PN makin bergolak menjelang PRK DUN Nenggiri?


  • Politik
  • Ahad, 14 Jul 2024

PN dijangka menampilkan calon daripada BERSATU bagi menghadapi PRK DUN Nenggiri.

SELEPAS berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap pada Sabtu lalu, Perikatan Nasional (PN) kini mempunyai satu lagi misi baharu yang penting untuk dijayakan.

Kali ini, gabungan berkenaan akan sekali lagi turun untuk mempertahankan kerusi miliknya di DUN Nenggiri yang terletak di Kelantan.

Sama seperti kerusi DUN Sungai Bakap, kerusi yang terletak di Parlimen Gua Musang ini juga merupakan kerusi yang baru sahaja berjaya dimenangi PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang berlangsung pada Ogos tahun lalu.

BACA LAGI: Protes keluar Dewan ketika persidangan Parlimen budaya politik tak sihat

BACA LAGI: Enam MP bekas ahli BERSATU jadi wakil rakyat Bebas, kedudukan dalam Dewan Rakyat ditentukan Speaker

Bagaimanapun, peluang gabungan tersebut untuk mengekalkan kerusi berkenaan dilihat agak cerah dengan mengambil kira sentimen semasa yang dilihat tidak menyebelahi parti komponen Kerajaan Perpaduan yang bakal bertanding iaitu Umno.

Bagaimanapun, PN dilihat dihantui dengan sedikit pergeseran antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan PAS ketika proses pemilihan calon.

Ia selepas kepimpinan akar umbi bagi kedua-dua parti di kawasan tersebut dilihat secara terbuka menyatakan kemahuan untuk bertanding dan meletakkan calon di kerusi berkenaan yang terletak di bawah Parlimen Gua Musang.

Perkembangan tersebut berlaku di sebalik kenyataan awal Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 28 Jun lalu yang memaklumkan BERSATU akan menghantar calon bagi pilihan raya kecil itu.

Perikatan Nasional chairman Tan Sri Muhyiddin Yassin described the asset declaration made by several candidates contesting in GE15 is just a political gimmick. — THOMAS YONG/The Star

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Tidak sampai sehari selepas kenyataan itu, beberapa pemimpin PAS Gua Musang secara terbuka menyatakan harapan mereka supaya calon daripada parti terbabit diberikan laluan bertanding pada PRK berkenaan.

Alasan yang digunakan berhubung cadangan itu adalah bagi menangani kebimbangan kemungkinan berlakunya peralihan sokongan sekiranya wakil BERSATU diletakkan.

Yang terawal menyatakan hasrat tersebut ialah Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Gua Musang, Mohd Habidin.

Ia kemudiannya disusuli kenyataan dengan nada serupa oleh beberapa pimpinan lain iaitu Yang Dipertua PAS Gua Musang, Azman Ahmad dan Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM), Nuridah Mohd Salleh.

Malah, pada minggu lalu, Azman mengesahkan PAS Gua Musang menghantar tiga nama untuk dipertimbangkan mewakili PN pada PRK DUN Nenggiri.

Susulan daripada itu, perkembangan tersebut turut menarik perhatian pemimpin BERSATU Kelantan yang tampil memberikan komen berhubung perkara tersebut.

Ketua BERSATU Kelantan, Kamaruddin Md Nor dalam satu laporan mengingatkan PAS bahawa parti berkenaan turut memiliki 'macam-macam rekod' melibatkan insiden pemimpinnya yang bertindak berpaling tadah daripada parti.

Beliau turut memetik peristiwa perpecahan dalaman PAS yang membawa kepada keluarnya sebahagian besar pemimpin parti itu bagi membentuk parti baharu iaitu Parti Amanah Negara (AMANAH).

Perang mulut antara kedua-dua pihak itu bagaimanapun agak sedikit reda pada Jumaat selepas Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengesahkan bahawa kerusi berkenaan akan kekal ditandingi oleh BERSATU.

Beliau turut menafikan bahawa timbulnya isu perebutan kerusi di antara kedua-dua parti berkenaan bagi pemilihan calon PRK Nenggiri.

Perikatan Nasional chairman Tan Sri Muhyiddin Yassin (centre) speaking during the press conference with other leaders at Glenmarie Hotel & Golf Resort last night. — IZZRAFIQ ALIAS/The Star

PN baru pertama kali bertanding sebagai sebuah gabungan dalam PRU15 yang diadakan pada 2022.

Pada masa sama, Muhyiddin pada Sabtu turut memaklumkan bahawa BERSATU akan menggunakan logo PAS bagi mempertahankan kerusi berkenaan.

Di sebalik penafian kepimpinan tertinggi kedua-dua parti berkenaan di peringkat pusat, isu pergeseran di peringkat akar umbi antara PAS dan BERSATU bukanlah sesuatu yang baharu.

Namun pada kali ini, perkara itu dapat dikesan lebih jelas selepas kedua-dua pemimpin parti di peringkat kawasan secara terbuka menyatakan perbezaan pendapat mereka di ruang awam.

Pada masa sama, situasi tersebut juga dilihat secara langsung mendedahkan mengenai konflik yang berpotensi timbul antara kedua-dua parti dalam kerjasama antara kedua-dua parti itu yang disifatkan masih lagi berusia 'setahun jagung'.

Seorang pemimpin PAS tampil melahirkan kekhuatirannya berhubung dengan maslah yang bakal timbul daripada isu pemilihan calon berkenaan.

Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin berkata, perkara itu sekiranya tidak diselesaikan dengan baik dibimbangi akan memberi kesan terhadap PN pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) akan datang.

Untuk rekod, PN yang ditubuhkan dan terdiri daripada dua parti komponen utama PAS dan BERSATU ditubuhkan pada Februari 2020.

Sejak kira-kira lebih empat tahun tempoh penubuhan, ia sudah mengharungi satu PRU pada 2022 dan satu PRN yang diadakan pada tahun lalu bersama beberapa siri PRK.

PRK DUN Nenggiri diadakan susulan daripada kekosongan kerusi tersebut pada 19 Jun lalu oleh Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Ia selepas penyandangnya, Mohd Azizi terhenti keahlian daripada BERSATU ekoran tindakannya yang gagal untuk melahirkan ikrar taat setia kepada parti.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Gua Musang sebelum itu merupakan salah seorang daripada enam wakil rakyat BERSATU yang berpaling dan menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tarikh penamaan calon dan pengundian awal PRK DUN Nenggiri ditetapkan masing-masing pada 3 Ogos dan 13 Ogos manakala hari pengundian pada 17 Ogos. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram