[VIDEO] Tak perlu susah-payah keluar, aplikasi iClean Selangor boleh diperluas mudahkan urusan lupus barang terpakai


  • Massa
  • Selasa, 03 Sep 2024

Proses melupuskan barangan berat seperti perabot rumah adalah lebih mudah dengan perkhidmatan PBT. — Gambar hiasan/MBS

PROSES perpindahan lokasi kediaman atau rumah kebiasaannya mengambil masa lebih sehari mengikut jumlah dan saiz barang yang hendak dipindahkan.

Selain memerlukan tenaga, ruang memasukkan barang keperluan termasuk perabot seperti kerusi, meja, katil, tilam dan sebagainya juga diperlukan di rumah baharu.

Disebabkan itu, terdapat segelintir pemilik rumah mengambil langkah melupuskan mana-mana barangan lama yang tidak mahu digunakan lagi.

BACA LAGI: [VIDEO] Bela ikan laga 'tak kosong', lepaskan di tempat pembiakan jentik-jentik cara cegah wabak denggi

BACA LAGI: Cameron Highlands perlu berubah, contohi insiatif di Sungai Melaka kekalkan daya tarikan

316963873_527952949373718_3378421518111355399_n

Barangan berat seperti perabot rumah boleh dilupuskan melalui perkhidmatan PBT di kawasan perumahan masing-masing. — Gambar hiasan/Majlis Bandaraya Seremban (MBS)

Berdasarkan kajian Jabatan Alam Sekitar, dijangkakan sebanyak 24.5 juta unit sisa pepejal tidak berfungsi atau e-waste dijangka dihasilkan di Malaysia menjelang tahun 2025.

Komponen di dalam e-waste juga mengandungi bahan-bahan toksik dan berbahaya seperti merkuri, plumbum, kadmium, arsenik, bromin, berlium, dan banyak lagi, sekali gus akan meresap ke dalam bumi serta berisiko mengancam hidupan akuatik dan manusia jika ia tidak dilupuskan secara mesra alam.

Bagi memastikan pelaksanaan sistem pengurusan yang lestari, pengguna atau orang awam bertanggungjawab untuk melupuskan sisa tersebut dengan pihak yang berdaftar atau dilesenkan sahaja.

Justeru, terdapat kaedah yang lebih mudah untuk melupuskan jenis barangan tersebut termasuk perkakas elektrik seperti peti ais, mesin basuh, kipas atau lain-lain.

Pemilik hanya perlu memanfaatkan kemudahan yang disediakan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) di setiap kawasan kediaman anda.

Sebagai contoh, penduduk sekitar kawasan Selangor boleh menggunakan perkhidmatan dengan memuat naik aplikasi iClean Selangor.

Iclean-selangor-1

Aplikasi iClean Selangor yang boleh digunakan warga Selangor.

iClean Selangor adalah antara inovasi dibangunkan syarikat syarikat pengurusan sisa pepejal KDEB Waste Management (KDEBWM) yang beroperasi di 12 PBT di Selangor.

Kesemua PBT itu adalah Majlis Perbandaran Klang (MPK), Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL), Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Perbandaran Sepang (MPSp), Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS), Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB), Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS), Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Cara penggunaannya juga amat mudah dan tidak mengeluarkan kos tinggi kerana iClean Selangor menawarkan perkhidmatan secara percuma sejak 2016 lagi.

Pemilik rumah hanya perlu menghantar informasi atau maklumat barang serta lokasi rumah kepada pihak pengurusan.

Setelah permohonan diluluskan, pihak KDEBWM akan menghubungi pemohon terlebih dahulu sebelum datang untuk mengutip barangan yang ingin dilupuskan.

Di samping memudahkan pergerakan pengguna, ia secara tidak langsung membantu pemilik rumah yang mempunyai kesukaran dan halangan untuk keluar dari rumah seperti warga emas, golongan orang kelainan upaya (OKU) atau individu tanpa kenderaan.

Selain Selangor, perkhidmatan sama juga sebenarnya ada ditawarkan oleh PBT di negeri lain bagi memudahkan pengguna melupuskan barang terpakai.

Jika di Melaka, penduduk di kawasan perumahan dikatakan hanya perlu meletakkan barang yang mahu dilupuskan di luar rumah dan akan dikutip oleh pihak PBT setiap Sabtu.

Bukan itu sahaja, pengguna sekali gus boleh melupuskan atau mengitar semula barang terpakai di hab Pusat Pandu Lalu (Drive-thru) KITARecycle hasil kerjasama SMW Environment bersama semua PBT di Melaka.

Ia merupakan kaedah terbaik bagi mewujudkan aktiviti kitar semula sisa pepejal dengan lebih terancang, sistematik serta mampu dimanfaatkan oleh seluruh penduduk di negeri itu.

Demi keselesaan dan kesejahteraan sesebuah kawasan perumahan, inovasi seperti aplikasi iClean Selangor itu perlu diperluaskan lagi di seluruh Malaysia agar dapat memudahkan PBT dan penduduk melupuskan atau mengitar semula barang terpakai.

Plastics recycling facility MBA Polymers in Kematen, Austria is where plastics from electronics are recycled in a sophisticated manner for reuse in injection and intrusion molding. In the laboratory each load is sampled and amount of plastic, wood, metals, etc. is determined. Angela Nini separates a sample, in background are Wilhelm Stoger and Nicole Wieser. Plastics must be recycled if possible in the EU and incinerated if it is not possible to recycle.

Perkakas elektronik atau e-waste perlu dilpuskan dengan cermat bagi mengelakkan pencemaran alam sekitar. — Gambar hiasan/Agensi

Pihak PBT juga disarankan membuat jadual atau notis pemberitahuan untuk melaksanakan kutipan barang di setiap rumah supaya pengguna dapat bersiap sedia mengaturkan masa menyusun barangan berkenaan.

Segala kemudahan atau perkhidmatan melupuskan barangan tersebut secara tidak langsung dapat mengurangkan risiko pencemaran alam sekitar.

Tindakan membuang atau membakar barangan terbabit secara terbuka akan menjejaskan ekosistem alam, memberi impak negatif kepada tahap kualiti kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan rakyat.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad Mac lalu memaklumkan, kes melibatkan kesalahan itu juga meningkat sebanyak 409 pada 2023 berbanding 289 kes pada 2019.

Maka, tidak salah jika pihak kerajaan negeri lain dapat mempertimbangkan usaha Selangor menyediakan platform mudah untuk melupuskan sisa pepejal dari isi rumah itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram