Selain sistem canggih layan diri, Malaysia boleh naik taraf troli pasar raya mesra OKU dan warga emas seperti di UK


  • Massa
  • Jumaat, 06 Sep 2024

Reka bentuk khas troli yang mesra golongan OKU dan warga emas untuk membeli-belah di pasar raya. — Gambar hiasan/Agensi

BETAPA mudahnya urusan membeli-belah jika pengguna tidak perlu menunggu lama untuk membayar barang yang dibeli di pasar raya.

Kemudahan itu secara tidak langsung memudahkan pelanggan khususnya golongan ibu bapa atau individu berkeluarga berbelanja dengan tenang dan lancar.

Kini, orang ramai khususnya di Putrajaya tidak perlu risau lagi apabila troli EzyCart beli-belah pintar diperkenalkan sejak Jun 2023.

BACA LAGI: Model 3D bantu bina sekolah lebih sistematik, JKR giat perluas teknologi BIM dalam industri pembinaan

BACA LAGI: [VIDEO] Elak asap bakar sampah punca 2 penunggang motosikal maut bertembung di Kota Bharu

866c

Troli canggih yang disediakan di sebuah pasar raya di Putrajaya. — TikTok

EzyCart merupakan teknologi yang dibangunkan oleh sebuah agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), NanoMalaysia Berhad dengan kerjasama syarikat penyedia penyelesaian automasi runcit berasaskan kecerdasan buatan (AI) Retailetics Sdn Bhd.

Troli canggih itu juga dicipta dengan inovasi tambahan seperti sistem pembayaran layan diri menerusi pengimbasan kod bar dan kod QR untuk pembayaran secara dalam talian.

Ia juga digunakan di beberapa pasar raya terkemuka di seluruh negara seperti Redtick, Lotus's dan Jaya Grocer.

Selain memudahkan proses pembayaran, gabungan ciri sensor canggih itu mampu mengelakkan kes kecurian serta membantu pengguna mencari produk di rak dan menggunakan nanoteknologi antibakteria untuk memastikan troli bebas virus dan bakteria dalam tempoh yang lama.

Pembaharuan itu bagaimanapun boleh dinaik taraf dan diperluaskan untuk kegunaan golongan kelainan upaya (OKU) dan warga emas.

Ia dapat dilaksanakan dengan mencipta troli khas buat golongan tersebut seperti yang terdapat di United Kingdom (UK).

Mengambil berat tentang batasan pergerakan mereka, beberapa pasar raya di negara itu mengambil langkah mengubah suai reka bentuk troli sesuai buat individu berkerusi roda.

Troli itu direka dengan bentuk prototaip itu juga sekali gus memudahkan ibu bapa OKU yang membeli-belah bersama anak-anak.

Untuk rekod, sebuah pasar raya di Sainsbury, London pernah menyediakan 600 troli ke premis di seluruh UK dengan ciri tersebut sebagai langkah keselamatan buat kanak-kanak OKU pada 2014.

Malah, seorang pengguna yang terpaksa bergerak menggunakan kerusi roda selepas mengalami kecederaan saraf tunjang dan lumpuh sejak berumur sembilan tahun tidak menafikan bahawa fasiliti itu sangat membantu urusannya ketika berbelanja di pasar raya.

Screenshot (3184)

Gem Hubbard yang menggunakan troli khas itu ketika membeli-belah di UK. — YouTube/Gem Hubbard

Berdasarkan video yang dikongsikan pencipta kandungan media sosial bernama Gem Hubbard itu, terdapat dua saiz troli khas disediakan yang boleh digunakan mengikut keperluan barang diperlukan.

Pemegang pada troli itu juga direka khas dengan ketinggian selari dengan kedudukan pengguna berkerusi roda serta cangkuk yang akan dilekatkan pada besi roda.

Ia pada masa sama dapat membantu golongan itu keluar membeli-belah bersendirian dengan lancar tanpa sebarang halangan pergerakan.

Inovasi fasiliti tersebut jelas dapat meringankan beban golongan berkenaan dalam urusan harian tanpa rasa bimbang atau takut.

Langkah sama turut boleh diaplikasikan di Malaysia dan dipertimbangkan dalam mengimplementasi dasar kemudahan awam di kompleks beli-belah.

Meskipun kemudahan OKU seperti laluan, tandas, kaunter pembayaran, eskalator dan parkir sudah disediakan, namun penggunaan troli mesra golongan memerlukan juga boleh dimulakan di negara ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram