SEORANG warga afrika, dipercayai anggota kumpulan samun yang dikehendaki polis, mati ditembak ketika berbalas tembakan di sebuah pangsapuri di Puchong Jaya, Selangor, pada Khamis malam.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, dalam kejadian pada 10.50 malam itu, polis menyerbu sebuah unit kediaman di tingkat sembilan Menara KLH untuk memberkas suspek, namun lelaki itu telah bertindak melepaskan dua das tembakan.
"Ketika serbuan dilakukan, suspek berseorangan dan tidak mahu memberikan kerjasama, sebaliknya melepaskan dua das tembakan ke arah anggota polis menggunakan senjata jenis revolver, menyebabkan polis terpaksa membalas tembakan suspek,” katanya dalam sidang media di tempat kejadian, pada malam Khamis.
BACA LAGI: [VIDEO] Polis tembak mati 5 penyamun di Putra Heights
Mohd Shuhaily berkata, hasil pemeriksaan di unit kediaman itu, polis menemukan dua bilah parang, nombor plat palsu dan sebuah beg mengandungi wang palsu.
Ujar beliau, suspek turut memiliki kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) yang dipercayai palsu.
"Umur, kewarganegaraan dan dokumen lain berkaitan suspek masih disiasat," katanya.
Menurut beliau, lelaki itu adalah anggota kumpulan samun bersenjata api warga Afrika yang aktif sejak 2018.
Seorang anggota kumpulan berkenaan ditembak mati polis dalam kejadian berbalas tembakan pada 20 Ogos lalu di Subang Jaya manakala tiga lagi anggota kumpulan itu ditangkap pada 25 Ogos ketika cuba menyamun warga Jepun di sebuah pusat beli-belah di ibu negara.
"Polis kini mempergiat usaha memburu saki-baki anggota kumpulan itu," jelasnya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram