[VIDEO] Atok, nenek dan cucu dibunuh sebelum rumah dibakar, polis Muar kesan Azman


  • 112
  • Sabtu, 10 Ogos 2024

Polis kini sedang giat mengesan Azman (Gambar kecil) yang merupakan suspek utama kebakaran yang meragut nyawa tiga sekeluarga di sebuah rumah di Kampung Paya Redan, Pagoh pada Jumaat. — PDRM

INSIDEN kebakaran yang meragut nyawa tiga sekeluarga di sebuah rumah di Kampung Paya Redan, dekat Pagoh, Johor pada awal pagi Jumaat diklasifikasikan sebagai kes bunuh.

Menurut Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, kes yang pada awalnya disiasat sebagai mati mengejut kini diklasifikasikan sebagai kes bunuh berikutan terdapat unsur jenayah terhadap mereka yang menyebabkan kematian.

"Polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 436 serta Seksyen 326 kanun sama.

BACA LAGI: Atuk, nenek dan cucu maut rumah separuh kayu, batu dijilat api di Pagoh

BACA LAGI: [VIDEO] Luahan sayu isteri minta pelumba jet ski, Abdullah Abdul Mubin pulang undang sebak

"Seksyen 436 ialah melakukan khianat menggunakan api, manakala Seksyen 326, menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata kepada mangsa yang hidup.

"Usaha mengesan suspek utama kejadian kebakaran itu yang dikenali sebagai Azman Mohamed, 48, masih giat dilakukan,"katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Pada masa, Raiz turut meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai lelaki terbabit supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan Siti Rohayu Salih di talian 016-2199592.

"Mereka juga boleh menghubungi hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar, 06-9564800 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

Terdahulu, Majoriti melaporkan tiga sekeluarga maut, manakala seorang cedera dalam kebakaran membabitkan sebuah rumah tersebut.

Mangsa yang meninggal dunia adalah Mohamed Nor Mohamed Yassin, 82; isterinya, Ara Abdul Hamid, 76; serta cucu mereka, Noradriana Nor Hisyam, 11.

Sementara itu, seorang lagi cucu mereka, Norazima Mohd Radhi, 14, cedera, dan menerima rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF).

Mohamed Nor dan Ara ditemukan maut di tempat kejadian, manakala Noradriana meninggal dunia ketika menerima rawatan di HPSF.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram