Padah ikut lelaki tak guna, 2 wanita dicekup bersubahat curi kabel di Ampang Jaya


  • 112
  • Isnin, 09 Sep 2024

Polis merampas sebuah kenderaan pacuan empat roda yang terlibat di dalam kejadian mencuri kabel di Taman Bukit Teratai dekat Ampang dan dan beberapa alatan memotong kabel milik suspek.

POLIS menahan empat individu termasuk dua wanita kerana disyaki mencuri kabel di Taman Bukit Teratai dekat Ampang, Kuala Lumpur pada Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, dalam kejadian pukul 2.30 pagi, pihaknya terserempak dengan beberapa individu yang telah menarik kabel disyaki untuk dicuri.

"Kesemua suspek yang menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda bertindak melarikan diri apabila menyedari kehadiran pihak polis.

"Kenderaan suspek tersebut bertindak mengundur lalu melanggar bahagian hadapan kenderaan MPV dan melarikan diri," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

BACA LAGI: 'Uncle masih ingat saya?', bekas polis Sandakan sebak ditegur mangsa nahas 31 tahun lepas

BACA LAGI: [VIDEO] Seorang maut, 3 parah angkara potong 'double line' di Pontian

Mohd Azam berkata, polis telah mengejar kenderaan dinaiki suspek sejauh 200 meter, sebelum kenderaan itu melanggar pembahagi jalan di persimpangan masuk Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dan hilang jejak.

"Namun, polis berjaya memberkas kesemua suspek berusia 21 hingga 32 tahun di sekitar kawasan Kajang, pada keesokan hari (Rabu).

"Polis turut merampas sebuah kenderaan pacuan empat roda yang terlibat di dalam kejadian tersebut dan beberapa alatan memotong kabel," katanya.

Tambah beliau lagi, semakan lanjut dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau.

"Kesemua suspek telah direman selama empat hari sehingga Sabtu lalu.

"Dua suspek masih ditahan bagi membantu siasatan kes kecurian kabel, manakala dua wanita telah dibebaskan dengan jaminan polis," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram