GANGGUAN kesihatan mental menjadi antara masalah utama lebih-lebih lagi dalam kalangan remaja atau generasi Z yang semakin dibimbangi sejak kebelakangan ini.
Berdasarkan tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Malaysia, satu daripada 10 remaja Malaysia mengalami masalah tekanan emosi.
Lebih merisaukan apabila Psikiatri Hospital Pakar (KPJ) Ampang Puteri, Kuala Lumpur, Dr Azhar Md Zain berkata, Tinjauan Kesihatan Mental Kebangsaan 2017 mendapati, 10 peratus daripada 5.5 juta belia di negara ini pernah terfikir untuk membunuh diri.
BACA LAGI: Cameron Highlands perlu berubah, contohi insiatif di Sungai Melaka kekalkan daya tarikan
Gangguan kesihatan mental kerap menjadi masalah dalam kalangan generasi Z. — Gambar hiasan/Agensi
Malah, mengikut Kaji Selidik Global Gen Z dan Millenial 2022, golongan muda itu juga dilaporkan kerap tertekan dengan bebanan di tempat kerja.
Berdasarkan dapatan kajian itu, sebanyak 65 peratus daripada generasi Z di Malaysia berasa keletihan melampau (burn out) disebabkan permintaan pekerjaan yang lebih tinggi berbanding kadar global pada 46 peratus.
Ia sekali gus menyebabkan golongan itu lebih cenderung memilih untuk tidak bekerja di sebuah syarikat untuk tempoh yang panjang atau gemar melakukan job-hopping.
Job-hopping merupakan satu amalan pekerja menukar kerja dari satu syarikat ke satu syarikat lain dalam masa singkat.
Bukan itu sahaja, kaji selidik Randstad Malaysia 2023, mendapati bahawa dua daripada lima rakyat di Malaysia bersamaan dengan 39 peratus memilih tidak bekerja di pejabat.
Mereka juga lebih terbuka terhadap konsep seperti bekerja sambilan, kerja dari jarak jauh atau bekerja sendiri.
Ia bagaimanapun didorong oleh beberapa faktor terutamanya daripada aspek kesihatan dan kesejahteraan mental serta emosi.
Generasi sekarang lebih mementingkan persekitaran yang sihat ketika bekerja. — Gambar hiasan/Agensi
Menurut seorang perunding sambilan, Mohamad Danniel Iskandar Abdul Rahim, 28, generasi kini membuat keputusan demikian mengikut keadaan di tempat kerja.
Mohamad Danniel yang pernah mengalami situasi itu berkata, golongan generasi itu lebih mementingkan kesejahteraan mental daripada mengejar keuntungan.
Katanya, selain melihat tangga gaji sesuai dengan kos sara hidup lebih-lebih lagi yang menetap di kawasan bandar pesat seperti di Kuala Lumpur, persekitaran tempat kerja adalah lebih utama bagi menentukan ketahanan dalam sesebuah syarikat itu.
"Bagi saya, mereka tak akan lakukan perkara itu sesuka hati atau sebab kehendak mereka sendiri. Tetapi, ia terjadi apabila apa mereka mahukan tidak dapat dicapai ketika bekerja.
"Contohnya seperti, gaji yang boleh tampung kehidupan mereka lagi-lagi pada 2024 dengan harga barang semakin meningkat berbanding pendapatan.
"Perkara ini juga boleh membuatkan mereka tertekan untuk menguruskan aktiviti harian dan menampung gaya hidup selesa," katanya kepada Majoriti.
Bekerja di pejabat dianggap tidak dapat mengembangkan potensi diri. — Gambar hiasan/Agensi
Jelasnya lagi, generasi Z juga cenderung bertindak sedemikian kerana sentiasa mahukan peluang mengembangkan potensi diri yang mungkin tidak ditawarkan oleh sesetengah syarikat.
Mohamad Danniel berkata, panduan kerja tetap atau sama setiap hari mungkin tidak dapat memberi kebebasan atau kepuasan dalam bekerja.
Bukan sekadar itu, Mohamad Danniel memberitahu, generasi sekarang sangat berhati-hati dengan keadaan toksik di tempat kerja.
Mereka sedaya upaya cuba untuk mengelak daripada menerima impak negatif daripada rakan sekerja mahupun majikan yang toksik.
Hal ini kerana, individu toksik di persekitaran tempat kerja secara konsisten menunjukkan tingkah laku negatif boleh memberi kesan kepada rakan, pasukan dan kualiti kerja.
"Jadi, mereka mungkin akan mengelakkan diri daripada terkena tempias aura negatif itu dengan berhenti dan cari kerja di tempat lain.
"Apabila dapat kesan sahaja perkara itu, mereka terus bertindak serta-merta kerana ia boleh menjejaskan mental jika ia dilakukan secara berterusan," jelasnya.
Mohamad Danniel berkongsi pandangan itu berdasarkan pengalamannya sebelum ini.
Tambahnya, perkara itu juga didorong oleh peluang-peluang pekerjaan lebih meluas yang ditawarkan melalui platform mudah diakses seperti media sosial.
Mengulas lanjut, Mohamad Danniel mengingat kembali momen dirinya ketika memulakan langkah pertama keluar daripada kelompok bekerja di dalam pejabat.
"Saya pernah bekerja dalam bidang pemasaran di sebuah syarikat korporat suatu ketika dahulu dan saya tidak ditawarkan sebarang kenaikan gaji jika mahu memperbaharui kontrak.
"Tetapi, sebelum kontrak tamat, saya sudah rasa kosong ketika bekerja. Ada satu saat itu rasa macam jiwa dah mati sebab seperti kerja yang dibuat itu sia-sia," kongsinya.
Disebabkan itu, dia membuat keputusan untuk tidak meneruskan pekerjaan dalam dunia korporat atau terikat di bawah arahan majikan demi kepuasan dan kesejahteraan mentalnya.
Baginya, mengejar cita-cita diimpikan bukanlah perkara utama yang perlu dikejar dan digapai kerana ia memerlukan proses berterusan di dalam hidup meskipun tidak bekerja.
Dia menambah bahawa tidak mempunyai atau mengetahui identiti diri juga bukan satu kesalahan dan kegagalan.
"Kita boleh cari perkara seperti itu, setiap hari boleh bertanya kepada diri sendiri tentang bagaimana nak jalani kehidupan ini walaupun masih tidak tahu apa cita-citanya," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram