Projek tebatan banjir Puchong sepanjang LDP siap Disember depan


  • Massa
  • Isnin, 02 Sep 2024

Ng (tengah) ketika berbincang dengan kontraktor mengenai kerja-kerja mitigasi yang dilakukan di sepanjang Jalan Merbah 1 di Bandar Puchong Jaya sambil diperhatikan Chong (dua kiri) dan Lee (kanan).

PROJEK tebatan banjir di sepanjang Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) berhampiran IOI Mall di Puchong, Selangor dijangka siap pada Disember selepas mengalami kelewatan kira-kira dua bulan daripada yang diumumkan sebelum ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kinrara, Ng Sze Han berkata, 60 peratus daripada projek yang mengalami kelewatan, telah disiapkan.

Beliau berkata, persiapan untuk kerja naik taraf terowong mikro atau memasang bicu paip (pipe jacking) di bawah lebuh raya LDP juga hampir selesai.

(Pipe jacking) ialah kaedah untuk memasang paip bawah tanah dengan gangguan permukaan yang minimum).

BACA LAGI: [VIDEO] Lereng bukit runtuh, kereta tenggelam akibat banjir kilat di Kuala Lumpur

BACA LAGI: Jalan 'bypass' Serendah-Templer tenggelam akibat banjir kilat, pengguna risau keadaan berlarutan

“Kerja di sepanjang LDP berhampiran IOI Mall sudah siap tetapi kami perlu menunggu kerja penggalian jacking di bawah LDP siap, yang dijangka selesai pada Disember.

“Kos RM5.7 juta ditanggung oleh IOI Corporation Bhd, syarikat konsesi lebuh raya Litrak dan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ),” katanya semasa lawatan tapak ke Jalan Merbah 1, di mana kerja-kerja menaik taraf sedang dijalankan.

Beliau berkata, paip baharu itu akan mengalirkan 70 peratus air ke tasik di belakang IOI Mall, manakala baki 30 peratus ke paip sedia ada yang menghala ke longkang monsun bersebelahan pusat beli-belah itu.

“Walaupun projek itu memberi banyak cabaran kepada kami terutamanya di lokasi yang sibuk dengan utiliti di bawah jalan yang banyak, ia berjalan lancar,” kata Ng.

Beliau juga memberi jaminan tidak akan ada penutupan lorong di sepanjang LDP sepanjang tempoh projek.

Turut hadir pada lawatan tapak itu ialah ahli majlis Zon 16 MBSJ, Lee Jen Uyin dan Ketua Pegawai Operasi Pelaburan Hartanah IOI Properties, Chris Chong.

Projek itu diumumkan pada 5 November lepas berikutan beberapa siri banjir kilat yang menyaksikan tempat letak kereta dan tingkat bawah pusat beli-belah itu ditenggelami air sedalam 0.3 meter (m).

Dilaporkan pada 18 Mac, projek yang pada mulanya dijadualkan siap pada Februari lalu itu ditangguhkan hingga Oktober kerana penjajaran semula paip yang melalui di bawah lebuh raya. — The Star/MEGAT SYAHAR

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram