Gaji kumpulan pelaksana naik hingga 42 peratus, pengurusan tertinggi 7 peratus — PM Anwar


  • Primer
  • Jumaat, 16 Ogos 2024

Selepas 13 tahun tiada semakan gaji, penjawat awam memperoleh 'durian runtuh' daripada Kerajaan MADANI. — Gambar hiasan

KERAJAAN bersetuju mengumumkan pelarasan gaji di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) membabitkan kenaikan sehingga 42 peratus bagi kumpulan pegawai pelaksana/ pengurusan profesional manakala kumpulan pengurusan tertinggi menikmati kenaikan 7 peratus.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sistem itu bagi menggantikan Skim Saraan Malaysia (SSM) yang diguna pakai sebelum ini dan bakal berkuat kuasa 1 Disember ini.

Beliau berkata, pelaksanaan tersebut akan dilaksanakan secara berfasa bagi mengelakkan tekanan inflasi kepada ekonomi negara.

BACA LAGI: Atlet SUKMA perlu bersedia mental dan emosi — Ahmad Zahid

BACA LAGI: Remaja menyamar doktor tak rawat pesakit, hanya bahasakan diri sebagai MO — KKM

"Sebanyak 15 peratus (peningkatan gaji) kepada kumpulan pegawai pelaksana dan pegawai pengurusan/ profesional dengan membabitkan dua fasa iaitu Fasa 1 (8 peratus) dan Fasa 2 (7 peratus).

"Sebanyak 7 peratus (peningkatan gaji) pula membabitkan kumpulan pengurusan tertinggi dengan Fasa 1 (4 peratus) dan Fasa 2 (3 peratus).

"Fasa 1 akan bermula 1 Disember 2024 manakala Fasa 2 dilaksanakan pada 1 Januari 2026," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) Ke-19 di Pusat Konvesyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Jumaat.

Anwar berkata, penyelarasan pencen juga akan dilaksanakan berdasarkan pelarasan ke atas gaji akhir pesara.

"Justeru, julat peningkatan pendapatan yang akan diterima oleh penjawat awam adalah di antara 16.8 hingga 42.7 peratus, mengambil kira faedah

berganda (compounding effect)," katanya.

Perdana Menteri berkata, penggantian sistem SSM kepada SSPA adalah sebagai tanda keprihatinan kerajaan kepada penjawat awam.

"Walaupun gesaan saya mesti capai kemajuan tapi tahap pengorbanan (penjawat awam) ini luar biasa.

"Bukan sahaja dalam menghadapi ancaman komunis dahulu, menangani Covid-19, jangan lupa petugas barisan hadapan itu adalah penjawat awam, jadi kerajaan setuju supaya SSM digantikan dengan SSPA," katanya.

Beliau berkata, SSPA mengandungi roh dan semangat Reformasi Perkhidmatan Awam (Civil Service Reform) yang dikehendaki bagi menjayakan agenda Malaysia Madani.

Menurutnya, terdapat tiga ikhtiar bagi mencapai maksud itu meliputi meningkatkan kadar produktiviti dan kecekapan perkhidmatan awam, meningkatkan kesediaan penjawat awam dalam melaksanakan perubahan serta meningkatkan daya saing negara. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram