MELAKA merupakan antara negeri yang bergiat secara aktif dalam sektor pelancongan.
Dikenali dengan keistimewaan sejarahnya, Bandaraya Melaka juga menjadi lokasi tarikan dan tumpuan pelancong sebagai destinasi percutian.
Masakan tidak, sebanyak 3.7 juta pelancong dalam tempoh 1 Januari hingga 25 Mac lalu direkodkan sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM 2024).
BACA LAGI: Percutian pulau beri ketenangan, 'check-out' 5 syurga tropika wajib dikunjungi di Malaysia
BACA LAGI: [VIDEO] Fire show, sukan ATV jadikan percutian di Avani Sepang Goldcoast lebih mengujakan
Melaka menjadi antara lokasi dan destinasi pelancong. — Gambar hiasan
Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya Negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman memaklumkan bahawa kira-kira 60,000 hingga 70,000 kenderaan dicatatkan memasuki Melaka dalam sehari setiap hujung minggu.
Menurutnya, jumlah pelancong pada 2024 meningkat sebanyak 42.77 peratus dengan 8.63 juta direkodkan ke Melaka pada 2023.
Sehubungan itu, terdapat pelbagai usaha kerajaan Melaka bagi meningkatkan kualiti lokasi tumpuan terutamanya dari aspek kebersihan.
Hal ini kerana, jumlah kutipan sampah di Sungai Melaka dijadikan sebagai penanda aras atau indikator terhadap tahap kebersihan bandarnya sekali gus memberi kesedaran kepada penduduknya.
Pada 2023, Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh memaklumkan, indikator itu juga akan dijadikan garis panduan dalam merangka tindakan susulan untuk mempertingkatkan tahap kebersihan Sungai Melaka dan kawasan sekitarnya demi keselesaan pengunjung.
Mengambil tahu tentang sejarah lokasi itu, Sungai Melaka merupakan saksi pertempuran dengan penjajah dari Portugis serta menjadi tempat bersejarah bagi Kesultanan Melayu Melaka sejak 1402 hingga 1511.
Sungai yang panjangnya mencecah 40 kilometer (km) itu juga pernah berfungsi sebagai laluan perdagangan beberapa rakyat dari luar negara seperti China, India, Timur Tengah, Thailand, Indonesia dan Filipina.
Pelbagai tarikan dan kemudahan disediakan di Sungai Melaka. — Gambar hiasan
Menyulusuri Sungai Melaka, pelbagai kemudahan disediakan serta aktiviti yang boleh dilakukan di sekitar kawasan itu termasuk menaiki bot persiaran Melaka River Cruise.
Justeru, kualiti air sungai juga amat dititikberatkan dan diteliti untuk memastikan ia tidak dicemari mahupun terjejas dengan aktiviti manusia di sekitar itu.
Untuk rekod, kualiti air Sungai Melaka berada di tahap kelas kedua iaitu sederhana tercemar pada 2021 dan 2022 dengan indeks air masing-masing mencatat 80.1 serta 80.3.
Pejabat Ketua Menteri pada Mac lalu bagaimanapun menyatakan bahawa sungai itu juga mencatat indeks kualiti air bersih meningkat kepada 81.5 pada 2023.
Bagi meneruskan usaha dalam meningkatkan lagi indeks kualiti air bersih di Sungai Melaka pada 2024, kerajaan negeri dilihat mengambil langkah progresif melibatkan aktiviti-aktiviti pembersihan bersama rakyat setempat.
Antara inisiatifnya adalah dengan menggunakan teknologi basikal sebagai alat serta medium untuk menjalankan kerja-kerja pembersihan di sepanjang Sungai Melaka.
Pada Disember 2023, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) bekerjasama melestarikan sungai terbabit menerusi penggunaan basikal air pintar (Smart Hydro-Bike).
Basikal air pintar merupakan teknologi baharu sebagai medium pembersihan di Sungai Melaka.
Basikal itu diperbuat daripada kerangka aloi aluminium dan dilengkapi dengan sistem perangkap sampah untuk membersihkan serpihan yang terapung di permukaan air.
Bukan itu sahaja, terdapat juga ciri keselamatan seperti peranti untuk mengesan lokasi basikal sebagai pemantauan dan pengumpulan data.
Di samping dapat membersihkan kawasan sungai, produk inovasi itu juga memberi manfaat kepada kesihatan dan sistem pengangkutan baharu di sepanjang sungai.
Dengan kayuhan basikal yang dilakukan, ia dapat meningkatkan sistem imun serta menguatkan otot-otot badan manusia sambil membersihkan sungai.
Langkah itu secara tidak langsung dapat menarik minat orang ramai untuk menjaga kebersihan Sungai Melaka.
Dalam pada itu, kerajaan negeri juga galak mempromosikan sungai daripada aspek hiburan dengan menaik taraf kemudahan infrastruktur dan pemanjangan serta pelebaran sejauh 2.3 km sehingga ke Melaka Sentral.
Laluan Sungai Melaka Fasa 2 yang mencatat panjang 4.9 km sekali gus dijadikan sebagai pusat latihan sukan air di negeri itu.
Pasar terapung yang sudah dibuka di Sungai Melaka sejak Jun lalu. — Twitter
Orang ramai juga dialu-alukan untuk beriadah dan melakukan latihan sukan air di Sungai Melaka Fasa 2 mengikut jadual yang ditetapkan.
Ia bertujuan sebagai tarikan baharu serta memberi ruang kepada peminat-peminat sukan kanu atau mendayung untuk berlatih.
Subsektor pelancongan berasaskan sukan turut menjadi cara kerajaan Melaka mengekalkan warisan sukan tradisional.
Selain mewujudkan aktiviti komuniti, Sungai Melaka juga dijadikan sebagai pusat perdagangan apabila pasar terapung dibuka kepada orang awam sejak Jun lalu.
Disebabkan pertambahan aktiviti itu sekali gus menjadi faktor kerajaan Melaka giat melaksanakan usaha pembersihan di sungai tersebut .
Bagaimanapun, sikap dan tanggungjawab individu juga memainkan peranan penting bagi menyokong dan memastikan usaha itu terus berjalan untuk tempoh yang panjang.
Budaya mengamalkan membuang sampah di tempat yang betul seperti tong sampah sedia ada perlu diterapkan terutamanya kepada ibu bapa ketika membawa anak kecil di kawasan itu.
Ibu bapa perlu memastikan anak-anak tidak membuang sampah seperti plastik, botol atau cebisan makanan di dalam sungai itu.
Ia kerana, membuang sampah merata-rata di dalam sungai boleh menjadi punca utama kejadian banjir kilat atau tanah runtuh seperti di Cameron Highlands, Pahang.
Menurut Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk Ramli Mohd Noor pada Jun lalu, terdapat segelintir masyarakat tidak bertanggungjawab membuang sampah hingga menyebabkan parit tersumbat dan melimpah lebih-lebih lagi ketika musim tengkujuh berlaku setiap tahun.
Banjir kilat juga itu juga akan menjejaskan kediaman penduduk berhampiran serta menyukarkan perjalanan keluar masuk di kawasan itu.
Situasi itu berlaku apabila air tidak dapat mengalir dengan sempurna akibat banyak sampah yang tersumbat dan akhirnya melimpah hingga berlakunya banjir.
Meskipun kejadian banjir di Kampung Morten yang pernah berlaku pada 2022 berpunca daripada fenomena air laut pasang sehingga menyebabkan limpahan di Sungai Melaka, masyarakat tidak boleh memandang remeh tentang budaya membuang sampah.
Mencegah lebih baik daripada mengubati, justeru pengunjung di Sungai Melaka digalakkan untuk menerapkan amalan menjaga kebersihan ketika melawati atau melakukan aktiviti di kawasan tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram