Kes langgar pelajar Ipoh : Saya tak akan kompromi dengan anggota buat jenayah — KPN


  • 112
  • Isnin, 18 Dis 2023

Razarudin berkata, setiap anggota pasukan keselamatan perlu sentiasa menjaga nama baik pasukan dan tidak berselindung di sebalik pakaian seragam polis apabila melakukan jenayah.

KEPUTUSAN Jabatan Peguam Negara untuk mendakwa pegawai kanan polis yang dipercayai terlibat dalam kes kemalangan maut seorang pelajar tingkatan lima di Meru, Ipoh, Perak, Jumaat lepas di bawah kesalahan membunuh membuktikan ketelusan pihak berkuasa dalam menjalankan siasatan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husin berkata, tindakan mendakwa pegawai berpangkat Deputi Superintenden (DSP) itu di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaaan di Mahkamah Majistret Ipoh pada Isnin diputuskan Jabatan Peguam Negara berdasarkan bukti dan keterangan diperoleh hasil siasatan menyeluruh pegawai penyiasat.

"Keputusan ini memperlihatkan ketelusan polis dalam melakukan siasatan terhadap sebarang kes jenayah termasuk melibatkan pegawai kanan polis. Siasatan kes ini dikendalikan Ketua Polis Negeri dan Ketua Polis Daerah Ipoh bersama pasukan siasatan dengan baik dan berkredibiliti.

"Saya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana anggota atau pegawai yang melakukan jenayah, saya akan pastikan siasatan yang telus dan adil dijalankan bagi menjaga nama baik pasukan ini," katanya kepada Bernama.

Beliau mengulas kenyataan Jabatan Peguam Negara pada Ahad yang memaklumkan akan mendakwa suspek dipercayai terlibat dengan kes membabitkan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati itu di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Razarudin berkata, pegawai itu akan ditahan kerja sebaik sahaja didakwa di mahkamah pada Isnin.

Pada masa sama, beliau mahu setiap pegawai dan anggota polis mengambil iktibar serta pengajaran daripada kes tersebut.

Beliau berkata, setiap anggota pasukan keselamatan itu perlu sentiasa menjaga nama baik pasukan dan tidak berselindung di sebalik pakaian seragam polis apabila melakukan jenayah.

Pada 15 Disember lalu, tular di media sosial seorang pelajar lelaki maut selepas motosikal yang dinaiki dilanggar dan diseret oleh sebuah kereta di Jalan Taman Jati berhampiran SMK Jati di Meru, Ipoh dipercayai dipandu oleh seorang pegawai kanan polis berusia 44 tahun.

Kemalangan pada kira-kira 12.30 tengah hari itu menyebabkan Muhammad Zaharif Affendi, 17, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian dada dan abdomen.

Susulan itu, pegawai kanan polis berkenaan ditahan reman selama tiga hari bermula semalam bagi membantu siasatan. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram