Tidak sekadar jual bateri, Bateriku.com kini jadi platform lahir usahawan jana pendapatan boleh cecah RM10,000 sebulan


  • Bizz
  • Isnin, 02 Sep 2024

Bateriku.com kini bukan sekadar menjual dan menukar bateri, tetapi juga berkembang menawarkan penyelesaian menyeluruh untuk pelbagai masalah kenderaan.

RAMAI yang mengenali Bateriku.com sebagai pakar dalam perkhidmatan penukaran bateri, tetapi apa yang tidak diketahui adalah bahawa syarikat ini telah berkembang menjadi sebuah organisasi perniagaan yang jauh lebih besar.

Ditubuhkan pada tahun 2014, Bateriku.com kini bukan sekadar menjual dan menukar bateri, tetapi juga menawarkan penyelesaian menyeluruh untuk pelbagai masalah kenderaan.

Selain itu, syarikat ini turut membuka peluang pekerjaan dan perniagaan, membantu orang ramai menjana pendapatan melalui rangkaian perkhidmatan mereka.

BACA LAGI: 20 tahun berurut rumah ke rumah antara liku Azlina bergelar usahawan spa berjaya, raih pendapatan cecah RM50,000 sebulan

BACA LAGI: 'Steady yob!', lelaki asal Bagan Serai raih pendapatan cecah RM5,000 sebulan jadi pendandan 'si bulus'

Dalam tempoh hampir 10 tahun, Bateriku.com telah berkembang daripada operasi yang bermula dengan sebuah van kepada 100 rangkaian kedai di seluruh negara, disokong oleh pusat panggilan 24 jam yang sentiasa bersedia membantu pengguna.

Kini, syarikat tempatan ini mencatatkan jualan yang mengagumkan, mencapai 1,000 bateri sehari, berbanding hanya 1,000 unit sebulan pada awal penubuhannya.

Selain itu, hasil daripada keyakinan yang ditunjukkan pengguna, Bateriku.com kini turut mengeluarkan jenama bateri sendiri iaitu Astra yang sudah terjual sebanyak 200,000 unit sejak pertama kali diperkenalkan pada April 2022.

Berkongsi mengenai perjalanan Bateriku.com, Ketua Pegawai Eksekutif yang juga Pengasas Bateriku (M) Sdn Bhd, Azarol Faizi berkata, sebelum memulakan syarikat tersebut, dia terlebih dahulu terlibat dalam industri tersebut sebagai vendor bateri kepada Proton, Perodua dan Mitsubishi.

Interview CEO Bateriku, Encik Azarol Faizi

Ketua Pegawai Eksekutif yang juga Pengasas Bateriku (M) Sdn Bhd, Azarol Faizi.

"Dalam tempoh itu saya melihat corak mereka menjual kepada pelanggan. Dari situ terdetik ingin tahu siapa yang membeli. Sebagai vendor kami terikat kontrak, sekiranya kontrak tidak disambung pastinya ia akan memberi kesan.

"Jadi, dengan rangkaian sedia ada dan pengetahuan berkaitan bateri, timbul idea untuk menjual sendiri," ujarnya.

Pada masa itu, Azarol berkata, negara turut menyaksikan kemasukan syarikat seperti Uber dan Food Panda yang menembusi pasaran dengan pesanan melalui aplikasi.

Mengambil inspirasi daripada perkembangan tersebut, di samping wujudnya permintaan sedia ada, beliau berkata, Bateriku.com mula mengorak langkah dalam perniagaan tersebut dengan mempromosikan perkhidmatannya di media sosial.

"Sebulan ada permintaan, bulan kedua makin meningkat jadi saya fikir kami sudah boleh keluar dan luaskan pasaran di luar Lembah Klang dengan lokasi terawal di Johor.

"Kami teruskan kaedah pasaran tanpa kedai dengan hanya sediakan juruteknik untuk promosikan perkhidmatan," ujarnya.

Cetusan idea perkembangan operasi syarikat

Interview CEO Bateriku, Encik Azarol Faizi

Setakat ini, lebih 1,000 individu sudah dilatih untuk menjadi BHero dengan bilangan yang aktif adalah sekitar 500 orang.

Dua tahun selepas beroperasi, Azarol berkata, syarikatnya kemudian menerima kedatangan individu yang menawarkan diri untuk menjadi wakil penjual bagi syarikatnya.

Pada waktu itu, beliau berkata, idea untuk melakukan melantik wakil jualan tersebut langsung tidak pernah berada dalam perancangan.

"Jadi, saya minta ikut kaedah kami selama sebulan. Penjual kami asalnya seorang pemandu teksi dari Banting, Selangor dan merupakan pelanggan Bateriku.com.

"Jadi apabila melihat dia berjaya, kami buka peluang perniagaan ini kepada orang ramai. Secara perlahan berkembang ke seluruh negara," kongsinya.

Pada waktu ini, aplikasi Bateriku.com juga menjadi medium penyelesaian masalah kenderaan dari A hingga Z, merangkumi bantuan hingga ke bengkel sekiranya kerosakan bukan berpunca daripada bateri.

Azarol berkata, pada awalnya, kaedah pesanan menerusi aplikasi digunakan bertujuan bagi mengurangkan risiko kesilapan.

Pada peringkat awal, beliau berkata, pihaknya menggunakan perkhidmatan pihak luar untuk membangunkan aplikasi tersebut sebelum berupaya membina pasukan sendiri dalam menambahbaik aplikasi berkenaan.

Interview CEO Bateriku, Encik Azarol Faizi

Bateriku.com menyediakan pusat panggilan 24 jam yang sentiasa bersedia membantu pengguna.

"Selepas daripada itu, kami bukan sahaja menyediakan perkhidmatan bateri, malah turut menawarkan bantuan di tepi jalan raya termasuk menghidupkan kenderaan, masalah tayar, kehabisan petrol, kereta terkunci dan trak tunda," katanya.

Susulan daripada langkah memperluaskan perkhidmatan disediakan itu, Azarol berkata, ia turut membuka jalan kepada syarikatnya untuk bekerjasama dengan syarikat insurans.

"Kami mendapat kepercayaan kerana mempunyai jaringan yang luas. Model kami usahakan ini juga memberi penyelesaian kepada pengguna dari peringkat awal. Jika masalah bateri kami tukar manakala sekiranya kerosakan lain akan dibawa ke bengkel," jelasnya.

Bantu orang ramai jana pendapatan, bina perniagaan

Interview CEO Bateriku, Encik Azarol Faizi

Azarol berkata, syarikatnya mempunyai perancangan untuk meluaskan operasinya ke luar negara berbekalkan dengan keyakinan terhadap kualiti jenama yang berjaya dibina sejak hampir sedekad beroperasi.

Dalam pada itu, berkongsi kepada Majoriti, Azarol berkata, Bateriku.com turut mempunyai akademi untuk menyediakan latihan kepada wakil mereka yang dikenali sebagai BHero untuk menguasai kemahiran diperlukan bagi memastikan kualiti perkhidmatan syarikat,

"Ada beberapa peringkat dalam akademi merangkumi latihan peringkat awal selama dua hari. Mereka perlu tahu jenis, cara memeriksa bateri dan kaedah menukar bateri serta mengenal pasti punca kereta tidak dapat dihidupkan atau sebaliknya selain perlu mahir menukar tayar.

"Apabila lulus kami akan lepaskan mereka bekerja selama 12 jam di lapangan. Mereka harus lengkapkan tugas-tugas ini dengan pemantauan penyelia sebelum dibenarkan menjadi BHero," ujarnya.

Azarol berkata, setakat ini, lebih 1,000 individu sudah dilatih untuk menjadi BHero dengan bilangan yang aktif adalah sekitar 500 orang.

Menyentuh mengenai pendapatan yang diperolehi, beliau berkata, BHero menerima imbuhan bayaran sebanyak RM35 untuk penukaran satu bateri bersaiz kecil hingga RM60 bagi bateri besar.

"Kalau hari-hari buat satu bateri sahaja pun sudah mencecah RM1,000 sebulan bagi yang melakukan secara separuh masa. Ada juga BHero yang komited pernah mencecah RM8,000 hingga RM10,000 sebulan.

"Bagi Hero yang beralih kepada BPreneur iaitu usahawan, kami mempunyai 30 individu. Mereka pulang ke kampung halaman dan menjadi usahawan di tempat masing masing. Ada usia awal 20-an sudah menjadi usahawan seperti di Yan dan Kuala Ketil di Kedah.

"Kebiasaan mereka ambil masa satu ke dua tahun daripada BHero beralih kepada BPreneur. Ini sesuatu yang membanggakan," jelasnya.

Bergerak ke hadapan, Azarol mengakui bahawa syarikatnya mempunyai perancangan untuk meluaskan operasinya ke luar negara berbekalkan dengan keyakinan terhadap kualiti jenama yang berjaya dibina sejak hampir sedekad beroperasi.

Ujarnya, pertemuan bersama pembekal luar juga sudah diadakan khususnya melibatkan rangkaian perniagaan di negara seperti Indonesia dan Thailand.

"Kami mempunyai teknologi, aplikasi yang boleh digunakan di mana sahaja. Paling penting mereka yang berada di lapangan perlu dilatih. Sebelum berkembang ke Indonesia misalnya, harus siap siaga dari segi prosedur operasi standard, sistem dan sebagainya.

"Selain itu, diharapkan aplikasi ini menjadi platform bagi mereka yang ingin membeli alat ganti kenderaan pada masa akan datang," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram