SULTAN Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah tidak dapat menahan rasa sebak ketika menyampaikan titah mengenai perkahwinan anakanda baginda, Tengku Puteri Raja, Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah bersama FD Idzham FD Iskandar.
Titah baginda itu terhenti seketika kerana Sultan Abdullah tidak mampu menahan air matanya mengenangkan bakal 'melepaskan' puteri kesayangannya untuk membina rumahtangganya sendiri.
Dalam sebak itu, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah menyambung semula titah tersebut supaya ia dapat dihabiskan. Memasuki penghujung titah, Sultan Abdullah menghabiskannya.
BACA LAGI: Sultan Pahang berjiwa rakyat, kurnia rumah baharu keluarga dirempuh treler di Pekan
BACA LAGI: Sejam beri keterangan, Muhyiddin serah beberapa dokumen termasuk 115 SD kepada polis
"Semoga majlis yang diadakan ini akan berjalan lancar penuh keberkatan dan diredai Allah serta ikatan perkahwinan yang bakal terbina akan kekal (baginda mengesat air mata dan meminta Tengku Hassanal menyambung titah) ...baca ini.
"...akan kekal hingga ke jannah, insya-Allah. Di samping itu juga, marilah bersama-sama kita berdoa agar negeri Pahang Darul Makmur serta rakyatnya akan terus dipelihara dan dilindungi Allah SWT," titah yang dibacakan Tengku Mahkota Pahang.
Baginda bertitah demikian pada Majlis Perasmian Masjid Al-Falah Perkampungan Sungai Isap 2 dan Doa Selamat Bersempena Istiadat Perkahwinan Diraja pada Selasa.
Perkahwinan diraja, Tengku Afzan bersama pasangannya akan berlangsung pada 22 hingga 25 Ogos serta akan dipentaskan secara langsung bertempat di Tasek Kotasas dan Padang MBK 1, Kuantan.
Melihat kepada sebaknya Sultan Abdullah 'melepaskan' anaknya untuk membina mahligai bahagia, ia turut mendapat perhatian warganet.
Warganet melihat apa yang dirasai Sultan Abdullah saling tidak tumpah dengan bapa-bapa di luar sana yang gugur air matanya melihat anak mahu melangsungkan perkahwinan.
"Begitulah perasaan bapa-bapa bila anak perempuannya nak berkahwin. Perlu serah tanggungjawab dan amanah pada suami. Memang sebak," kata warganet menggunakan nama Lily Chantik.
"Jauh di lubuk hati seorang ayah, berat nak melepaskan anak perempuan," komen Jarum Tanpa Benang.
"Betapa tinggi kasih Sultan Abdullah kepada anakanda Tengku Afzan," ujar Aquamem pula. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram