TEKNOLOGI kecerdasan buatan (AI) kini menjadi inovasi utama dalam pelbagai bidang terutamanya industri pembinaan.
Penggunaan perisian komputer Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM) antara inisiatif yang sedang dipelopori Jabatan Kerja Raya (JKR).
BIM adalah proses untuk merancang, mereka bentuk, membina dan menguruskan bangunan atau infra menggunakan model tiga dimensi atau 3D.
BACA LAGI: [VIDEO] Elak asap bakar sampah punca 2 penunggang motosikal maut bertembung di Kota Bharu
Penggunaan BIM dengan model 3D merupakan inovasi JKR yang perlu diperluaskan. — JKR
Dengan menggunakan inovasi itu, lukisan reka bentuk dapat dihasilkan lebih cepat dan tempoh pembinaan dapat dipendekkan kira-kira 10 hingga 15 peratus berbanding kaedah biasa.
Menurut Jurutera Awam Kanan dalam Unit Permodelan Maklumat Bangunan (UBIM), Wan Norliss Ibrahim, kaedah biasa yang dimaksudkan adalah dengan menggunakan model 2D atau salinan lukisan sebagai gambaran pembinaan sesebuah bangunan kepada kontraktor.
Wan Norliss berkata, selain memudahkan kontraktor mendapat bayangan jelas, peralihan kepada 3D juga giat diperluas dan diperkasakan bagi memastikan kerja-kerja penyusunan mekanikal dan elektrikal diselaras sesuai dengan bangunan yang dibina.
Katanya, walaupun pendekatan model 3D diperkenalkan sejak Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK10) iaitu pada 2011, pihak JKR masih meneliti pelaksanaan dan keberkesanannya dalam proses pembinaan bangunan di Malaysia.
Wan berkata, reka bentuk bangunan dengan kaedah 3D merangkumi beberapa pecahan model yang dihasilkan oleh unit-unit terlibat seperti arkitek, kontraktor, mekanikal dan elektrik.
"Sebagai contoh, unit mekanikal dan elektrik akan bangunkan model 3D mereka untuk sistem penghawa dingin, kebakaran dan banyak lagi.
"Manakala daripada aspek struktur bangunan pula ada unit hasilkan model 3D itu dalam proses susunan tiang, dinding atau tapak bangunan," katanya kepada Majoriti.
JKR menitikberatkan elemen penyelarasan setiap sudut bangunan menggunakan model 3D. — JKR
Ia sekali gus membantu mengurangkan risiko serta mengelakkan masalah penyelarasan terutamanya berkaitan dengan kesesuaian saiz perabot dan ruang di dalam bangunan ketika proses binaan dilaksanakan.
Katanya lagi, kaedah 3D juga memberikan kelebihan kepada pelanggan melihat bayangan penuh ciri-ciri struktur dan sistem dalam bangunan yang akan dihasilkan.
Jika sebelum ini fokusnya hanya pada projek kerajaan, tetapi Wan berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar bersetuju untuk meluaskan penggunaan BIM tersebut kepada projek-projek swasta.
Berdepan dengan cabaran kekurangan kakitangan di cawangan arkitek di UBIM, mereka mengambil langkah menghasilkan satu inovasi iaitu templat digital dipanggil sebagai Templat Reka Bentuk Sekolah (Temflex) BIM dalam pembinaan sekolah.
Templat tersebut juga akan dibentangkan oleh arkitek bagi membolehkan pelaksana membina sekolah kondusif, sistematik serta ruang bilik darjah yang selesa untuk kegunaan pelajar.
Templat penggunaan TemFlex yang digunakan para arkitek di JKR untuk membina sekolah.
Hal ini kerana, pembinaan sekolah antara projek paling banyak iaitu kira-kira 300 buah sekolah seluruh Malaysia dan ia memerlukan ketangkasan untuk dilaksanakan.
Pendekatan itu sekali gus berpotensi untuk mengatasi isu kekurangan bilik darjah di sekolah kerana adanya pelan yang teratur sebelum binaan sekolah dibangunkan.
Tambahnya, JKR turut menyasarkan penggunaan BIM secara 100 peratus sebelum memasuki 2025 kerana kekerapan model 3D sudah mencapai tahap 80 peratus pada 2024.
Selaras dengan saranan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof pada Mei lalu, penggunaan teknologi tersebut dapat mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing berkemahiran rendah dalam industri pembinaan.
Menurutnya, di samping dapat memperkasa dan menonjolkan kontraktor tempatan, langkah itu secara tidak langsung boleh menutup jurang produktiviti untuk kekal berdaya saing sehingga di peringkat antarabangsa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram