SETIAP kali tiba musim perayaan atau perkahwinan, namanya merupakan antara pereka fesyen yang sering disebut-sebut dan menjadi buruan khususnya bagi mereka yang meminati gaya segak dan anggun busana klasik tempatan.
Pengalaman dan kewibawaannya dalam bidang fesyen terutamanya busana tradisional bukan calang-calang.
Khidmat rekaannya bukan sahaja pernah digunakan seniman negara seperti Datuk M Nasir, malah Tokoh Budayawan Melayu, Almarhum Azah Aziz juga pernah meminta bantuannya dalam isu berkaitan busana warisan.
Tidak sekadar itu, hasil rekaan buah tangannya juga turut menjadi pilihan artis terkenal antaranya Bella Astillah dan Siti Saleha.
BACA LAGI: Bukan kerana 'buatan orang', ini 3 sebab sebab kedai makan gagal tarik pelanggan
Pada masa sama, selepas lebih empat dekad berjuang di dalam bidang fesyen, pereka berasal dari Kluang, Johor, ini terus setia dengan semangat busana yang berakar kepada rekaan tradisi.
Individu yang diceritakan ini tidak lain dan tidak bukan adalah Salikin Sidek.
Berkongsi mengenai permulaan kariernya dalam bidang fesyen, Salikin yang kini berusia 61 tahun berkata, dia pada awalnya berkhidmat sebagai pereka kostum sebelum serius menjadi pereka.
"Saya sangat mencintai baju kurung dan sangat sukakan busana warisan dan mula menceburkan diri dalam lapangan fesyen Malaysia sekitar 1982.
"Apabila Datuk Azanin Ahmad meminta saya membuat kostum untuk dramatarinya, ia ibarat langkah baharu saya untuk mengatur haluan yang pasti dalam bidang ini," katanya.
Salikin (kiri) berkata, beliau tidak lupa untuk memberikan penekanan terhadap aspek inovasi dalam rekaan busana tradisionalnya. — Instagram/salikinsidek_official
Bermula daripada situ, Salikin kemudiannya memperkenalkan label pertama pakaiannya iaitu Sali Design & Customade pada 1991.
Menerusi jenama tersebut, dia turut aktif membuat persalinan untuk filem dan persembahan pentas selebriti antaranya bagi filem Selubung dan juga konsert M Nasir.
"Kostum hari perbarisan pun saya buat juga. Tahun 2001 barulah jenama Salikin Sidek dibangunkan. Ketika itu, saya giat menaja pakaian selebriti Malaysia. Dengan bantuan publisis bernama Bill Bora, populariti gaya busana ciptaan saya semakin menyerlah.
"Almarhum Azah Aziz juga ada meminta bantuan saya dalam isu yang berkaitan dengan busana warisan. Saya juga pernah menyertai KLFW (Kuala Lumpur Fashion Week sekitar tahun 2004 sehingga 2006)," kongsinya.
Mengulas mengenai penerimaan golongan baharu terhadap rekaan busana tradisi yang menjadi pilihannya, Salikin berkata, beliau tidak lupa untuk memberikan penekanan terhadap aspek inovasi.
Ujarnya, langkah itu sangat penting khususnya dalam memastikan hasil rekaan saya bukan hanya sekadar dapat diterima oleh generasi baharu, malah menepati selera berfesyen terkini.
"Andai diingat semula, tiga tahun lepas, menerusi hab fesyen FashionValet, saya menghasilkan baju kurung Johor, Pahang, Kedah dengan pelbagai variasi fabrik antaranya songket mesin dan lengkap selendang kain songket dan tenun asli.
"Untuk dua tahun berturut-turut saya melakukannya tetapi mengetengahkan dua ragam corak fabrik berbeza iaitu songket dan tenun asli. la mendapat sambutan semua generasi dari pelbagai lapisan usia.
"Itu menunjukkan betapa gaya klasik bukan sahaja mudah dia diacukan kepada sesiapa, malah ia mudah diserasikan dengan mana-mana majlis baik perkahwinan perayaan atau majlis-majlis rasmi," ujarnya.
Salikin (kiri) ketika cuba menggayakan busana rekaannya yang dipakai oleh Bella. — Instagram/salikinsidek_official
Bagaimanapun, di sebalik inovasi yang dilaksanakan, Salikin berkata, ia tidak bermakna beliau mengkhianati haluan ke konsep busana yang lain atau berbeza.
"Rekaan dan potongan klasik berpesak adalah helaian azimat yang harus anda miliki. Tahukah anda bahawa baju Melayu dan baju kurung boleh membantu anda yang kurus kelihatan berisi dan sebaliknya? Semuanya dengan permainan prinsip ilusi 'garisan penipuan mata'.
"Beratnya fabrik busana klasik juga memainkan peranan penting dalam membantu mengimbangi potongan klasik busana warisan," jelasnya.
Mengulas lanjut, Salikin mengakui turut berdepan dengan kritikan termasuk daripada pereka baharu yang cuba mencari publisiti dan perhatian untuk pelbagai tujuan.
Bagaimanapun, beliau menganggap perkara tersebut sebagai lumrah yang perlu dihadapi oleh semua orang tidak kira jenis kerjaya diceburi.
Di sebalik perubahan yang berlaku dalam dunia fesyen negara, Salikin berkata, beliau tidak pernah terfikir untuk sekali-kali meninggalkan busana tradisi yang sekian lama menjadi identitinya. — Instagram/salikinsidek_official
"Saya juga pernah di lemparkan kata-kata sinis oleh seseorang dengan mengatakan helaian pakaian yang saya buat itu boleh dan mudah sahaja dijahit oleh nenek-nenek di kampung.
"Sedangkan mereka tidak tahu betapa sehelai busana klasik warisan, meski hanya sekadar baju kurung, ia menggunakan kepakaran asli tradisi turun-temurun yang tidak dimiliki orang semua pereka fesyen di Malaysia.
"Ia kebolehan dan kepakaran yang terhad, eksklusif...maka ia kepakaran tradisi yang cukup tinggi harganya," katanya.
Pada masa sama, di sebalik perubahan yang berlaku dalam dunia fesyen negara, Salikin berkata, beliau tidak pernah terfikir untuk sekali-kali meninggalkan busana tradisi yang sekian lama menjadi identitinya.
"Busana klasik Melayulah yang memperkenalkan jenama Salikin Sidek itu sehingga hari ini. Busana klasik jugalah punca pendapatan saya.
"Tidak mungkin sesekali saya berpaling kepada teras gaya yang lain. Apatah lagi busana klasik adalah akar kita dan ia juga juga identiti bangsa yang tidak boleh dijual beli, tak mungkin bertukar-ganti," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram