'Jangan mudah putus asa', belajar di UiTM bukan sekadar menghafal, Atiyah kongsi tips kejayaan sarung selempang 'pink'


  • Massa
  • Sabtu, 07 Sep 2024

Atiyah berjaya merangkul Anugerah Naib Canselor dalam Istiadat Konvokesyen UiTM ke-99 di UiTM Shah Alam, Selangor pada Selasa lalu.

KEJAYAAN tidak datang bergolek, segala pencapaian perlukan usaha dan pengorbanan setimpal.

Tidak sia-sia berpenat lelah, impian menyarung selempang merah jambu menjadi realiti bagi seorang graduan Fakulti Pengurusan Perniagaan di Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Graduan wanita bernama Atiyah Khalidah Kamal Ariffin merupakan lepasan jurusan Ijazah Sarjana Muda Kepujian Fakulti Pengurusan Perniagaan (Insurans) yang menerima Anugerah Naib Canselor pada sidang kedua Istiadat Konvokesyen UiTM ke-99 di UiTM Shah Alam, Selangor pada Selasa lalu.

BACA LAGI: [VIDEO] Sambutan kemerdekaan beri motivasi, semangat patriotik buat generasi muda kenang perjuangan wira negara

BACA LAGI: Ajar Rukun Negara seawal peringkat prasekolah, pupuk semangat perpaduan

6257884435831701655

Atiyah Khalidah Kamal Ariffin

Tidak lokek berkongsi tentang kejayaannya itu, Atiyah tidak melihat sesuatu cabaran atau dugaan sebagai alasan untuk tidak meneruskan pembelajaran.

Konsep belajar

Menurutnya, setiap halangan yang berjaya ditempuh adalah satu proses perlu dinikmati oleh setiap pelajar sebelum menamatkan pengajian.

"Para pelajar sebenarnya yang ditakuti adalah ketika peperiksaan untuk lulus atau gagal.

"Jika memahami konsep apa yang diajar oleh para pensyarah, secara tidak langsung, kita bukan sekadar menghafal tetapi memahami secara mendalam," katanya.

Menggunakan pengalamannya selaku Presiden Program Insurans (RAIS) pada sesi 22/23, Atiyah menjadi lebih matang ketika mengharungi pengajian meskipun berdepan dengan pelbagai ujian sebelum menamatkan perjalanannya dengan cemerlang.

ulangkaji

Fokus dalam kelas antara cara sering digunakan oleh Atiyah ketika dalam kelas. — Gambar hiasan/Agensi

Baginya, fokus di dalam kelas antara perkara penting serta faktor utama membantunya menjadi seorang pelajar yang disenangi oleh pensyarah.

Atiyah berkata, setiap ilmu diperolehi di dalam kelas terutamanya dalam bidang yang diambil perlu difahami dengan teliti untuk diaplikasikan ke alam pekerjaan.

"Ini kerana, ilmu itulah akan dibawa keluar dalam industri, saya juga sentiasa cuba untuk ulang kaji sendiri.

"Bila sertai program RAIS, saya selalunya selalunya memang akan manfaatkan masa yang ada semasa dan selepas kelas," jelasnya.

Keluarga, pensyarah, rakan jadi pendorong

Atiyah juga berkongsi caranya berkomunikasi dengan pensyarah setiap kali mahu mendapatkan penjelasan tentang subjek dipelajarinya.

Pelajar juga disarankan agar tidak perlu berasa takut atau gentar untuk menjadikan warga pendidik itu sebagai rujukan utama mereka.

Jelasnya, para pensyarah sememangnya sangat berlapang dada membantu setiap pelajar mendalami sesuatu ilmu itu.

kobu-agency-7okkFhxrxNw-unsplash-1024x683

Sokongan orang sekeliling menjadi dorongan utama dalam kejayaan Atiyah. — Gambar hiasan/Agensi

Di samping itu, kejayaan Atiyah juga tidak dapat disangkal apabila menerima sokongan dan dorongan daripada keluarga terutamanya ibu bapa sepanjang pengajiannya.

"Sokongan daripada ibu bapa adalah sumber utama saya. Disebabkan ibu seorang Ketua Jabatan di UiTM Shah Alam dan semasa saya terima ijazah pula ibu menggalas tanggungjawab sebagai Timbalan Rektor UiTM Puncak Alam membuatkan saya mahu mencapai kejayaan yang sama.

"Kalau boleh lebih, lagi sesuai dengan apa ibu saya telah beri iaitu pendidikan dan kasih sayang yang cukup," luahnya.

Atiyah pada masa sama menzahirkan ucapan terima kasihnya kepada kesemua individu termasuk rakan-rakan seperjuangan yang tidak pernah jemu membantunya.

Berjaya menjadi kebanggan keluarga, anak kedua dari tiga beradik itu kini sedang berkhidmat di salah satu syarikat insurans terkemuka dunia dan berazam untuk terus cemerlang dalam bidang yang diceburinya itu.

Aatiyah juga tidak melepaskan peluang untuk memberi pesanan kepada para mahasiswa lain agar tidak mudah berputus asa dalam setiap perkara yang dilakukan.

Pesannya, gagal sekali bukan bererti gagal buat selamanya. Bangkit daripada kegagalan itu menjadi penanda aras dan bukti usaha yang dilakukan tidak sia-sia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram