Pernah anggap hasil inovasi sia-sia, graduan UMK berjaya angkat 'Moktey' hingga ke Amerika Syarikat


  • Bizz
  • Khamis, 05 Sep 2024

Nur Amira (kiri) menghasilkan produk Moktey yang tercetus hasil daripada idea pensyarahnya ketika sedang berada di tahun akhir pengajiannya di UMK Kelantan.

BERDEPAN keraguan ciptaan produk sendiri, hasil inovasi dipandang rendah kerana terlalu muda, itu merupakan antara cabaran dihadapi oleh Nur Amira Azmi dalam perjalanannya untuk mengeluarkan produk makanan kesihatan berasaskan buah-buahan dikenali sebagai Moktey.

Moktey merupakan makanan tambahan yang mengandungi cuka rambutan dan ekstrak tembikai yang memberikan manfaat untuk meningkatkan penghadaman, membantu menurunkan berat badan dan meningkatkan kesihatan keseluruhan.

Dengan didatangkan dalam bentuk gummies atau geli kunyahan bagi membolehkannya mudah dimakan, salah satu keistimewaannya adalah kandungan mineralnya yang tinggi dan bersaiz kecil serta mudah dibawa ke mana-mana.

BACA LAGI: Mula berjualan sejak universiti, duo graduan UKM, UM berganding bina Pelita Dhihin tumpu pasarkan 'buku berat'

BACA LAGI: Lepas tembusi pasaran hampir 30 negara, John ada misi jadikan Hausboom syarikat minuman terbesar negara

Ciri tersebut membolehkan Moktey yang diinspirasikan namanya daripada panggilan dialek Kelantan bagi rambutan untuk menjadi teman setia pengguna dalam memastikan keseimbangan tubuh badan pada bila-bila masa.

Berkongsi kepada Majoriti, Nur Amira, 26, yang juga anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan, berkata, idea asal bagi penciptaan produk berkenaan pada awalnya tercetus daripada pensyarahnya yang juga Dekan Fakulti Industri Asas Tani, Universiti Malaysia Kelantan, Profesor Madya Dr Seri Intan Mokhtar.

Menurutnya, pada waktu itu, dia secara kebetulan berada dalam tahun akhir pengajian ijazah sarjana muda jurusan Sains Gunaan di universiti tersebut.

"Idea bagi projek cuka rambutan ini sebenarnya daripada dia. Tapi sebab saya waktu itu merupakan salah seorang daripada pelajarnya, jadi saya bawa projek berkenaan di untuk tahun akhir pengajian saya," ujarnya.

Sementara itu, Nur Amira berkata, sebagai seorang yang masih bergelar pelajar pada waktu itu, dia sememangnya tidak menaruh sebarang harapan bahawa produk daripada projek sedemikian memiliki potensi untuk dipasarkan.

Ujarnya, pada waktu itu juga, kepercayaan kebanyakan pengkaji terhadap kebolehpasaran produk inovasi di Malaysia juga agak rendah.

"Secara jujurnya, saya memang tak jangka ia boleh dipasarkan waktu itu mungkin saya terlalu muda. Bila umur macam itu, kita rasa benda macam ini orang dewasa sahaja yang buat.

"Kemudian masalah di Malaysia waktu itu adalah semua orang boleh buat kajian, tapi tak semua boleh komersialkan kajian yang anda buat," kongsinya.

Bagaimanapun, Nur Amira yang menyelesaikan pengajiannya pada 2021 berkata, dia cukup berterima kasih kepada pensyarahnya dan pihak UMK kerana menerapkan mentaliti keusahawanan kepada pelajar termasuk bagi mereka yang meneruskan pengajian dalam bidang sains.

Dengan sokongan tersebut, Nur Amira berkata, dia turut menyertai beberapa sesi pembentangan idea sebelum akhirnya dipilih dan mendapat sokongan menerusi Malaysia Social Innovation Accelerator Program - MySIAP di bawah Yayasan Inovasi Malaysia (YIM).

Di bawah program tersebut, beliau berkata, semua peserta diberikan mentor dan mendapat latihan serta panduan bagi proses memasarkan inovasi produk masing-masing.

"Menerusi program ini, peserta akan dilatih untuk mempersoalkan produk anda sendiri. Pada waktu ini, saya sebenarnya membuatkan saya pernah berfikir bahawa produk saya ini memang sia-sia.

"Saya juga pernah beberapa kali mengalami mental breakdown sebab masih tak yakin dengan projek ini sehinggalah saya berjaya untuk membuat jualan pertama pada 2022, iaitu kira-kira selepas hampir dua tahun projek itu dimulakan," ujarnya.

exoticfruits-Rambutan-farmers-market

Dengan membuat produk kesihatan berasaskan rambutan, projek inovasi Moktey turut berjaya membantu petani mengatasi isu lambakan buah-buahan tersebut yang berlaku setiap kali tiba musim rambutan. — Gambar hiasan/Agensi

Dalam pada itu, Nur Amira untuk memasarkan produk tersebut, dia juga perlu menyertai pelbagai siri persidangan dan acara termasuk acara yang dianjurkan oleh kerajaan dalam usahanya bagi memperkenalkan produk tersebut.

Sepanjang tempoh dua tahun tersebut, dia turut terlibat dalam segala proses yang diperlukan termasuk perkembangan produk, pemasaran dan jualan.

"Memang ada naik turun sebab bila kita jenama baru, lagi-lagi orang nampak kita muda baru berusia 23 tahun waktu itu, ia tidak mudah. Bila kita buka reruai di mana-mana acara, mereka tak ambil serius apa yang kita cuba perkenalkan," ujarnya yang kini sudah bekerja di sebuah syarikat kosmetik di sekitar Lembah Klang.

Dalam pada itu, Nur Amira berkata, tidak hanya sekadar untuk keuntungan, dia berkata, perkara yang lebih penting daripada inovasi produknya adalah bagaimana ia mampu memberikan impak sosial kepada masyarakat sekitar.

"Bagi saya Moktey itu sendiri adalah usaha saya bagi mempromosikan tradisi saya yang berasal daripada Kelantan.

"Kemudian produk ini juga cuba untuk menyelesaikan isu sosial. Sebagai contoh ketika musim rambutan, banyak berlaku lambakan rambutan dan buah-buahan lain dan kita cuba tangani isu tersebut.

"Jadi menerusi produk saya ini kami beli daripada petani dan tolong mereka jual dengan jadikan rambutan itu kepada cuka yang boleh tahan lama untuk elak pembaziran," katanya yang turut memaklumkan seramai kira-kira 20 petani berjaya dibantu melalui projek berkenaan.

Sementara itu, hasil inovasi oleh Nur Amira itu membawanya menyertai Young Southeast Asian Leaders Initiative yang berlangsung di Amerika Syarikat (AS), program mengumpulkan anak muda yang memberikan impak terhadap komuniti masing-masing di seluruh dunia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram