TEORI dakwaan Datuk Seri Najib Razak adalah bayangan Loe Taek Jho (Jho Low) tidak mempunyai bukti untuk disokong, kata Mahkamah Tinggi.
Peguam Najib, Wan Azwan Aiman Wan Fakhruddin menyampaikan hujahnya bahawa pihak pendakwaan mempunyai niat tidak baik apabila menggunakan teori tersebut sepanjang prosiding kes itu.
Wan Azwan berkata, perbuatan jenayah Jho Low tidak boleh disamakan atau disifatkan sebagai kemahuan mahupun niat Najib.
"Mesti ada bukti jelas dan langsung atau tidak langsung untuk mewajarkan tuduhan ini," katanya pada Khamis.
BACA LAGI: Tuduhan Najib seleweng dana RM2.28 bilion cacat, bertindih — Shafee
BACA LAGI: Saman AS$346 juta 1MDB: Rosmah Mansor perlu fail pernyataan pembelaan sebelum 4 Julai
Jho Low
Pihak pembelaan kemudiannya menegaskan, teori itu hanya bertujuan untuk menolak kesalahan persubahatan itu pada seorang.
Tambahnya, perbuatan yang dilakukan oleh Jho Low harus dianggap seolah-olah ia ditugaskan oleh Najib tanpa sebarang bukti yang boleh dipercayai.
"Teori ini menyimpang daripada doktrin undang-undang berhubung niat bersama, konspirasi jenayah atau persubahatan yang memerlukan pembuktian niat bersama atau persediaan antara individu untuk melakukan jenayah bersama.
"Menariknya, Najib tidak pula didakwa mempunyai niat bersama dengan Jho Low untuk kesalahan ini," jelasnya.
Untuk rekod, Najib dibicarakan 25 pertuduhan secara keseluruhan: empat kerana salah guna kuasa yang didakwa membawa manfaat kewangan kepadanya mencecah RM2.28 bilion; dan 21 untuk pengubahan wang haram yang melibatkan jumlah wang yang sama.
Empat pertuduhan salah guna kuasa itu dirangka mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali ganda nilai atau suapan, atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, apabila disabitkan.
Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001, yang membawa hukuman denda maksimum RM5 juta dan penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah disambung semula pada 2 September nanti. — The Star/NURBAITI HAMDAN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram