MANTAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tampil memberi kerjasama kepada pihak polis berhubung ucapannya yang dikatakan menghina institusi Diraja semasa kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri.
Berkata menerusi media sosialnya, Muhyiddin mengatakan dia sudah memberikan kenyataan kepada pihak polis pada Rabu selama sejam dengan menegaskan tiada sebarang unsur menghina institusi Diraja dalam ucapannya.
Malah, Muhyiddin mengatakan dia tiada niat untuk berbuat demikian.
BACA LAGI: Peguam masih di Thailand, rakaman percakapan Muhyiddin ditunda Rabu
BACA LAGI: Setiausaha Sulit Tengku Mahkota Pahang buat laporan polis terhadap Muhyiddin
"Ucapan saya langsung tidak mempunyai niat untuk menghina institusi Raja di negara ini. Ia adalah ucapan kempen pilihan raya di mana saya menyatakan fakta-fakta mengenai penubuhan kerajaan selepas PRU-15 secara sepintas lalu, dan kemudiannya menceritakan mengenai kesusahan hidup rakyat disebabkan dasar-dasar kerajaan yang menekan mereka.
"Namun begitu, terdapat pihak yang telah memutarbelit ucapan saya termasuk menyunting video ucapan saya dengan niat untuk memfitnah kononnya saya telah menghina Kebawah Duli Yang Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-16, Al-Sultan Abdullah dan menghasut rakyat supaya membenci Raja," kata Muhyiddin.
Ahli Parlimen Pagoh itu mengatakan yang kepada pihak polis yang tuduhan itu adalah berniat jahat dan tidak benar sama sekali.
Muhyiddin memberitahu yang perkara tersebut sudah lama berlaku dan dia tidak berniat untuk mengajak rakyat membenci atau menghina institusi Diraja.
"Dalam kenyataan saya kepada pihak polis hari ini (Rabu) saya telah menjelaskan tuduhan tersebut adalah tidak benar sama sekali dan berniat jahat. Saya hanya menyatakan fakta mengenai 115 Akuan Berkanun Ahli-Ahli Dewan Rakyat yang memberikan kepercayaan kepada saya untuk dilantik sebagai Perdana Menteri selepas PRU-15.
"Tidak ada sepatah perkataan pun dalam ucapan saya yang menghina Raja atau mempertikai keputusan Yang Di-Pertuan Agong pada masa itu.
"Perkara ini pun telah berlaku hampir dua tahun yang lalu dan sepanjang tempoh itu saya tidak pernah menghasut atau mengajak rakyat untuk menghina atau membenci institusi Raja Berperlembagaan di negara ini.
"Saya juga tidak pernah menuntut untuk dilantik sebagai Perdana Menteri. Malah, pada 24 November 2022, saya telah mengeluarkan kenyataan mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri Ke-10," ujarnya.
Selain memberikan kenyataan, Muhyiddin turut menyerahkan beberapa dokumen kepada pihak polis seperti dua pucuk surat daripada YDPA ke-16 meminta mana-mana Ahli Dewan Rakyat yang mendapat sokongan majoriti Ahli-Ahli Dewan Rakyat yang lain untuk menjadi Perdana Menteri menghantar Akuan-Akuan Berkanun kepada Istana Negara.
Malah, dia turut menyerahkan 115 akuan berkanun daripada ahli Dewan Rakyat, surat akuan penerimaan akuan berkanun daripada pihak istana serta dokumen-dokumen lain yang berkaitan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram