Tiada alasan luar biasa, mahkamah tolak jaminan pegawai polis didakwa bunuh pelajar


Suspek tidak mengaku bersalah kerana melanggar pelajar 17 tahun di Ipoh. — The Star

PERMOHONAN seorang pegawai polis yang didakwa membunuh pelajar sekolah berusia 17 tahun di Ipoh, Perak pada 2023 untuk mendapatkan jaminan mahkamah ditolak.

Memetik laporan The Star, Hakim Mahkamah Tinggi Ipoh, Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet berkata pada Khamis, permohonan tertuduh, Mohd Nazri Abdul Razak, 45, ditolak kerana tiada alasan luar biasa diberikan untuk mendapatkan jaminan tersebut.

Sebagai rekod, Nazri merupakan pegawai polis berpangkat Deputi Superintendan Polis (DSP).

BACA LAGI: Polis rempuh maut pelajar SPM di Ipoh tak mengaku bersalah, 1 Julai sebutan semula kes

BACA LAGI: Kes langgar pelajar Ipoh: Saya tak akan kompromi dengan anggota buat jenayah — KPN

Pada 15 Disember lalu, Nazri dipercayai membunuh pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Jati, Ipoh, Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17 di Jalan Taman Jati 1, Ipoh sekitar 12.05 hingga 12.40 tengah hari.

Nazri difahamkan merempuh Zaharif Affendi dengan kereta yang dinaikinya hingga menyebabkan pelajar tersebut maut.

Pegawai polis itu bagaimana pun tidak mengaku bersalah sewaktu pertuduhan dibaca pada Mei lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Sekiranya didapati bersalah, Nazri boleh dihukum mati dan menerima sebatan tidak kurang daripada 12 kali. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram