Kehadiran peguam boleh jejas siasatan, SPRM nafi langgar undang-undang ketika soal siasat anak Tun Daim


  • Primer
  • Jumaat, 23 Ogos 2024

Menurut kenyataan itu, SPRM tidak bertindak sewenang-wenangnya untuk menghalang wakil guaman dan sentiasa mematuhi undang-undang dalam semua proses siasatannya.

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tampil memberikan penjelasan berhubung dakwaan mengenai penafian hak anak kepada bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin, iaitu Wira Dani untuk diwakili peguam ketika disoal siasat.

Dalam satu kenyataan, badan pencegahan rasuah itu menegaskan ia menjalankan fungsi dan tugasannya dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan dan komited untuk menghormati hak undang-undang individu yang terlibat dalam kes sedang disiasat.

Ujarnya, SPRM tidak bertindak sewenang-wenangnya untuk menghalang wakil guaman dan sentiasa mematuhi undang-undang dalam semua proses siasatannya.

BACA LAGI: Tawarkan pengalaman unik dan mengasyikkan antara kunci industri runcit buku mampu kekal relevan

BACA LAGI: 3PBI rangka pelan komprehensif tingkat mutu Bahasa Inggeris di sekolah seluruh negara

"Untuk makluman, Wira Dani Abdul Daim telah dipanggil ke Ibu Pejabat SPRM Putrajaya di bawah Seksyen 30(1) Akta SPRM 2009 untuk memberikan keterangan sebagai saksi dalam siasatan sedang dijalankan.

"Dalam hal berkaitan, terdapat keputusan kes duluan (precedent case) yang membenarkan penangguhan sementara hak wakil guaman semasa prosedur siasatan tertentu," jelas kenyataan itu.

6215355257349848299 (1)

Wira Dani Abdul Daim

SPRM turut merujuk kepada keputusan kes Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia & Ors lwn Latheefa Beebi Koya & Anor (2017) 5 MLJ 349, yang menetapkan bahawa Artikel 5(3) Perlembagaan Persekutuan tidak menjamin hak wakil guaman semasa rakaman keterangan saksi.

Malah, menurut kenyataan itu, bagi kes tersebut, mahkamah mendapati tiada asas undang-undang atau Perlembagaan untuk kehadiran peguam semasa rakaman keterangan kerana Akta SPRM 2009 tidak memperuntukkan hak tersebut.

Sehubungan itu, SPRM berkata, untuk kes melibatkan Wira Dani, pegawai penyiasatnya percaya kehadiran peguam mewakilinya boleh menjejaskan siasatan.

"Keputusan untuk tidak membenarkan peguam Wira Dani bersama sewaktu rakaman percakapan adalah selaras dengan keputusan kes yang dinyatakan di atas.

"Perlu diingatkan bahawa walaupun Artikel 5(3) Perlembagaan Persekutuan menjamin hak perwakilan perguaman dalam prosiding jenayah, hak ini tertakluk kepada pengecualian dan had tertentu.

"Sebagai contoh, dalam kes Datuk Hasanah Ab Hamid lwn Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Kerajaan Malaysia (2019) 10 CLJ 191, Hakim Datuk Nordin Hassan menegaskan bahawa hak mendapatkan wakil guaman boleh dikenakan sekatan sementara jika ia mengganggu siasatan," tambah kenyataan itu.

6215355257349848352 (1)

Tun Daim Zainuddin.

Pada masa sama, SPRM turut menyatakan bahawa badan itu kekal komited untuk menegakkan Perlembagaan Persekutuan dan memastikan proses penyiasatannya dijalankan dengan adil serta mengikut peruntukan undang-undang yang sedia ada.

Pada Jumaat, peguam mewakili Wira Dani, Rajesh Nagarajan mendakwa anak guamnya dinafikan hak untuk mendapat representasi undang-undang ketika disoal siasat SPRM.

Beliau mendakwa, pegawai SPRM menolak permintaannya sebagai wakil peguam untuk mengiringi Wira Dani.

Rajesh mendakwa, anak guamnya telah dipanggil ke ibu pejabat SPRM pada 22 Ogos lalu untuk membantu siasatan lanjut terhadap Daim.

Pada awal tahun ini, Daim yang juga bekas Menteri Kewangan didakwa gagal mematuhi notis SPRM dengan tidak mengisytiharkan 70 aset hartanya dan satu bank akaun, Disember tahun lalu.

Bagaimanapun, beliau mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan ke atasnya di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

SPRM sebelum itu dilaporkan menyiasat Daim berhubung dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram dibuat berdasarkan maklumat daripada Kertas Pandora. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram