
SISTEM perparitan yang tidak berfungsi dengan baik menjadi punca banjir kilat di sekitar Taman Sri Andalas, Klang, Selangor.
Salah seorang penduduk, Aishah Aaqil berkata, kemungkinan pasir yang tersekat dalam parit berbentuk U di Jalan Seri Banang 14 telah menghalang aliran air.
Tambahnya, bukaan pada kedua-dua belah pembetung longkang juga mungkin terlalu sempit.
“Banjir kilat melanda sebahagian Jalan Seri Banang 14, Solok Seri Banang 15, 15B dan 15C serta Solok Seri Banang 16 apabila tiba hujan lebat,” katanya.
BACA LAGI: [VIDEO] Lereng bukit runtuh, kereta tenggelam akibat banjir kilat di Kuala Lumpur
BACA LAGI: Jalan 'bypass' Serendah-Templer tenggelam akibat banjir kilat, pengguna risau keadaan berlarutan
Pasir yang tersekat dalam parit di Jalan Seri Banang 14 mungkin menjadi punca aliran air terhalang.
Dia juga turut menggesa pihak berkuasa untuk melebarkan parit berkenaan.
Sementara itu, Abdul Jalil Abdullah berkata, hujan lebat selama 30 minit mengakibatkan air melimpah ke Jalan Seri Banang 14.
Tambahnya, setakat Ogos sahaja, kawasan jalan itu sudah tiga kali dinaiki air.
Seorang lagi penduduk, Masrul Azam Abdullah berkata, apabila longkang di luar rumahnya yang terletak di jalan berkenaan melimpah, paras air di anjung rumahnya boleh mencecah tinggi sehingga 15 sentimeter (cm).
Ahli Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), Mohd Rayme Abdul Rahman berkata, syarikat pengurusan sisa pepejal Selangor, KDEB Waste Management telah diarahkan membuang sampah dan keladak di dalam parit di Solok Seri Banang 15.
"Saya juga mendapati terdapat tanah menghalang saluran keluar di Jalan Seri Banang 16 dan sudah menggunakan perkhidmatan jengkaut untuk melakukan kerja pembersihan penyumbatan," katanya.
Katanya, beliau akan mencadangkan pembinaan longkang konkrit di hujung Jalan Seri Banang 16, pada mesyuarat jawatankuasa kecil infrastruktur MBDK bagi menangani masalah itu
Penduduk di Lorong Seri Banang 14A/KS02 dan Lorong Seri Banang 14C/KS02 juga meminta bantuan Mohd Rayme berhubung kerja pembersihan longkang di Jalan Sungai Jati.
Jabatan Kejuruteraan MBDK dijadual mengadakan mesyuarat pada 17 September ini yang mana satu keputusan akan dibuat berhubung perkara berkenaan. — The Star/EDWARD RAJENDRA
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram