[VIDEO] Mekanik dedah tak tidur seminggu akibat dadah, ketagihan punca terjebak pelbagai kes jenayah


  • Massa
  • Selasa, 03 Sep 2024

Kavin (kanan) antara yang menggunakan alasan pekerjaannya sebagai mekanik untuk menggunakan bahan terlarang itu.

NIAT mengambil dadah atas alasan mahu kekal bertenaga pada awalnya memberi impak positif dalam meningkatkan prestasi kerja, tetapi lama-kelamaan amalan itu bertukar menjadi ketagih.

Itulah yang berlaku kepada klien Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Seri Iskandar, Perak yang dikenali sebagai Kavin, ketika mengimbau saat dirinya bergelumang dengan najis dadah kononnya untuk membantu mengekalkan stamina sepanjang tempoh bekerja sebagai mekanik.

Sebelum ketagih dengan dadah jenis methamphetamine atau syabu, lelaki berusia 21 tahun itu mulanya sekadar 'cuba-cuba' ketika bergaul dengan rakan sebaya di kawasan perumahan.

BACA LAGI: 'Maaf sebab banyak tipu', Jason akui masalah keluarga punca ketagih dadah sejak usia 11 tahun

BACA LAGI: [VIDEO] Sanggup tinggalkan bayi baru lahir kerana dadah, nenek muda ingin rasai erti merdeka sebenar

"Pada awalnya saya bercampur dengan rakan sebaya di kawasan perumahan semasa umur 15 tahun. Masa itu, saya rasa nak cuba kerana tengok mereka (rakan-rakan) tengah hisap. Selain ambil syabu, saya juga pernah cuba ganja.

"Sebagai foreman memang perlu stay up, dadah pula memang mudah dapat dalam kalangan rakan-rakan.

"Pada awalnya memang okay tapi lama-lama tukar negatif. Saya jadi cepat marah dan banyak menyendiri. Barang (dadah) ada baru dapat bekerja, masa tu memang dah drug addict," katanya ketika pertemuan eksklusif di Puspen Seri Iskandar baru-baru ini.

Mengambil dadah sintetik seperti syabu membuatkan Kavin menjadi lebih bertenaga dan boleh berjaga malam selama berhari-hari, malahan dia mengakui pernah tidak dapat tidur selama seminggu.

Hubungan anak ketiga dari empat beradik yang dulunya rapat dengan ahli keluarga itu juga semakin renggang akibat bahan terlarang berkenaan, selain dia juga sering meminta wang dari mereka untuk membeli dadah.

WhatsApp Image 2024-09-02 at 20.14.53

Selain mengambil syabu, Kavin juga uga pernah mencuba ganja.

Selain terlibat dalam penyalahgunaan dadah, klien dari Melaka itu juga terjebak dengan kes jenayah seperti berjudi, mencuri sehingga ditangkap pihak berkuasa pada usia 16 tahun dan paling teruk menjual dadah untuk mendapatkan wang lebih.

"Saya selalu minta duit tapi mereka tak tahu saya nak wang untuk beli dadah. Hari-hari minta duit, saya cuba berhenti tapi bila dah jumpa kawan lama terus terjebak lagi. Awal-awal habis dalam RM50 untuk dadah.

"Masa 18 tahun, saya jual juga dadah di kawasan taman perumahan. Bila dapat untung seronok tapi lepas itu tak cukup tidur. Kiranya ketika umur 15 tahun saya terjebak dadah dan semasa 18 tahun saya dah jadi penjual," kongsinya.

Selepas hampir lima tahun terjebak dalam kancah dadah, Kavin akhirnya ditangkap oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan menjejakkan kaki secara mandatori ke Puspen Seri Iskandar pada November 2023.

Puspen Seri Iskandar bukan sahaja membantu Kavin mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) selepas berhenti sekolah setakat Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3), malah dirnya juga banyak berubah daripada segi sahsiah dan kerohanian, malahan bersemangat untuk menamatkan baki 15 bulan lagi program di pusat berkenaan.

Interviu klien AADK. — AZLINA ABDULLAH/The Star

Bercucuk tanam antara program yang dijalankan di Puspen Seri Iskandar.

Bukan hanya Kavin yang terjebak dengan ketagihan dadah gara-gara tuntutan kerja kerana johan bagi kategori Tilawah Al-Quran AADK negeri mewakili Kelantan bagi Program i-DEEN Kepulihan (AADK) Tahun 2024 turut mengalami kisah sama.

Menyoroti kisah Rosli sebelum menjejakkan kaki di AADK Kelantan, klien tersebut berkongsi bahawa hukuman mandatori menjadi titik perubahannya meninggalkan dunia gelap yang sudah melekat dalam dirinya selama 20 tahun.

Dari sekadar perasaan ingin tahu mengenai pil kuda, lama-kelamaan dadah jenis sintetik bertukar seolah-olah menjadi 'makanan ruji' Rosli dan pekerjaannya sebagai mekanik kereta menjadi alasan untuk terus menggunakannya.

"Terjebak ketika anak pertama saya dah berumur tujuh. Saya mula dengan pil kuda dan ambilnya sebab pekerjaan. Lepas itu lama-lama ketagih. Mula-mula kawan bekalkan untuk seronok tapi lama-lama ketagih. Pil kuda memang senang dapati, hanya RM10 satu.

"Kawan ada yang jadi pembekal (pil kuda) dan customer yang hantar kereta pun ada bekalkan. Hari-hari memang saya ambil. Bila selalu ambil, saya jadi lebih marah tapi tak pernah naik tangan lagi bila marah," kata ayah kepada enam anak itu.

WhatsApp Image 2024-09-02 at 20.16.35

Pekerjaan Rosli sebagai mekanik kereta menjadi alasan untuk terus mengambil dadah.

Klien tersebut ditemui di Majlis Perasmian Penutup Program i-DEEN Kepulihan (AADK) Tahun 2024, di Ibu Pejabat Agensi Dadah Kebangsaan (AADK), Bangi dekat Selangor pada awal Jun ini.

Setelah dua tahun menjadi penghuni di AADK Bachok, Rosli gembira dengan program yang dijalankan agensi berkenaan dan salah satunya apabila dia boleh kembali mendekatkan diri dengan agama.

Program i-DEEN ini bukan kali pertama disertai Rosli kerana sebelum ini klien berkenaan juga pernah menjadi naib johan bagi memegang anugerah tempat kedua bagi kategori Azan Negeri. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram