Diberi tugas jadi penghantar surat, Paul Kiong kongsi kisah jadi perisik menyusup masuk dalam barisan pengganas komunis


  • Massa
  • Ahad, 08 Sep 2024

Kiong yang bertugas di bahagian Cawangan Khas, baru menjengah usia 23 tahun ketika menjalankan misi perisikan luar biasa yang memerlukan keberanian dan kelicikan.

ANGGOTA keselamatan negara berdepan dengan cabaran cukup getir termasuk yang hampir mengorbankan nyawa mereka untuk menghapuskan pengganas komunis.

Malah, bagi menumpaskan musuh secara berkesan di samping mengenal pasti rancangan licik kumpulan itu, terdapat pegawai polis turut diarahkan menyusup ke dalam barisan mereka.

Situasi itu pastinya sesuatu yang tidak mudah kerana ia berpotensi menggugat nyawa jika penyamarannya terbongkar.

BACA LAGI: Mula berjualan sejak universiti, duo graduan UKM, UM berganding bina Pelita Dhihin tumpu pasarkan 'buku berat'

BACA LAGI: Bukan kerana 'buatan orang', ini 3 sebab sebab kedai makan gagal tarik pelanggan

Itulah antara pengorbanan dilakukan Datuk Paul Kiong bagi memastikan masa depan Malaysia yang lebih aman selepas enam dekad mengecapi kemerdekaan.

Kiong yang bertugas di bahagian Cawangan Khas baru menjengah usia 23 tahun ketika menjalankan misi perisikan luar biasa yang memerlukan keberanian dan kelicikan.

Melalui penyusupannya ke dalam gerakan sel-sel pengganas kumpulan komunis, ia membawa kepada penangkapan dan penghapusan lebih daripada 50 ahli pengganas terbabit.

Datuk Paul Kiong

Kiong sedang membuat laporan risikan mengenai kegiatan komunis di pejabat medan sementara Cawangan Khas polis. Gambar itu diambil beberapa jam sebelum Kiong dan rakan-rakannya berjaya melancarkan serangan hendap ke atas sekumpulan militan yang masuk ke Perak dari Kelantan.

"Pengganas komunis sedang mara dan menyebarkan komunisme dalam kalangan pemuda kita pada 1960-an di ketika kemuncak Darurat Kedua. Mereka ingin membina negara komunis dan menubuhkan benteng kuat di seluruh negara.

"Kita tidak boleh membenarkan perkara itu berlaku kepada negara majmuk kita. Bayangkan sebuah negara tanpa agama.

"Negara kita berada di bawah ancaman serius dan adalah tanggungjawab kita untuk menundukkan pengganas komunis," kata veteran polis kelahiran Ipoh itu dalam temu bual baru-baru ini.

Kiong yang kini berusia 80 tahun berkata, pemuda pada masa itu telah didoktrin dan dipengaruhi propaganda subversif serta menerima latihan fizikal untuk bersedia berjuang bagi tujuan tersebut.

Pada waktu itu, beliau berpangkalan di Perak di mana rangkaian gerakan bawah tanah komunis sangat aktif di kawasan bandar dan hutan belantara.

"Strategi kami adalah menembusi dan menghancurkan unit bawah tanah yang membekalkan logistik kepada sayap militan. Mereka mempunyai sel-sel kecil sehingga enam pengganas dan tiada yang saling mengenali.

"Walaupun pengganas bersenjata, mereka yang berada dalam unit bawah tanah tidak bersenjata dan hanyalah penyokong," kata Kiong yang mengkhususkan diri dalam peperangan hutan, merentas hutan, peperangan psikologi, dan taktik soal siasat.

Selepas menyusup ke dalam lingkaran musuh dan menyamar sebagai salah seorang dari mereka, Kiong diberikan tiga tugas utama sebagai utusan, pembekal makanan, dan pengangkut.

Datuk Paul Kiong

Paul kini sudah mencecah usia 80 tahun dan tinggal di Petaling Jaya, Selangor.

"Saya diberi tugas untuk menghantar surat yang merupakan nota tulisan tangan kecil yang dilipat dengan cara khas dan dimasukkan ke dalam botol ubat. Separuh perjalanan, saya akan membukanya dan mencatat maklumat diperlukan.

"Saya perlu melipat semula surat itu dengan cara yang sama atau saya akan dikenali. Apabila berurusan dengan penghantaran makanan, saya akan mengurangkan bekalan mereka dan memberikan pelbagai alasan seperti sakit belakang atau tidak sihat untuk membawa terlalu banyak.

"Apabila askar lapar berjuang dengan perut kosong, ini akan membunuh semangat mereka dan mendorong mereka untuk lari. Inilah yang kita sebut sebagai peperangan psikologi," kata Kiong.

Dalam peranan ketiganya sebagai pengangkut atau pemandu teksi, beliau diarahkan membawa pengganas komunis yang bersenjata berat bergerak antara bandar-bandar di Perak.

Kiong berkata, beliau sentiasa hidup dalam ketakutan untuk dikenali dan perlu menjaga agar tidak membongkar identitinya.

"Ada masa ketika pemimpin pengganas komunis akan memanggil saya. Pada saat-saat itu, hati saya sangat dihantui ketakutan kerana tidak pasti sama ada mereka tahu siapa saya.

"Saya mungkin telah ditembak mati. Saya terpaksa memberi tumpuan untuk terus hidup sambil mengingatkan diri saya mempunyai keluarga untuk saya kembali," katanya.

Kiong berkata, beliau lebih suka menangkap dan memulihkan pengganas komunis untuk membantu pihak berkuasa mengalahkan seluruh pasukan.

Bagaimanapun, dalam dua pertemuan di Slim River dan Kuala Kangsar, beliau terpaksa menembak mati enam pengganas komunis apabila mereka menjadi ancaman besar kepada keselamatan anak buahnya.

Datuk Paul Kiong

Semasa tempoh Darurat Kedua, Kiong berpangkalan di Perak.

Kejayaannya memperoleh pujian, kenaikan pangkat, dan pingat keberanian tertinggi Persekutuan.

"Antara yang kita bunuh adalah Unit Serangan Ke-5 yang merupakan kebanggaan Chin Peng kerana mereka adalah unit yang cukup tangkas. Kemudian, kita melemahkan unit lain," katanya.

Apabila Parti Komunis Malaya menyerahkan senjata pada 1989, Kiong, yang dipromosikan menjadi superintenden, dipindahkan ke Bukit Aman sebelum bersara awal kerana kurang gemar dengan kerja pejabat selepas karier lapangan yang panjang.

Kiong, anak keempat dari enam beradik berkata, beliau adalah kanak-kanak yang hiperaktif dan gemarkan cabaran di lapangan.

Bercita-cita untuk berkhidmat dalam bidang penguatkuasaan undang-undang, beliau memohon untuk menyertai antaranya Jabatan Kastam, tentera sebelum diterima menjadi polis.

Pada 1971, beliau mendirikan perkahwinan dengan mendiang Datin Veronica Low yang disifatkan sebagai wanita yang cukup penyabar, memahami dan menjadi tiang kekuatannya.

"Beliau sentiasa bersama saya dalam keadaan sukar. Beliau tahu sifat kerja saya, tanggungjawab saya dan bahaya yang terlibat. Tidak sekali-kali beliau mempersoalkan saya sepanjang tahun saya menjalankan operasi rahsia.

"Beliau sendiri membesarkan anak tunggal kami. Selepas 43 tahun perkahwinan, beliau meninggal dunia pada 2014," kata Kiong dengan nada sedih.

Kini tinggal di Petaling Jaya, Kiong menghabiskan masa bersama anak lelakinya yang berusia 48 tahun dan menikmati percutian di dalam negara dan turut mengenang kembali memorinya sebagai "penumpas komunis." — Majoriti/CHARLES RAMENDRAN

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram