SEORANG lelaki didapati mencuri seutas rantai emas di sebuah kedai menjual barangan kemas di Bandar Botanik, Klang pada Rabu kini diburu polis.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada seorang jurujual berusia 25 tahun pukul 4.28 petang.
Hoong Fong berkata, pengadu memberitahu bahawa suspek lelaki warga tempatan, Muhamad Syafiq Zaharuddin masuk ke dalam premis dengan memberi alasan untuk mencari dan membeli rantai emas sebagai hadiah kepada ibunya.
BACA LAGI: [VIDEO] Isteri pertama sendiri pergi meminang, Sanusi sahkan kahwin pegawai polis
Katanya, pengadu kemudiannya mengeluarkan dan menunjukkan seutas rantai leher yang dipilih suspek ketika itu.
"Suspek pada awalnya keluar dari kedai untuk bercakap dengan telefon bimbitnya sebelum masuk kembali ke dalam kedai.
"Suspek terus mengambil rantai emas bernilai RM24,800 tersebut dan melarikan diri dengan menggunakan motosikal yang diparkir di hadapan kedai," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, pihaknya kini mengenal pasti suspek berusia 28 tahun itu dan dalam usaha melakukan tangkapan.
Tambahnya, satu kertas siasatan sudah dibuka di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan iaitu mencuri dalam bangunan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian juga diminta menghubungi Ibu Pejabat Daerah Klang Selatan di talian 03-33762222 bagi membantu siasatan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram