'Tiada orang sepertinya,' penonton menitis air mata dengar nyanyian Celine Dion di Olimpik Paris 2024


  • Hiburan
  • Sabtu, 27 Jul 2024

Celine Dion membuat persembahan memukau di Olimpik Paris 2024. 

SELEPAS lama menyepi dalam industri susulan masalah kekejangan otot yang teruk, penyanyi Celine Dion membuat kemunculan semula dalam majlis pembukaan temasya sukan Olimpik Paris 2024.

Tampil dengan berbusana indah, Dion memakai pakaian putih yang diserikan dengan berlian sambil mendendangkan lagu klasik yang berjudul L’Hymne a’ L’amour di tingkat satu Menara Eiffel, Paris, Perancis.

Bukan satu hal yang sukar buatnya untuk menyanyikan lagu bahasa Perancis kerana sebelum ini dia juga pernah menerbitkan album penuh bahasa Perancis pada tahun 1995 bertajuk D’eux yang menjadi album bahasa Perancis terlaris sepanjang zaman.

BACA LAGI: Anggap perlawanan pertama Olimpik sangat penting, Roslin Hashim ramal potensi 3 beregu negara

BACA LAGI: [VIDEO] Tak seperti pakaian rasmi, busana perarakan kontinjen Olimpik Malaysia terima pujian melambung

WhatsApp Image 2024-07-27 at 1.12.20 PM

Dion mendendangkan lagu klasik yang berjudul L’Hymne a’ L’amour di tingkat satu Menara Eiffel, Paris, Perancis.

Ramai peminat tergamam mendengar persembahan memukau yang diberikan dengan penuh tenaga sehingga ada yang menitiskan air mata.

Menerusi laman X, ramai peminat meluahkan rasa gembira apabila melihat Dion kembali dengan kelunakan suaranya.

Antaranya, seorang peminat, Fye mendedahkan bahawa Dion dibayar berjuta ringgit untuk membuat kemunculan semula di temasya sukan terbesar dunia itu.

"Selepas didiagnosis menghidap stiff person syndrome dah tak menyanyi empat tahun. Pembukaan Olimpik Paris 2024 sebentar tadi dia buat persembahan pembukaan dengan satu lagu sahaja dan dibayar RM9,000,000. She is a queen!," tulisnya.

Seorang lagi peminat, Mary Ruth pula meluahkan rasa keterujaannya melihat persembahan berkenaan sehingga menitiskan air mata.

"Air mata saya, tiada sesiapa seperti Celine. Cakap apa pun tidak dapat gambarkan betapa indah perasaan melihatnya kembali ke tempat asalnya (industri)," katanya.

Peminat yang lain, KL Martin juga mengakui aksi hebat yang tampilkan Celine Dion membuatnya berasa hampir menangis.

"Celine buat saya sebak. #OpeningCeremony," tulisnya.

Dua tahun lepas, Dion mengumumkan kepada peminat bahawa dia mengalami Stiff Person Syndrome (SPS) dan dilihat membuat persembahan secara langsung buat kali terakhir adalah di New Jersey, Amerika Syarikat (AS) pada Mac 2020. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram