SYARIKAT pemasaran dalam industri makanan dan minuman (F&B), Broku Sdn Bhd kini melancarkan satu platform dalam talian, dinamakan broku.com bagi mengumpulkan kesemua kedai makan yang beroperasi di dalam negara.
Naib Presiden Broku Sdn Bhd, Nizran Kudus berkata, idea mewujudkan broku.com itu bertujuan membina satu platform utama bagi rakyat Malaysia untuk mencari tempat makan.
Ujarnya, berbeza dengan enjin carian dalam talian seperti Google, pengguna akan ditawarkan dengan pengalaman carian yang lebih komprehensif meliputi ulasan restoran, penilaian, lokasi dan menu restoran dan seterusnya membuat pilihan lebih baik.
"Sekarang ini, kalau kita nak pergi travel, kita boleh lihat banyak platform yang kita boleh pergi untuk nak cari hotel misalnya macam Agoda, Booking.com dan Trivago. Banyak industri lain pun ada platform sedemikian.
"Tapi kalau dalam F&B, sebenarnya belum ada satu platform yang kalau kita terfikir nak pergi kalau nak pergi cari makan. Biasanya, kalau orang nak cari kedai makan, mereka akan google sahaja.
"Memang dekat situ akan ada ulasan semua, tapi akhirnya pengguna masih perlu cari juga mengenai restoran itu di sosial media restoran tersebut untuk tahu lebih lanjut. Jadi benda itu leceh," katanya kepada Majoriti.
Muka depan laman web broku.com yang sudah dilancarkan.
Nizran berkata, broku.com yang bakal dilancarkan pada September itu menyasarkan penyertaan awal sekurang-kurangnya 1,000 restoran untuk disenaraikan di platform tersebut.
Mengulas lebih lanjut, beliau berkata, broku.com juga boleh dijadikan sebagai alat pemasaran oleh pemilik restoran dan kedai makan bagi mendapat pendedahan lebih meluas sekali gus menarik lebih ramai pelanggan.
Dengan pengalaman melatih kira-kira 50,000 usahawan F&B, beliau berkata, platform dalam talian tersebut akan turut diterapkan dengan 15 inovasi strategi pemasaran terbukti berkesan yang akan dimasukkan menerusi ciri atau feature bakal diketengahkan.
"Sepanjang kita memberikan latihan kepada pengusaha restoran ini, kita dah banyak cuba pelbagai jenis strategi pemasaran. Menerusi pengalaman itu, kita dah tahu yang mana efektif dan mana yang tak efektif.
"Jadi, daripada situ kita ada lebih kurang 15 strategi yang memang kita selalu gunakan untuk tarik jualan pergi ke restoran ini. Kesemua itu kita akan jadikan ia sebagai features di dalam platform broku.com.
"Antaranya ada benda-benda macam yang biasa kita dengar seperti pemberian baucar, cabutan bertuah dan loyalty program. Selain itu ada juga benda-benda unik yang mungkin orang orang tak guna dan kita akan guna di dalam platform ini," katanya.
Nizran berkata, Broku Sdn Bhd ketika ini sudah melatih kira-kira 50,000 usahawan F&B menerusi modul yang disediakan. — Facebook/NizranKudus
Nizran berkata, untuk menyertai platform tersebut, pihaknya menyediakan dua pilihan iaitu secara percuma dan berbayar.
Bagi yang menyertainya secara percuma, mereka akan disenaraikan di bawah broku.com dengan syarat mereka perlu memberikan sepuluh makanan percuma kepada pelanggan.
"Kiranya sepuluh makanan percuma itu kira macam kos pemasaran merekalah untuk setiap hari. Kalau kita nak suruh restoran ini buat marketing, mungkin mereka ini akan terbeban.
"Tapi dengan bagi 10 makanan percuma, mereka sebenarnya pasti akan dapat sekurang-kurangnya 10 orang yang datang kedai dia. Jadi, kalau setiap orang itu datang dengan orang lain, akhirnya pelanggan mereka akan berkembang," ujarnya.
Bagi restoran yang menyertai broku.com secara berbayar, Nizran berkata, mereka akan memperoleh pelbagai jenis manfaat lain yang berpotensi membantu jualan mereka termasuk seperti promosi, diskaun, dan baucar. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram