semakin banyak pihak yang menyifatkan bukan sahaja tidak mempunyai prinsip, malah dia tidak menunjukkan watak pemimpin yang berpotensi di Gurun.
Meskipun dikecam, bekas ketua pasukan Kedah itu kekal tampil mempertahankan dirinya dengan mengatakan bahawa tindakan itu adalah untuk mengelak dirinya daripada menabur janji-janji manis kepada penduduk.
Justeru, dengan kemenangannya dalam PRN kali ini, Baddrol kini perlu mempersiapkan manifesto yang realistik untuk rakyat Kedah terutama penduduk Gurun agar keputusan memilihnya sebagai wakil rakyat tidak berakhir sia-sia.
Berikut Majoriti senaraikan tiga cadangan manifesto yang boleh dipertimbangkan oleh YB Baddrol.
1. Memberi peluang pekerjaan
Baddrol perlu memastikan anak-anak muda di Gurun menerima akses pekerjaan yang baik.
Dalam suasana ekonomi yang mencabar ketika ini, peluang pekerjaan pastinya menjadi antara isu utama yang sering dibangkitkan rakyat terutamanya dalam kalangan anak muda.
Baddrol perlu memastikan anak-anak muda di Gurun menerima akses pekerjaan yang baik, dan dalam masa sama membantu memudahkan mereka membina kerjaya untuk masa depan yang lebih cerah.
Ia sekali gus membuka ruang untuk anak-anak negeri Jelapang Padi itu untuk menabur bakti dan berkhidmat di negeri berkenaan.
Malah, ia juga sejajar dengan tawaran manifesto yang diumumkan PN untuk rakyat Kedah yang mana gabungan parti itu akan menyediakan lebih 100,000 peluang pekerjaan berdaya saing dalam tempoh 30 tahun melalui pelaburan dan pelaksanaan projek berimpak tinggi.
Ia termasuk projek yang telah dirancang oleh kerajaan seperti di Bandar Raya Getah Kedah (KRC), Kedah Aerotropolis, dan Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP).
2. Meningkatkan kemudahan asas pendidikan dan fasiliti sukan di Gurun
Baddrol juga perlu menitikberatkan soal kemudahan asas pendidikan dan fasiliti sukan di kawasannya.
Selain peluang pekerjaan, Baddrol juga perlu menitikberatkan soal kemudahan asas untuk pendidikan dan fasiliti sukan di kawasannya.
Hal ini kerana, dalam membina generasi bijak pandai pada masa hadapan, kawasan tersebut perlu mempunyai prasarana (infrastruktur) yang baik.
Ini termasuk menyediakan kemudahan persekitaran berkualiti kepada pelajar dan pihak sekolah sebagai asas kepada pembangunan modal insan seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani, sahsiah mahupun intelek.
Selain daripada itu, sebagai seorang pemain bola sepak yang juga boleh dianggap ikon sukan negara, Baddrol mungkin boleh menyediakan fasiliti sukan bagi menggilap bakat anak muda di kawasan tersebut.
3. Menjadi YB yang mudah diakses rakyat
Baddrol perlu sentiasa turun padang untuk mendalami masalah rakyat di Gurun.
Sebagai pemimpin yang diberi mandat oleh rakyat, Baddrol perlu menjuarai hati penduduk dengan sentiasa berada dekat dengan mereka.
Rakyat mahukan pemimpin yang berjiwa rakyat dan mudah untuk didampingi serta diakses.
Dia juga hendaklah mewujudkan ruang dan platform untuk rakyat berhubung bagi mendapatkan maklumat serta bantuan.
Dengan sentiasa turun padang atau berada di pejabatnya akan memudahkan penduduk setempat meluahkan permasalahan yang dihadapi di daerah mereka.
Apatah lagi, statusnya kini yang bukan lagi bergelar pemain bola sepak dilihat akan memudahkan dirinya untuk fokus pada isu-isu penduduk di kawasannya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram