Rezeki nama jalan rumah, suami isteri bina bisnes bakeri di Shah Alam lepas sepakat berhenti dunia korporat


  • Bizz
  • Jumaat, 06 Sep 2024

Nur Shafinaz (kiri) dan Hidzad memulakan Cake Jalan Tiung pada 2015. — Instagram/CakeJalanTiung

BAGI penduduk di Shah Alam, Selangor, nama kafe Cake Jalan Tiung (CJT) bukan satu nama yang asing.

Terkenal dengan kek dan pastri buatan tangannya yang cukup enak, kisah penubuhan kafe ini bermula sejak 2015 hasil daripada idea pasangan suami isteri, Nur Shafinaz Abdul Rahman, 39 dan Hidzad Lahuree, 42.

Berkongsi kisah permulaan CJT, Nur Shafinaz berkata, sebelum membuka perniagaan tersebut, kedua-dua mereka pada awalnya bekerja dalam industri perbankan selama kira-kira 10 tahun.

BACA LAGI: Mula berjualan sejak universiti, duo graduan UKM, UM berganding bina Pelita Dhihin tumpu pasarkan 'buku berat'

BACA LAGI: Lepas tembusi pasaran hampir 30 negara, John ada misi jadikan Hausboom syarikat minuman terbesar negara

Ujarnya, idea untuk membuka kedai sendiri mula tercetus sekitar 2014, iaitu tahun di mana mereka mula mencari jalan untuk keluar daripada dunia korporat.

"Kami membuat keputusan untuk membuka CJT dan berkecimpung dalam dunia bakeri sepenuhnya pada tahun 2015. Namun, perjalanannya tidak seindah dan mudah dibayangkan.

"Ia bermula sebagai perniagaan sambilan di rumah selepas waktu bekerja, pelanggan akan membuat tempahan awal dan mengambil kek di rumah.

"Kami tidak mempunyai pengalaman perniagaan tetapi ingin mencuba menjalani kehidupan berbeza daripada kehidupan pejabat," katanya.

Snapinsta.app_428682658_18415154899000379_5471859590307213266_n_1080

Kafe Cake Jalan Tiung yang terletak di Seksyen 4, Shah Alam. — Instagram/CakeJalanTiung

Jelasnya, setiap kali ada waktu lapang, mereka akan merancang perbelanjaan untuk memulakan perniagaan, mencari inspirasi reka bentuk kedai dan membuat menu.

"Saya sentiasa minat memasak sejak remaja dan mempunyai bakat semula jadi untuk memahami, menguji dan menambah baik resipi menjadikan ini satu kelebihan buat CJT.

"Sementara itu, Hidzad memiliki ijazah dalam bidang Teknologi Maklumat, namun dia mempunyai minat mendalam terhadap kopi dan hospitaliti bahkan turut pernah bekerja sambilan di kafe sepanjang tahun sambil bekerja di pejabat korporat," ujarnya.

Nur Shafinaz yang juga graduan dalam bidang Pentadbiran Perniagaan itu memberitahu, keunikan nama CJT timbul ketika mereka mencari sesuatu yang berkait dengan diri mereka di samping turut membawa elemen bahasa lokal.

"Kami mahu kekalkan perkataan kek kerana ini simbolik perniagaan dan pelanggan mengenali kami menerusi koleksi kek dihasilkan

"Kebetulan kami tinggal di Jalan Tiung, Shah Alam jadi kami mengambil keputusan untuk mengguna pakai 'Cake Jalan Tiung' sebagai jenama dibawa sehingga hari ini," katanya.

Ditanya mengenai kek yang sudah menjadi sebahagian daripada identiti CJT, Nur Shafinaz berkata, antara pilihan digemari pelanggan adalah kek Karamel dan Coklat Masin istimewa.

Snapinsta.app_441935133_18431406097000379_5918653174795050028_n_1080

Nur Shafinaz memegang kek yang disediakan di Cake Jalan Tiung. — Instagram/CakeJalanTiung

Jelasnya, koleksi kek dan pastri CJT turut tidak terikat dengan kaedah tradisional tertentu dan terbuka untuk penambahbaikan serta kekal selesa dengan tekstur pastri bersih.

"Itulah CJT, kami sentiasa membayangkan hasil kek bakal ditawarkan buat pelanggan kerana kami mahu berikan pengalaman luar biasa dalam setiap suapan.

"Kami juga mengetengahkan sarapan pagi sebagai penambah pilihan buat pelanggan sekali gus mengikut peredaran dan permintaan semasa." jelasnya yang turut mengetengahkan hiasan dalaman kafe berkonsepkan rustik.

Berkongsi lanjut, katanya di CJT, kebajikan pekerja juga menjadi keutamaan dengan mereka turut mahu memberikan keseimbangan antara elemen kerja dan jadual hidup.

"Kami memulakan operasi pada pukul 8 pagi hingga 7 petang setiap hari kecuali Khamis.

"Tidak seperti kebanyakan F&B (minuman dan makanan), kami menawarkan waktu bekerja lima hari seminggu bagi membolehkan kakitangan mendapatkan rehat secukupnya," ujar Nur Shafinaz. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram