[VIDEO] Sambutan kemerdekaan beri motivasi, semangat patriotik buat generasi muda kenang perjuangan wira negara


  • Massa
  • Jumaat, 06 Sep 2024

Antara kontinjen dengan pakaian seragam bertemakan Jalur Gemilang ketika Majlis Perarakan Merdeka di Dataran Masjid Zahir, Alor Setar, Kedah pada 29 Ogos lalu.

SAMBUTAN hari kemerdekaan ke-67 jelas menunjukkan semangat patriotik yang masih ada dalam diri seluruh rakyat Malaysia.

Ia dapat dilihat apabila orang ramai daripada semua lapisan masyarakat termasuk kanak-kanak dan warga emas sanggup berkumpul menyaksikan perarakan merdeka di Dataran Masjid Zahir, Alor Setar, Kedah pada 29 Ogos lalu.

Majlis perarakan itu juga menyaksikan kebanyakan mereka hadir seawal pukul 6.30 pagi demi mendapatkan tempat duduk atau posisi terbaik untuk melihat para kontinjen yang terlibat.

BACA LAGI: Ajar Rukun Negara seawal peringkat prasekolah, pupuk semangat perpaduan

BACA LAGI: 'Mendaki demi negara, sertai sambutan, ajar lagu patriotik', keluarga Mindef kongsi kisah jiwai hari kemerdekaan

Perarakan merdeka itu dimeriahkan dengan pertunjukan Jet Pejuang jenis Hornet yang diterbangkan khas dari Putrajaya mengelilingi kawasan itu.

Antara kontinjen terlibat adalah Pejabat Tanah dan Galian Kedah, Yan, Pokok Sena; Majlis Daerah Pendang, Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah, Majlis Daerah Bandar Bharu, Jabatan Penjara Malaysia, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA), Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Persatuan Bekas 9 Rejimen Askar Melayu, pancaragam, kelab sekolah dan agensi lain.

Terserlah keterujaan mereka apabila kesemua kontinjen kelihatan begitu semangat untuk memberikan terbaik dalam perarakan tersebut.

Antara kontinjen yang mampu memukau dan mencuri perhatian orang ramai adalah Syarikat Air Darul Aman (SADA) kerana membuat penampilan berbeza dan berani dengan mengenakan seragam bertemakan Jalur Gemilang.

Kontinjen itu mempersembahkan pakaian baju Melayu, samping, songkok mengikut tema tersebut serta kawad perbarisan yang kemas.

Pergerakan yang kemas ketika memberi tabik hormat di laluan berhadapan Sultan dan orang kenamaan (VIP) sekali gus menunjukkan prestasi kontinjen itu yang semakin cemerlang berbanding tahun-tahun sebelum ini.

Persembahan terbaik itu secara tidak langsung membuatkan kanak-kanak yang hadir ketika itu bersorak kegirangan sebagai tanda penghargaan buat para kontinjen.

Ia sekali gus memberi motivasi buat generasi-generasi muda agar sentiasa terus berjuang dan berkhidmat untuk negara.

Sementara itu, Sambutan Hari Kebangsaan ke-67 juga diadakan di Dataran Putrajaya dengan membawa tema 'Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka' pada 31 Ogos lalu.

Majlis tersebut juga tidak kurang hebat dan meriah apabila ia dihadiri lebih 17,000 peserta, 59 kontinjen, 24 pasukan pancaragam serta 439 aset ketenteraan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram