'Siap boleh pinjam!', perpustakaan permainan PPR Lembah Subang wajar jadi ikutan


  • Massa
  • Isnin, 26 Ogos 2024

Pelbagai aktiviti dan kemudahan yang disediakan di perpustakaan permainan untuk golongan B40. — Facebook

BILA sebut sahaja tentang perpustakaan, pasti hanya bahan bacaan seperti buku menjadi keutamaan dan faktor bagi sesetengah individu yang memerlukannya.

Selain menjadi tumpuan ulat buku, perpustakaan juga kebiasaannya dikunjungi oleh golongan pelajar sekolah mahupun universiti untuk mencari bahan rujukan.

Namun, siapa sangka sebenarnya wujud sebuah perpustakaan khas buat kanak-kanak bermain dan menimba ilmu secara santai.

BACA LAGI: 'Mereka sentiasa ada rasa ingin mencuba', jurulatih muda tabik semangat anak syurga belajar main golf

BACA LAGI: [VIDEO] Pelajar sanggup hari-hari berlari 5km ke sekolah demi jadi tentera

450446891_510214174722458_17107470538208422_n

Perpustakaan itu dikendalikan oleh penduduk PPR dan sukarelawan bebas. — Facebook

Ia bukan sekadar fiksyen apabila hab bantuan komuniti dilancarkan di Program Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 2, Petaling Jaya, Selangor pada Jun lalu.

Hab tersebut dilancarkan dengan penubuhan Perpustakaan Permainan Toy Library Re:Play di blok C PPR berkenaan.

Kemudahan itu menyediakan ruang dan suasana yang ceria sekali gus dapat mengembangkan kreativiti kanak-kanak serta mengeratkan lagi hubungan kemasyarakatan sesama penduduk.

Malah, Presiden Persatuan Perpustakaan Permainan Malaysia, Wong Poai Hong menyifatkan ia sebagai hab pelbagai fungsi.

"Perpustakaan itu berfungsi sebagai hab permainan di mana kanak-kanak boleh melibatkan diri dengan pelbagai jenis mainan.

"Ia juga merupakan hab kitar semula dengan membersihkan alat permainan yang disumbangkan oleh komuniti PPR Subang 2," katanya.

Bagi memastikan perpustakaan itu dapat beroperasi dengan lancar, pihaknya mengambil pendekatan untuk menjana pendapatan melalui kaedah jualan.

Caranya adalah menjual baki alat permainan terpakai itu kepada mana-mana individu yang berminat di sekitar kawasan itu.

Selain membolehkan kanak-kanak dari keluarga B40 merasai untuk bermain alat permainan, berinteraksi dan mendapatkan pendidikan awal, perpustakaan itu juga memberi manfaat kepada para ibu bapa.

Screenshot (3079)

Ibu bapa disediakan ruang rehat sementara menunggu anak-anak bermain. — The Star

Menurut Wong, perpustakaan tersebut berfungsi sebagai hab sementara untuk ibu bapa berehat sambil anak-anak bermain.

"Kami mewujudkan perpustakaan ini untuk memberikan ibu yang sibuk berehat sebentar sambil anak-anak mereka bermain.

"Kos penjagaan harian seperti taska selalunya terlalu tinggi, terutamanya untuk keluarga yang mempunyai ramai anak. Perpustakaan mainan ini pula menyediakan alternatif berbaloi dan berpatutan," jelasnya.

Inisiatif tersebut secara tidak langsung dapat mewujudkan persekitaran sihat dan mampu melatih komuniti bagi mengendalikan perpustakaan itu secara berpasukan serta mengajar mereka tentang cara peminjaman barang yang tepat.

Hal ini kerana, ia berfungsi seperti perpustakaan tradisional, membolehkan kanak-kanak bermain secara bebas dan meminjam alat permainan untuk dibawa pulang selama beberapa hari.

Ia juga menyediakan ruang komuniti selamat bagi aktiviti pembelajaran yang inklusif dan mesra kanak-kanak melibatkan penduduk PPR.

Usaha yang disokong Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) itu juga mampu menggalakkan interaksi fizikal dalam kalangan kanak-kanak dan mengurangkan trend permainan dalam talian.

Di perpustakaan tersebut turut membantu memberi peluang kepada mereka terutamanya kanak-kanak yang tercicir dalam pendidikan awal.

451191034_510214084722467_4357112587734763210_n

Pengunjung juga dibenarkan untuk meminjam alat permainan untuk beberapa hari. — Facebook

Pegawai Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Mohammad Azli Jamaasin memaklumkan bahawa terdapat rancangan untuk memperluaskan lagi lokasi perpustakaan di PPR lain.

Katanya, ini bertindak sebagai bantuan tambahan kepada masyarakat memerlukan kerana ada di antara mereka yang tidak boleh membaca atau menulis pada usia 10 tahun.

"Dengan inisiatif ini, kami dapat membantu kanak-kanak dari usia muda untuk belajar dan mengembangkan potensi diri," jelasnya.

Dibuka lima hari dalam seminggu, perpustakaan unik itu juga dikendalikan oleh penduduk PPR terbabit supaya memudahkan urusan sepanjang beroperasi.

Lebih istimewa apabila waktu operasi ditetapkan adalah fleksibel untuk memenuhi jadual ibu bapa yang memerlukan perkhidmatan tersebut.

Biasanya, kanak-kanak akan mengunjungi perpustakaan berkenaan pada pukul 6 petang ke atas selepas tamat hari persekolahan mereka.

Antara inisiatif lain yang dirancang adalah untuk melibatkan warga emas sebagai sukarelawan melibatkan pesara guru yang boleh menyumbang, berkongsi pengalaman dan ilmu dengan kanak-kanak B40.

Setakat Jun itu, kira-kira 500 kanak-kanak di PPR Lembah Subang 2 sudah mendaftar dengan perpustakaan tersebut.

Untuk rekod, perpustakaan itu pertama kali dilancarkan untuk golongan B40 adalah di PPR Idaman, Damansara Damai, Petaling Jaya pada 2019.

Perpustakaan B40 di lokasi itu juga giat ditambah baik dan dinaik taraf oleh persatuan komuniti Play Unlimited Malaysia pada 2 Ogos lalu.— The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram