Kempen PRK Nenggiri: Muhyiddin didakwa di Mahkamah Gua Musang pada Selasa


  • Massa
  • Isnin, 26 Ogos 2024

Chegu Bard (kanan) memaklumkan mengenai pendakwaan yang bakal dihadapi Muhyiddin (kiri) akan dibuat di Mahkamah Gua Musang pada Selasa. — Facebook/Badrul Hisham

BEKAS Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan didakwa di mahkamah pada Selasa di bawah Akta Hasutan berikutan ucapannya pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri sebelum ini.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) dan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu akan didakwa pukul 8 pagi di Mahkamah Sesyen Gua Musang, Kelantan berikutan dakwaan menghina institusi diraja semasa PRK tersebut.

Perkara itu dimaklumkan oleh Ahli Jawatankuasa Penerangan BERSATU, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegu Bard menerusi hantaran di Facebooknya pada Isnin.

BACA LAGI: Sejam beri keterangan, Muhyiddin serah beberapa dokumen termasuk 115 SD kepada polis

BACA LAGI: Setiausaha Sulit Tengku Mahkota Pahang buat laporan polis terhadap Muhyiddin

2870205

Menurutnya, pendakwaan menggunakan akta tersebut adalah bertujuan untuk membuktikan apa yang diperkatakan Muhyiddin betul dan bukan didakwa kerana fitnah atau menipu.

Terdahulu, Muhyiddin disiasat polis selepas laporan dibuat berhubung video tular semasa kempen terbabit.

Dalam video itu, Muhyiddin, dilihat seolah-olah mempersoalkan keputusan Yang Di-Pertuan Agong ke-16 untuk melantik Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15.

Video itu telah mendapat kecaman pelbagai pihak termasuk Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Susulan itu laporan polis dibuat terhadap Muhyiddin sebelum beliau hadir memberi keterangan di Bukit Aman pada Rabu lalu dengan menegaskan tiada sebarang unsur menghina institusi diraja dalam ucapannya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram