Lebih 122,000 murid Tahun 1 ikuti Intervensi Kurikulum tangani keciciran pembelajaran


  • Primer
  • Isnin, 09 Sep 2024

Intervensi Kurikulum yang bermula Ogos lepas dilaksanakan untuk mengatasi masalah literasi dan numerasi di peringkat awal persekolahan. — Gambar hiasan

BAGI mengatasi masalah masalah literasi dan numerasi di peringkat awal persekolahan, Kementerian Pendidikan (KPM) komited melaksanakan program Intervensi Kurikulum dengan membabitkan seramai 122,062 daripada keseluruhan 448,113 orang murid Tahun 1 di seluruh negara bermula Ogos lepas.

Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan berkata, seramai 62,928 daripada keseluruhan murid yang perlu mengikuti program intervensi belum menguasai literasi dan numerasi di tahap penguasaan minimum, iaitu Tahap Penguasaan 1.

Menurutnya, selain itu, sebanyak 45,465 murid dikenal pasti belum menguasai literasi manakala 13,669 murid belum menguasai numerasi.

BACA LAGI: KPM giat tingkat usaha penyediaan tambahan internet, tablet untuk sekolah Orang Asli di Pos Betau

BACA LAGI: Ajar Rukun Negara seawal peringkat prasekolah, pupuk semangat perpaduan

Education director-general Azman Adnan revealed back in May that for 2023, 10,160 out of 383,685 registered SPM candidates did not attend the examination. — ART CHEN/The Star

Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan.

Azman memberitahu, murid-murid berkenaan akan menjalani intervensi di sekolah masing-masing dengan mengikuti kelas khas dalam kelompok lebih kecil selama tiga bulan bersama guru masing-masing.

Katanya, jumlah murid terlibat dalam intervensi bagi sesebuah kelas adalah bergantung kepada kesesuaian pihak pengurusan sekolah dan guru-guru.

"Jadi guru-guru akan tahu tahap kompetensi pencapaian anak-anak dalam aspek literasi dan numerasi ataupun kedua-dua aspek tersebut.

"Kebiasaannya, di sekolah kumpulan murid dalam jumlah lebih kecil adalah lebih baik dan mudah untuk diberi bimbingan bagi memastikan mereka lebih kompeten," katanya dalam sidang akhbar di Kementerian Pendidikan di Putrajaya pada Isnin.

Pada 18 Mac lalu, KPM memperkenalkan empat langkah bagi menangani isu keciciran pelajaran yang antara lainnya menerusi intervensi kurikulum murid Tahun Satu.

Tiga inisiatif lain dokumen penjajaran kurikulum standard sekolah rendah (KSSR), pelaporan pentaksiran bilik darjah (PBD) mesra ibu bapa dan penataran dokumen penjajaran serta latihan untuk guru.

Mengulas lanjut, Azman berkata, ada banyak kaedah yang boleh dilaksanakan oleh guru-guru bagi membolehkan murid-murid berkenaan mencapai tahap penguasaan minimum atau Tahap Penguasaan 1.

"Saringan berikutnya akan dibuat selepas tiga bulan dan kalau melepasi tahap penguasaan minimum intervensi itu, murid-murid terbabit akan masuk kelas arus perdana atau kelas biasa.

"Kalau belum menguasai, akan masuk lagi kelas intervensi Fasa 2 dan seterusnya menerusi intervensi bersesuaian sehingga mereka capai Tahap Penguasaan 1 itu.

Azman berkata, pihaknya berharap menerusi pelaksanaan kelas intervensi itu, angka murid yang belum menguasai literasi dan numerasi akan lebih mengecil.

Beliau berkata, murid kumpulan intervensi itu tetap akan beralih ke Tahun Dua jika belum menguasai kemahiran literasi dan numerasi di Tahap Penguasaan 1 pada akhir kalendar akademik 2024/2025. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram