[VIDEO] Penjenayah terlibat kes samun bersenjata api maut berbalas tembakan dengan polis di Bandar Sunway


  • Tular
  • Selasa, 20 Ogos 2024

Tangkap layar video tular memaparkan kejadian berbalas tembakan antara polis dan penjenayah di Bandar Sunway pada petang Selasa.

SATU kejadian berbalas tembakan dilaporkan berlaku antara polis dan penjenayah di Bandar Sunway berdekatan PJS, Petaling Jaya, Selangor pada petang Selasa.

Video mengenai insiden tersebut turut tular selepas ia dirakam oleh orang awam yang berada di menara berdekatan lokasi kejadian.

Menurut info awal dikongsikan, insiden itu berlaku sekitar pukul 7 malam Selasa.

"Menakutkan, Macam dalam movie. Kes tembak menembak di Sunway petang tadi (Selasa). Waktu sekitar pukul 6.30 atau 7 petang ketika puncak orang tengah sesak balik kerja dan anak balik sekolah," kongsi Izura Mohamad Sobri yang memuat naik video berkenaan di Facebooknya.

Menurut laporan The Star, seorang penjenayah dipercayai warga asing dilaporkan ditembak mati di lokasi kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan memaklumkan suspek yang maut dipercayai warga asing dari Afrika dan terlibat dalam beberapa kes samun ditembak mati di kawasan PJS, Petaling Jaya.

Tambahnya, kejadian itu berlaku kira-kira pada pukul 7 malam Selasa dan melibatkan pasukan penyiasat dari Bukit Aman.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Shuhaily Mohd Zain berkata, suspek berusia dalam lingkungan 30-an.

Menurutnya, suspek bertindak melepaskan lima das tembakan apabila diarah memberhentikan kenderaan.

Katanya, suspek merupakan individu dikehendaki yang bergiat aktif dalam jenayah samun bersenjata api di sekitar Lembah Klang.

“Dalam insiden kejar mengejar dua das tembakan telah mengenai kenderaan polis sebelum suspek berjaya ditumpaskan.

“Suspek bergiat aktif dalam kegiatan samun bersenjata api sejak 2018 dengan jumlah keseluruhan sebanyak 45 kes. Jumlah kerugian sebanyak hampir RM8 juta,” katanya.

2869523

Polis turut menemui sepucuk pistol jenis ‘revolver’ yang digunakan suspek sewaktu insiden tembakan. — The Star

Mengulas lanjut, polis masih lagi memburu kira-kira 10 lagi suspek lain yang dipercayai terdiri daripada lelaki dan perempuan berasal dari negara sama.

Hasil siasatan, polis turut menemui sepucuk pistol jenis ‘revolver’ yang digunakan suspek sewaktu insiden tembakan.

Ditanya mengenai modus operandi suspek, kumpulan ini dikatakan menawarkan jualan barang kemas, pertukaran mata wang asing, serta beberapa pelaburan lain di media sosial.

Suspek akan bertemu mangsa di hotel dan akan diarah ke lokasi seterusnya menaiki kenderaan bersama sebelum ahli kumpulan lain mula menyerang menggunakan senjata,” katanya lagi.

Ujarnya lagi, operasi berkenaan dijalankan sepasukan anggota polis dari Bukit Aman hasil risikan melibatkan kerjasama polis dari Selangor dan Kuala Lumpur. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram