DSK sokong pindaan RUU untuk penagih dadah


  • Massa
  • Jumaat, 05 Jul 2024

RUU Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) (Pindaan) 2024 dipinda bertujuan untuk meluaskan skop rawatan dan pemulihan kepada penagih dadah atau bahan atau penyalahgunaan dadah atau bahan.

DIARI Survivor Kepulihan (DSK) menyokong penuh Pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 yang dibentangkan di Dewan Rakyat.

Pengasasnya, Suzaidy Sulaiman berkata, RUU itu akan memberi sinar baharu kepada penagih dadah terutamanya dalam aspek pemulihan secara sukarela.

“Ini kerana, pindaan itu telah membuka seluas-luasnya program rawatan dan pemulihan yang disediakan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) baik dalam institusi mahupun komuniti.

BACA LAGI : 39 ahli Parlimen beri respons RUU Penagihan Dadah 2024

BACA LAGI : 'Sibukkan diri bekerja', klien AADK bangkit ubah jalan hitam hingga jadi tauke kambing perap

“Sebelum ini, AADK memperkenalkan kaedah rawatan dan pemulihan secara sukarela di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) dan Pejabat AADK Daerah.

"Tetapi proses itu seakan-akan terbantut terutamanya apabila kami perlu menunggu keputusan patologi yang mengambil masa tiga bulan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

WhatsApp Image 2024-07-04 at 14.02.11

Suzaidy Sulaiman

Jelas Suzaidy lagi, ramai di antara mereka (penagih) yang ingin mendapatkan rawatan pemulihan tetapi kelemahan akta lama menyebabkan kaedah itu telah memperlahankan prosedur mendapatkan rawatan kerana perlu menjalani pelbagai proses seperti kaedah mandatori.

"Proses tersebut secara tidak langsung menjadikan suatu kesulitan sehingga ada diantara kami yang berubah fikiran hanya disebabkan kerenah-kerenah yang tidak wajar diwujudkan.

“Saya percaya melalui pindaan ini akan dapat membuat perubahan dan akses untuk rawatan serta pemulihan lebih mudah, cepat dan tiada karenah birokrasi

“Klien juga masih boleh bekerja dan menikmati kehidupan berkeluarga dengan pemantauan Pegawai Pemulihan AADK terlatih bagi yang mengikuti Program Rawatan Pemulihan Dalam Komuniti (RPDK).

“Tambahan pula, kami yang juga bekas-bekas penagih dan pernah menerima rawatan dan pemulihan di AADK terbukti berjaya mengekalkan kepulihan sehingga melebihi 20 tahun.

“Hasil didikan AADK juga mampu mengubah tingkah laku dan pemikiran kami dengan rangsangan jitu, tanggungjawab, kasih sayang dan keprihatinan yang memberi impak yang besar dalam kehidupan kami," katanya.

Saifuddin Nasution ketika membentang RUU Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) (Pindaan) 2024.

Saifuddin Nasution ketika membentang RUU Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) (Pindaan) 2024.

Terdahulu, RUU Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) (Pindaan) 2024 dibacakan buat kali pertama di Dewan Rakyat pada Selasa lalu.

Rang undang-undang itu antara lain bertujuan meminda Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 (Akta 283) dibentangkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Menurut naskah biru yang disiarkan di laman sesawang Parlimen, rang undang-undang itu antara lain meminda tajuk panjang Akta 283 untuk memperluas ruang lingkupnya supaya merangkumi penagih bahan dan penyalahgunaan dadah atau bahan.

Pindaan juga bertujuan meluaskan skop rawatan dan pemulihan kepada penagih dadah atau bahan atau penyalahgunaan dadah atau bahan, selain pindaan Seksyen 3 untuk memperuntukkan seseorang pegawai boleh menahan dalam jagaan mana-mana orang yang dengan munasabah disyaki sebagai penagih dadah atau bahan atau penyalahgunaan dadah atau bahan.

Selain itu, rang undang-undang terbabit juga akan meminda Seksyen 5 berhubung dengan obligasi mana-mana penagih dadah atau bahan atau penyalahgunaan dadah atau bahan yang disyaki untuk menjalani tatacara ujian.

Pindaan turut meliputi penggantian Seksyen 12 untuk memberi ketua pengarah kuasa menyingkatkan tempoh rawatan dan pemulihan mana-mana orang di mana-mana pusat pemulihan atau pusat khidmat atau dalam komuniti atas apa-apa sebab yang difikirkan patut oleh ketua pengarah.

Saifuddin Nasution berkata, bacaan kedua dan ketiga rang undang-undang berkenaan dijadual dibentangkan pada mesyuarat yang sama. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram