[VIDEO] Isteri pertama sendiri pergi meminang, Sanusi sahkan kahwin pegawai polis


  • Primer
  • Rabu, 04 Sep 2024

Sanusi (kiri) mengaku bahawa isteri pertamanya, Tok Puan Jusmalailani (kanan) melaksanakan proses meminang isteri keduanya.

MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengesahkan dakwaan berhubung isu perkahwinan keduanya dengan seorang penjawat awam yang menjadi persoalan dalam kalangan masyarakat sejak belakangan ini.

Memetik laporan Astro Awani, beliau sah mengahwini isteri keduanya yang merupakan pegawai polis beberapa bulan lalu.

Menurutnya, proses perkahwinan itu dilaksanakan mengikut proses dan undang-undang perkahwinan yang sah malah, ia juga dilakukan sendiri oleh isteri pertamanya, Tok Puan Jusmalailani Jusoh.

BACA LAGI: [VIDEO] ‘Akhirnya saya tangkap orang yang nak tangkap saya’, Sanusi beri ‘hint’ kahwin lagi bersama penjawat awam

BACA LAGI: Ketum: MB Kedah pernah cadang eksport, tak sangka sekarang jadi punca utama pelajar malas ke sekolah

Beliau berkata, majlis tersebut berjalan dengan sempurna, teratur dan lancar serta turut dihadiri isteri pertama bersama anak-anaknya.

Beliau menjelaskan bahawa pendedahan itu terpaksa dilakukan bagi mengelakkan lebih banyak spekulasi tidak benar atau fitnah berkaitannya dan keluarga tersebar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu juga menambah, tindakan merahsiakan perkahwinan keduanya sebelum ini adalah bertujuan untuk menghalang daripada wujudnya cerita sensasi berhubung dirinya.

Beliau pada masa sama enggan mengulas lebih lanjut berhubung statusnya selepas membuat pendedahan tersebut serta berharap agar orang ramai berhenti menimbulkan isu berkenaan.

Sebelum ini, status perkahwinan Sanusi tular di media sosial selepas timbul dakwaan mengatakan beliau sudah berkahwin lagi dengan seorang pegawai polis yang terlibat dalam siasatan REE sebelum ini.

Malah, gambar seorang wanita yang didakwa isteri keduanya turut tersebar luas. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram