[VIDEO] 'Bukan setakat menang emas SUKMA tetapi juga akhirat', ramai doa, beri sokongan Fu Ceen jadi saudara baharu


  • Podium
  • Jumaat, 23 Ogos 2024

Fu Ceen mencipta momen sendiri selepas dia berjaya meraih emas pada penampilan sulung di SUKMA dalam acara kyorugi kategori lelaki bawah 63kg pada Isnin. — Facebook SUKMA

SUKAN Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024 memang bukan sekadar sebuah pertandingan sukan, tetapi juga satu platform untuk para atlet dan peserta mengukir kenangan indah yang akan dikenang sepanjang hayat.

Setiap hari penonton disajikan dengan pelbagai kisah suka duka atlet yang akan dijadikan pengajaran mahupun memori indah.

Pada Selasa lalu, tular satu gambar memaparkan jurulatih Terengganu, Zainuddin Yusof telah memotong rambutnya sehingga botak selepas anak didiknya, Armin Zahryl Abd Latif memenangi pingat emas dalam acara 110 meter (m).

BACA LAGI: [VIDEO] Gara-gara tak puas hati dengan juri, gelanggang silat SUKMA kecoh dibaling botol

BACA LAGI: [VIDEO] Rejaman tajam, Sumandak Sabah sumbang 3 emas di SUKMA

Tindakan Zainuddin yang meminta Armin untuk terus memotong rambutnya itu turut mengundang sebak dalam kalangan peminat sukan dan juga menyentuh hati Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah yang berkongsi kenangan indah itu menerusi Facebook pada hari yang sama.

Terbaharu, seorang lagi atlet taekwando Terengganu, Fu Ceen Put Thai pula mencipta momen sendiri selepas dia berjaya meraih emas pada penampilan sulung di SUKMA dalam acara kyorugi kategori lelaki bawah 63kg pada Isnin.

[KLIK GAMBAR UNTUK TONTON VIDEO]

456483457_8353004388085027_6371055413904923650_n (1)

Fu Ceen (kanan) mula memeluk Islam pada Disember tahun lepas. — Facebook SUKMA

Lebih mengharukan lagi, atlet berusia berusia 22 tahun dilihat sujud syukur selepas mengalahkan atlet Perlis, Muhammad Rafieqqie Danish Md Roshidi dengan keputusan 13-2 melalui satu video tular sejak Rabu.

Apa yang menarik ialah, menurut pemilik akaun Tik Tok bernama timothyzxhra, Fu Ceen telah memeluk agama Islam.

Sementara itu, memetik laporan Stadium Astro, Fu Ceen yang kini memilih nama Islamnya, Fathurrahman memaklumkan bahawa pengumuman tentang dia telah memeluk agama Islam telah dilaksanakan olehnya kepada ahli keluarga usai menang pingat emas di bumi Sarawak.

"Saya telah mula memeluk Islam pada Disember tahun lepas," katanya.

Susulan itu, rata-rata warga maya dan peminat sukan mendoakan serta memberikan sokongan kepada Fu Ceen sebagai saudara baharu.

"Dia bukan setakat menang game di dunia, tapi di akhirat jugak. Tahniah, semoga ALLAH merahmati setiap perjalanan kau," tulis Affens Ouh La Laa.

Mohd Ridzuan Mansor turut mengucapkan tahniah kepada atlet muda tersebut dan mendoakan kesejahteraannya

"Ini lebih berharga daripada ibu segala emas," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram