Malaria: KKM nasihatkan kekal berhati-hati ketika melawat perkampungan Hulu Langat


  • Massa
  • Isnin, 09 Sep 2024

Salah satu poster amaran berkaitan wabak malaria digantung di sepanjang jalan Sungai Lui, Hulu Langat, Selangor untuk meningkatkan kesedaran penduduk dan pelawat di situ.

PEJABAT Kesihatan Daerah Hulu Langat (KKM Hulu Langat) menasihatkan orang ramai yang ingin melawat Kampung Sungai Lui, Hulu Langat, Selangor supaya mengambil langkah perlindungan terhadap malaria berikutan wabak itu dikesan di sebuah perkampungan Orang Asli pada Mei lalu.

Langkah itu bagi mengekang penularan wabak tersebut. Walaupun ia berjaya dikawal dan diisytiharkan berakhir pada 21 Julai, poster mengenai langkah pencegahan dan simptom penyakit masih dipamerkan di sepanjang Jalan Sungai Lui.

Ketua kampung berkenaan yang ditemu bual berkata, punca wabak adalah dari perkampungan Orang Asli Paya Lebar.

BACA LAGI: 'Thailand boleh buat, kenapa Malaysia tidak?', pasang lagu kebangsaan di tempat awam setiap hari cara terap semangat patriotik

BACA LAGI: Johor rekod penduduk paling ramai aktif bersenam, program JB CFM boleh jadi ikutan negeri lain

Fogging at the Orang Asli village during the malaria outbreak.

Fogging (pengasapan) di perkampungan Orang Asli, Sungai Lui, Hulu Langat, Selangor semasa dijangkiti wabak malaria.

Ia merupakan penempatan suku kaum Temuan dengan 58 buah rumah dan 200 orang penduduk di Batu 23.

Kampung itu terletak berhampiran Gunung Hitam, sebuah laluan mendaki yang popular.

Menurut penduduk Paya Lebar, Ewah Campak, 48, semuanya bermula apabila dia mula demam panas diikuti loya, menggigil dan sakit kepala.

"Saya menelan pil untuk demam tetapi sebaik sahaja kesan ubat hilang, saya demam semula," katanya.

Ketika itu, anaknya Zamri, 10 tahun, turut jatuh sakit.

Ibunya Rohana Rahim kemudiannya membawa Ewah ke Hospital Ampang untuk mendapatkan rawatan.

“Di sana, ujian darah mendapati anak saya menghidap malaria. Saya juga telah dibawa ke hospital sama, ketika itu mereka mendapat tahu saya juga menghidap malaria,” kata Ewah.

Nasib baik kedua-dua bapa dan anak memberi tindak balas baik terhadap rawatan dan dibenarkan keluar selepas beberapa hari. Yuran perubatan mereka dibayar oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).

Secara keseluruhan, tiga kes malaria telah dilaporkan di kawasan penempatan suku kaum itu.

Kes pertama membabitkan seorang lelaki berusia dalam lingkungan 30-an, kata penduduk di situ, Tok Batin Aning Embong, 70.

"Bapa pesakit memberitahu kami bahawa dia telah dijangkiti di kuarters pekerja di Sungai Long, Kajang, tempat dia bekerja," kata Aning.

Mengekang wabak

Susulan pengesahan kes di Paya Lebar, Mohd Razak Jalaludin, 56, ketua kampung Batu 21 Kampung Sungai Lui berkata, fogging (pengasapan) dari pintu ke pintu dan saringan darah dijalankan bagi mereka yang tinggal dalam radius 1 kilometer (km) dari lokasi terjejas.

“Satu perjumpaan diadakan untuk membuat pengagihan kelambu dan penggantungan kain rentang,” jelasnya.

Turut hadir pada mesyuarat itu ialah Datuk Rosli Othman (Orang Besar Hulu Langat), Dr Zailiza Suli (Pegawai Kesihatan Daerah), Datuk Johan Abdul Aziz (wakil Ahli Dewan Undangan Negeri Dusun Tua), wakil penduduk Batu 23, Sungai Lui, pengerusi surau, setiausaha serta ahli jawatankuasa.

Mohd Razak berkata, aktiviti terakhir bagi program pencegahan malaria dijalankan pada 14 Julai lalu.

Carta menunjukkan statistik wabak malaria di Malaysia sepanjang tempoh 2011 hingga 2023.

“Sejak itu, kami tidak dimaklumkan mengenai peningkatan jumlah kes.

Beliau juga memaklumkan, tiada kematian dilaporkan di kawasannya dan kesemua mereka yang dijangkiti kini telah sembuh dan kembali bekerja.

“Jika saya melihat mana-mana penduduk berkeliaran di luar rumah pada waktu senja, saya akan meminta mereka untuk masuk ke dalam rumah kerana nyamuk paling aktif pada waktu itu,” katanya lagi.

Idris Ali, 65, pengusaha sebuah restoran terapung di Kampung Gemi yang terletak 350 meter (m) dari Paya Lebar berkata, dia tidur di bawah kelambu yang diberikan oleh KKM Hulu Langat.

Sementara itu, Ketua Kampung Batu 20, Mohd Ramdan Kamso menganjurkan gotong-royong membersihkan kira-kira 20 buah rumah selepas berita mengenai wabak itu di Paya Lebar.

Mengesan parasit

Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar, Jamaliah Jamaluddin berkata, sebanyak 13 kes malaria dilaporkan di daerah Hulu Langat, di mana sembilan daripadanya membabitkan Kampung Paya Lebar dari Mei hingga 21 Julai lalu.

“Saringan darah dan pengesanan kes aktif telah dijalankan di dalam kawasan itu, yang mana sejumlah 2,968 sampel darah diambil untuk mengesan parasit malaria telah dilakukan dalam tempoh lima hari.

“Aktiviti pendidikan kesihatan masyarakat melalui taklimat dan ceramah turut dijalankan untuk meningkatkan kesedaran tentang jangkitan malaria," ujarnya.

Jamaliah berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) turut menggesa lebih banyak aktiviti pendidikan disediakan oleh pasukan sukarelawan kesihatannya, Sukarelawan Kesihatan Komuniti Selangor (Suka), yang ditubuhkan di setiap DUN.

"Sekiranya penduduk mempunyai simptom, mereka mesti pergi ke klinik kesihatan berhampiran," nasihat Jamaliah. — The Star/GRACE CHEN

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram