BERMULA daripada idea mahu menjana pendapatan tambahan untuk berumah tangga, Saiful Azahar Abdul Halim, 32, sudah boleh berbangga apabila perniagaannya tayar terpakai yang diusahakannya kini sudah mencecah nilai jualan lebih sejuta ringgit setiap bulan.
Saiful Azhar yang merupakan anak kelahiran Baling, Kedah adalah pemilik kepada perniagaan kedai tayar, Adam Tyres, yang kini beroperasi dengan empat cawangan bengkel dan enam gudang penyimpanan terletak di Selangor, Perak dan Kedah.
Berkongsi kepada Majoriti, Saiful berkata, idea memulakan perniagaan tayar terpakai terbabit timbul secara tidak sengaja pada 2011 ketika dia sedang bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat penghantaran di Shah Alam, Selangor.
Pada waktu itu, dia yang baru memasuki usia awal 20-an sedang mencari jalan untuk menambah pendapatan sampingan untuk mengumpul duit bagi mendirikan rumah tangga bersama teman wanitanya yang kini sudah menjadi isterinya.
"Masa itu, saya memang dah minat main kereta. Ada sekali tu saya nak tukar tayar kereta. Waktu itu tayar kereta memang mahal kalau nak beli baru. Jadi, saya pun pergilah satu bengkel di Klang untuk tukar.
"Bila dah selesai tukar, semua tayar saya yang lama itu saya bawa balik. Bila dah bawa balik, saya pun baru terfikir nak buat apa dengan tayar itu, sebabnya keadaan tayar terbabit masih boleh pakai lagi.
"Jadi, kemudian saya masuk Facebook dan cuba jual dekat situ. Tak sampai 10 minit saya letak, dah ada orang berminat nak beli dan saya pun terus buat penghantaran dekat pelanggan pertama saya waktu itu," ujarnya ketika ditemui di gudangnya yang terletak di Shah, Alam, Selangor.
Adam memulakan perniagaan tayar terpakainya dengan membuat penghantaran kepada pelanggannya menggunakan kereta miliknya.
Pada waktu itu, Saiful berkata, dia menjual empat biji tayar terpakai tersebut pada harga RM50 setiap satu.
Menyedari wujudnya permintaan yang tinggi terhadap tayar terpakai, dia mula mengorak langkah dengan bermodalkan RM400 untuk mencari lebih banyak tayar terpakai untuk dijual di Facebook dan membuat penghantaran menggunakan keretanya kepada pelanggan.
Menurut Saiful, untuk mendapatkan lebih banyak stok tayar, dia juga pergi kepada beberapa bengkel kereta lain di sekitar Lembah Klang untuk mendapatkan stok tayar terpakai.
Pada masa sama, dia juga sepenuhnya menggunakan Facebook untuk memasarkan tayar terpakai yang dijualnya.
"Jadi permintaan itu hari-hari ada. Kalau sekali hantar itu, memang penuh kereta saya dengan 40 sampai 50 tayar kereta.
"Lagipun waktu itu penjual Bumiputera tak ramai. Memang seronok sebab dapat untung tepi setiap minggu. Sampai satu masa, saya boleh buat dalam RM7,000 seminggu," ujarnya.
Bermula daripada situ, Saiful berkata, dia mula merangka cara untuk mengumpul modal bagi membuka kedai bengkel tayar kereta.
"Sebab saya fikir waktu itu tayar ini memang barang keperluan. Tak kira kereta murah ke atau kereta mahal, dua-dua memang kena beli tayar," ujarnya.
Dalam tempoh tiga tahun, dengan hanya bergerak sendiri dan berbekalkan sebuah kereta Proton Persona miliknya, perniagaan tayar terpakai yang diusahakannya Saiful mula mendapat nama dan berkembang dengan cukup pantas.
Pada 2013, dia juga mengambil keputusan untuk menyewa satu unit kedai kecil di Padang Jawa, Shah Alam pada 2013 untuk dijadikan sebagai stor simpanan stok tayar terpakainya.
"Bila dah buka kedai, masa itu kita punya waktu tidur pun memang dah jadi tak menentu. Sebabnya bila dah habis kerja, kita terus pergi stor, isi barang dalam kereta untuk buat penghantaran.
"Kemudian bila dah ada stor, kita kena fikir pula cara untuk pastikan stok tayar sentiasa ada. Jadi saya kena bergerak cari ke lebih banyak bengkel kereta. Kalau dulu di sekitar Shah Alam, sekarang dekat kawasan Kuala Lumpur pun kita kena masuk," ujarnya.
Sedar dengan peningkatan komitmen tersebut, Saiful akhirnya membuat keputusan untuk berhenti daripada kerja tetapnya untuk memberikan fokus sepenuhnya terhadap perniagaan yang diusahakan.
Kerugian RM30,000 akibat ditipu
Antara gudang penyimpanan tayar terpakai yang dimiliki oleh Adam Tyres.
Dalam usaha bagi mengembangkan perniagaannya, Saiful turut berdepan dengan cabaran apabila mengalami kerugian hampir RM30,000 pada 2015 selepas ditipu dalam satu urus niaga bagi mendapatkan bekalan stok tayar terpakai dari Singapura.
Menurutnya, dia menerima kualiti stok tayar tidak seperti yang dijanjikan oleh pembekal.
Bagaimanapun, peristiwa tersebut tidak sedikit pun melunturkan semangat Saiful untuk meneruskan perniagaannya.
"Bila saya kena tipu, saya tak risau sangat sebab saya tahu macam mana nak bergerak balik daripada bawah sebab saya pun bermula dengan hanya modal RM400. Lainlah kalau daripada mula saya buka perniagaan datang dengan 'seketul' pinjaman bank RM200,000.
"Jika berlaku apa-apa termasuk kena tipu macam ni, susah juga untuk saya fikir macam mana nak naik selain tunggu bank bantu saya. Jadi, itu kelebihannya kalau kata kita mula bisnes dengan apa modal yang kita ada," ujarnya.
Selepas daripada peristiwa itu, Saiful berkata, dia mengakui perlu melipat gandakan usahanya bagi menebus kembali kerugian yang dialami.
Pada masa sama, selepas lebih lima tahun bergerak sendirian, dia akhirnya mula mengambil penjual sambilan untuk meningkatkan lagi jualan stok tayar terpakai yang dimilikinya.
"Jadi jualan saya waktu itu daripada 500 biji dah boleh pergi beribu biji," ujarnya.
Pembukaan kedai pertama kena gelak
Selepas berjaya mengumpulkan modal yang mencukupi, Saiful akhirnya membuat keputusan untuk membuka kedai bengkel kereta pertamanya yang beroperasi di kampung isterinya, iaitu Grik Perak pada 2017 dengan modal RM20,000.
Menurutnya, pemilihan lokasi itu dibuat dengan mengambil kira kos sewaan yang lebih murah berbanding di Shah Alam di samping jangkaan wujudnya permintaan terhadap tayar terpakai di kawasan tersebut.
Keputusannya menyewa premis yang hanya bersaiz separuh satu unit kedai itu turut mendapat pandangan sinis daripada orang ramai.
"Kedai yang saya sewa itu, orang gelakkan saya sebab saiznya kecil. Kita biasa lihat kedai gunting rambut yang hanya sewa separuh daripada satu unit kedai. Itulah premis pertama yang saya sewa untuk buat kedai tayar," ujarnya.
Bagaimanapun, di sebalik perkara tersebut, Saiful berjaya mendiamkan mulut mereka yang memandang rendah kepadanya apabila kedainya mendapat sambutan cukup menggalakkan daripada penduduk sekitar.
Saiful bergambar di salah satu gudang penyimpanan stok tayar terpakai miliknya.
Menurut Saiful, kejayaan tersebut dibantu oleh beberapa strategi dan promosi yang sudah dijalankan beberapa bulan sebelum hari pembukaan.
"Kalau orang cakap buka kedai mesti kena gah dan mewah, itu silap. Sebab macam dalam kes saya, orang datang bukan nak beli saya, orang nak beli tayar. Kalau kedai cantik barang tak padu pun orang tak masuk. Betul tak?
"Yang penting kita punya servis cantik, barang baik, orang pasti akan masuk. Hari pertama itu memang saya terkejut. Bukan setakat satu dua kereta, tapi lebih daripada 30 kereta yang masuk," ujarnya.
Saiful berkata, dengan beroperasi bersama tiga pekerja, jualan hari pertama pembukaan kedai bengkelnya mencecah RM8,000.
Bertitik tolak dari kejayaan kedai pertamanya itu, Saiful terus mengembangkan perniagaannya dengan membuka lebih banyak kedai, termasuk di kampung halamannya di Baling, Kedah setahun kemudian.
Adam Tyres yang diambil bersempena denga nama anak pertamanya kini sudah memiliki empat cawangan kedai dan enam gudang penyimpanan tayar terpakai di empat cawangan bengkel dan enam gudang yang terletak di Selangor, Perak, dan Kedah.
Perkhidmatan Adam Tyres juga tidak terhad kepada tayar kereta dengan ia kini turut menawarkan tayar kepada lori dan pelbagai lagi kenderaan berat.
Pada masa sama, sejak 2019, syarikatnya yang kini mempunyai kira-kira 60 orang pekerja untuk membantu operasinya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram