DIASASKAN pada 2008, studio pembangunan permainan video mandiri, Ammobox Studios (Ammobox) memberikan tumpuan terhadap pembangunan permainan secara menyeluruh menggunakan Unreal Engine.
Dengan fokus utama menghasilkan permainan untuk Windows, Ammobox kini berusaha mengasah kapasiti kemahirannya dengan melakukan eksplorasi, adaptasi, dan implementasi teknologi permainan baharu.
Ammobox terdiri daripada 50 pembangun permainan, dengan 80 peratus daripadanya beroperasi dari ibu pejabatnya di Bandar Sunway, Selangor, dan bertanggungjawab menghasilkan harta intelektual (IP) permainan di peringkat dalaman dan luaran.
Pasukan ini dipimpin oleh ketua pegawai eksekutif dan pengarah permainan, Jeremy Choo.
BACA LAGI: Bukan kerana 'buatan orang', ini 3 sebab sebab kedai makan gagal tarik pelanggan
"Menjadikan Malaysia maju dalam industri permainan video melalui pembinaan IP adalah matlamat utama kami. Namun, ini mencabar kerana kita berada di rantau yang lazimnya menyumberluarkan proses itu.
"Dengan mengambil kira perkara itu, Ammobox ditubuhkan untuk membina IP dan membawa cerita serta bakat tempatan kita ke pasaran global," ujar anak kelahiran Pulau Pinang itu yang mempelajari sendiri kemahiran sebagai pembangun permainan.
Dengan lebih 15 tahun pengalaman dalam pembangunan permainan, Ammobox mencapai kejayaan yang membanggakan menerusi pengenalan Eximius: Seize The Frontline.
Dilancarkan pada 2021, permainan yang menggabungkan ciri hibrid dengan waktu sebenar untuk pelbagai pemain di komputer itu sudah memperoleh lebih daripada 300,000 muat turun di Steam dan Epic Games Store, dengan penilaian positif secara keseluruhan.
Ammobox kini berusaha mengasah kapasiti kemahirannya dengan melakukan eksplorasi, adaptasi, dan implementasi teknologi permainan baharu.
"Eximius adalah tajuk mercu pertama Ammobox. Kami ingin menyeimbangkan perkara baru dengan inovasi. Kami mengambil genre yang sangat popular - tembak-menembak orang pertama (first-person shooter) - dan menjadikannya sangat strategik.
"Walaupun terdapat banyak permainan FPS di pasaran, kami ingin memberikan sentuhan yang berbeza kepada pemain. Kami percaya ciri unik ini memberikan perasaan yang berbeza kepada permainan," terang Choo.
Tambahnya, kebanyakan permainan FPS berdasarkan pasukan adalah tentang menembak jalan keluar dari setiap masalah, di mana ketepatan dan kecekapan menjadi faktor penentu dalam setiap pertempuran.
"Dalam Eximius, anda bekerja bersama dengan tentera dalam skala kecil, dan ini menghasilkan pertempuran yang sangat dinamik yang melibatkan infantri, kenderaan, struktur, dan unit sokongan udara.
"Anda menembak jalan keluar dari beberapa masalah, tetapi anda juga perlu strategik untuk mengatasi lawan dalam situasi lain," ujarnya.
Seperti kebanyakan pembangun permainan tempatan lain, Ammobox turut menghadapi cabaran dalam memperoleh bakat dan modal.
"Kami berusaha untuk membina pasukan yang mampu bersaing dalam pembangunan AAA (terma klasifikasi digunakan untuk pembangunan permainan dengan tahap bajet dan promosi yang tinggi) dan AA, serta pelaburan besar modal insan adalah penting.
"Namun demikian, ini bukanlah sesuatu yang boleh dilakukan secara sendirian. Pengalaman diperlukan harus diperoleh melalui penglibatan aktif dalam pembangunan produk secara menyeluruh, sama ada melalui projek dalaman atau kerjasama pembangunan bersama secara luaran.
"Menangani cabaran modal berkisar pada keyakinan serantau. Kerjasama dengan penerbit besar menuntut kepercayaan mereka terhadap kemampuan pelaksanaan pasukan kami dan keyakinan mereka terhadap kapasiti rantau kita untuk menghasilkan IP berkualiti tinggi," ujarnya.
Ammobox terdiri daripada 50 pembangun permainan, dengan 80 peratus daripadanya beroperasi dari ibu pejabatnya di Bandar Sunway, Selangor.
Bagaimanapun menurut Choo, rantau Asia Tenggara belum begitu dikenali dalam menghasilkan tajuk AA/AAA yang sangat berjaya atau dengan bajet tinggi.
Namun demikian, Ammobox berusaha untuk kekal sebagai peneraju dengan falsafah kecekapan pengeluaran dalam pembangunan.
"Ammobox adalah syarikat berfokus kepada teknologi. Kami percaya dalam menggunakan teknologi terkini untuk menjadikan pengeluaran lebih cekap. Kami juga mencari jalan meneliti bagaimana kami boleh meningkatkan saluran pengeluaran kami.
"Dengan mempunyai kakitangan yang memberikan tumpuan untuk meneroka dan melatih orang lain tentang inovasi baru, kami secara aktif menggalakkan perkongsian pengetahuan baru dalam pasukan kami," katanya.
Unreal Engine merupakan alat pembangunan permainan video yang telah wujud selama beberapa dekad, telah menjadi pilihan ekosistem Ammobox untuk mengembangkan permainan sejak permulaannya kerana kemahiran asas pengasas utamanya.
Choo berkata, beliau secara peribadi menggunakannya sejak generasi pertama untuk memenuhi hobinya sebelum bergiat lebih serius dalam kerja bersifat komersial.
"Pada hari ini, di generasi ke-5 Unreal Engine, terdapat banyak kepelbagaian dalam alat-alat yang tergolong dalam ekosistem Unreal Engine. Beberapa teknologi terkini dalam Unreal Engine yang kami sangat cukup teruja termasuk MetaHuman, Gameplay Ability Systems, dan Chaos Physics," ujar beliau.
Mengulas mengenai inisiatif atau projek khusus yang akan dilakukan Ammobox pada tahun ini, Choo berkata, syarikatnya sedang dalam perancangan untuk membangunkan satu lagi tajuk permainan mercu
"Ketika ini proses pembinaannya masih berada dalam peringkat awal," ujarnya. — The Star/ANN MARIE CHANDY
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram