[VIDEO] Seorang maut, 3 parah angkara potong 'double line' di Pontian


  • 112
  • Isnin, 09 Sep 2024

Keadaan kereta mangsa yang remuk teruk selepas terlibat dalam kemalangan di Jambatan Sungai Ayer Baloi dekat Pontian pada Ahad malam.

GARA-GARA sifat pentingkan diri dan kecuaian orang lain, seorang lelaki maut dalam nahas tiga kenderaan di Jambatan Sungai Ayer Baloi dekat Pontian, Johor pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mohammad Shofee Tayib berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melibatkan kemalangan tersebut pukul 7.45 malam.

"Kemalangan maut itu melibatkan empat buah kenderaan jenis Proton Wira, kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire, Perodua Axia dan Proton Saga.

BACA LAGI: 'Uncle masih ingat saya?', bekas polis Sandakan sebak ditegur mangsa nahas 31 tahun lepas

BACA LAGI: Bukan mudah urus klien HIV, perlu sensitif dan bermain emosi — Pengarah Puspen

"Hasil siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila MPV dari arah Pontian menghala ke Benut berkenaan bergesel dengan Proton Saga yang berada dihadapannya lalu hilang kawalan sebelum masuk ke laluan bertentangan dan melanggar Proton Wira dan Perodua Axia yang berada di laluannya.

"Akibat daripada kemalangan tersebut, pemandu Proton Wira mengalami kecederaan parah di kepala dan badan.

"Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala mangsa penumpang hadapan dan dua penumpang belakang mengalami kecederaan parah menerima rawatan di Hospital Pontian," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Tambah beliau lagi, pemandu Toyota Vellfire serta penumpang hanya mengalami kecederaan ringan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang mana jika disabitkan kesalahan penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun serta denda RM20,000 hingga RM50,000 dan hilang kelayakan memegang lesen memandu selama tempoh tidak kurang lima tahun.

"Orang ramai diingatkan supaya sentiasa peka dan mematuhi undang-undang serta peraturan-peraturan yang telah ditetapkan demi menjaga keselamatan bersama semasa di jalan raya.

"Sekiranya ada saksi berkaitan kejadian kemalangan ini, sila tampil di Pejabat Trafik Ibu Pejabat Polis Pontian atau hubungi Inspektor Aiman Faiz Bin Jusoh di talian 011-26561677 untuk membantu siasatan," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram