Anak jati Pulau Pinang cipta kelainan, guna rekaan Mughal dalam busana 'custom-made'


  • Hiburan
  • Jumaat, 02 Ogos 2024

Aizril Rahmat menghasilkan rekaan custom-made untuk Malaysia Wedding Showcase di ST Giles Boulevard Hotel, Kuala Lumpur pada Khamis malam.

PASTINYA setiap pereka fesyen akan membuat kelainan bagi menghasilkan sesuatu rekaan yang membolehkannya tampil berbeza berbanding orang lain.

Seorang anak jati Pulau Pinang, Muhammad Aizril Rahmat kini menjadi perhatian ramai setelah menampilkan sembilan busana indah yang dicipta khas untuk majlis Malaysia Wedding Showcase di Kuala Lumpur pada Khamis malam.

Pelbagai busana masterpiece yang diperagakan di atas pentas dengan kelainan corak dan bentuk.

BACA LAGI: 'Untung bila ada ujian, patut takut bila ALLAH tak uji', Irma Hasmie tetap cekal lalui ujian rumah tangga

BACA LAGI: Rakyat Malaysia, Jepun dan Indonesia bergabung cipta nama KLP48 di pentas antarabangsa

photo_6152193751762714062_y

Malaysia Wedding Showcase di ST Giles Boulevard Hotel, Kuala Lumpur pada Khamis malam.

Aizril berkata, dia mengambil masa selama sebulan hingga tiga bulan bagi menyiapkan sesuatu busana yang diperagaan itu.

"Saya memang cipta sendiri semuanya dengan jahitan menggunakan tangan. Setakat ini saya tidak mengambil mana-mana pekerja.

"Jadi daripada bermula sketch, membuat sampel manik hinggalah ke final touch untuk busana saya reka sendiri," katanya kepada Majoriti.

Pintar mencari ilham, lelaki berusia 25 tahun itu berkata, kadang-kala dia mengambil idea daripada Mughal style untuk mencorakkan busana-busana yang direka khas buat pelanggan.

"Mughal daripada negara India punya struktur dan bangunan-bangunan. Jadi, daripada bangunan itu ada bentuk petak-petak, warna pastel, saya jadikan benda itu sebagai inspirasi nak buat busana," katanya.

Pemuda tampan itu berkata, reka bentuk yang dihasilkan kebiasaannya dicipta khas (custom-made) bagi memastikan pakaian itu bersesuaian dengan permintaan pelanggan.

"Aizril tidak hanya buat baju untuk perkahwinan, tetapi juga buat baju untuk pakej nikah, pakej sanding, groom custom untuk ke majlis-majlis," katanya.

Impian menjadi nyata, Aizril berkata, menjadi seorang pereka fesyen sememangnya impiannya sejak kecil.

"Memang dah minat daripada darjah enam. Memang dah bercita-cita macam mana pun saya akan belajar fesyen.

"Walaupun mahal ke apa, mak ayah memang sejak dahulu usahakan untuk saya dapat belajar fesyen," katanya.

Aizril sebelum ini mendapat pendidikan pada peringkat diploma dalam Teknologi Reka Bentuk Fesyen di Equator College, Pulau Pinang.

photo_6152193751762714056_y

Hasil sentuhan magis Aizril Rahmat dengan berilhamkan Mughal style.

Antara pereka fesyen yang menjadi inspirasi buatnya mengembangkan bakat dalam peragaan adalah Rizman Ruzaini dan Shanell Harun.

"Sebab mereka selalu fokuskan perincian dalam busana. Mereka juga berasal daripada Pulau Pinang.

"Jadinya saya mahu ikut jejak orang lama dalam peragaan itu supaya dapat mengharumkan nama negeri kelahiran," katanya.

Kini, ramai pempengaruh dan artis yang sudah pernah mendapatkan khidmatnya dalam rekaan seperti Maryam Younarae, Bunga Isme, Yasmin Aziz dan Zizi Kirana.

"Saya biasanya memang akan pastikan pelanggan berpuas hati dengan rekaan yang sama buat sebab saya mementingkan kualiti," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram