Sanggup tolak 'offer' syarikat Jepun, Muhamad Afiq pilih buat bisnes 'trade in' laptop di Subang bersama abang


  • Bizz
  • Sabtu, 10 Ogos 2024

Muhamad Afiq memutuskan untuk menubuhkan perniagaannya sendiri pada Februari 2023.

KEBANYAKAN anak muda mengimpikan untuk membina prospek kerjaya di syarikat bertaraf antarabangsa yang biasanya menjanjikan masa hadapan lebih cerah.

Sumber pendapatan lebih kukuh dan meyakinkan, ditambah manfaat serta jaringan perhubungan yang lebih meluas menjadi antara faktor penguat segelintir golongan muda ingin meneroka ke alam pekerjaan di peringkat global.

Situasi agak berbeza buat Muhamad Afiq Nor Asri, tawaran untuk berkhidmat di sebuah syarikat multinasional (MNC) yang berasal dari Jepun ditolak selepas memutuskan untuk menubuhkan perniagaannya sendiri pada Februari 2023.

BACA LAGI: Dari mekanik jadi tauke kopi terkemuka, Muhamad Zamry mahu Richiamo Coffee tembusi pasaran antarabangsa

BACA LAGI: [VIDEO] Rama-rama jadi identiti, anak seni kelahiran Perak realisasi impian masa kecil buka bisnes di Bukit Bintang

WhatsApp Image 2024-08-08 at 16.21.44

Kedai yang terletak di Bandar Sunway semakin mendapat perhatian bukan sahaja dalam kalangan pelajar, malah individu bekerjaya.

Meskipun keputusan membina perniagaan berasaskan teknologi komputer riba tersebut pada awalnya tidak dipersetujui keluarga dan rakan-rakan, jejaka berusia sekitar 20-an itu tetap nekad membuktikan dirinya mampu mengusahakan bisnesnya sendiri, dengan bantuan abangnya, Nor Aizuddin Nor Asri, 29, sebagai rakan kongsi.

Gabungan pengalaman Muhamad Afiq dalam bidang jualan, ditambah kemahiran kejuruteraan dimiliki abangnya, menguatkan semangat mereka untuk meneruskan perniagaan itu.

Ditanya punca dirinya mahu membuka perniagaan berbanding menerima tawaran bekerja di syarikat MNC berkenaan, Muhamad Afiq berkata, permintaan terhadap industri tukar beli komputer riba di Malaysia ketika ini sangat tinggi.

Bagaimanapun, penyedia servisnya agak kurang, iaitu tidak melebihi 20 syarikat.

Apatah lagi ujarnya, jelas lulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektronik Bioperubatan dari Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) itu lagi, jika diperhatikan, industri tukar beli komputer riba lebih dimonopoli oleh golongan bukan bumiputera, dengan penglibatan dianggarkan tidak kurang daripada 10 syarikat.

WhatsApp Image 2024-08-08 at 16.21.43 (1)

Muhamad Afiq turut mengikuti beberapa latihan dan mendalami ilmu perniagaan sebelum membuka kedai.

"Di Malaysia lebih banyak kedai yang menjual dan membaiki komputer riba.

"Jadi saya beritahu abang, kenapa kita tak buat konsep perniagaan ini? Lagipun memang impian saya nak terlibat dalam bidang jualan menubuhkan syarikat perkhidmatan teknologi.

"Walaupun pada awalnya keluarga kurang percaya, mereka nak saya pergi kerja di MNC kerana lebih terjamin, tetapi Alhamdulillah, keluarga mulai akur dengan usaha ini," tambahnya.

Bercerita lanjut, pengasas syarikat Neo Technologies itu mengakui, untuk mengusahakan bisnes sendiri bermula dari kosong sememangnya menuntut usaha dan pengorbanan besar.

Katanya, dia terpaksa mengeluarkan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk digunakan sebagai modal menubuhkan bisnesnya.

"Saya ambil masa untuk kumpul wang secukupnya sebelum betul-betul mampu menyewa premis sendiri pada April tahun ini dan merekrut kakitangan bagi membantu melancarkan operasi harian," jelasnya.

Malah untuk memastikan dirinya tidak melangkah ke alam perniagaan dengan tangan kosong, pemuda yang berasal dari Kota Bahru, Kelantan itu memberitahu dia mengikuti beberapa latihan dan mendalami ilmu perniagaan sebelum memutuskan untuk membuka kedai yang beroperasi di Bandar Sunway, Petaling Jaya, Selangor.

"Kebanyakan kedai lain mereka jual barang baharu, tak ramai jual barang terpakai, jadi ilmu dari segi ini (agak berbeza), sangat berisiko jika kita berniaga tanpa ilmu.

"Antara cabaran lain adalah kita kena pandai nilai tawaran harga yang berpatutan dan harga pasaran.

"Kalau beli komputer riba dari pelanggan, kita akan baiki, tambah baik dan ubah suai supaya pembeli baharu dapat menggunakan barang tersebut dalam keadaan baik," ungkapnya sebelum mengakhiri perbualan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram