39 ahli Parlimen beri respons RUU Penagihan Dadah 2024


  • Primer
  • Khamis, 04 Jul 2024

Shamsul Anuar mengesahkan RUU Penagih Dadah mendapat respons positif daripada 39 ahli Parlimen.

RANG Undang-Undang (RUU) Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) (Pindaan) 2024 yang dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada Rabu telah berada di peringkat akhir.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, seramai 39 ahli Parlimen telah mendaftar untuk memberi respons mengenai RUU tersebut.

"Ahli Parlimen menunjukkan minat dan prihatin sama ada dari pihak kerajaan dan pembangkang. Semua berhasrat untuk pastikan isu dadah ditangani.

"Matlamat ini menggerakkan masyarakat dari keseluruhan bahawa tanggungjawab ini tak boleh diletakkan kepada satu pihak selain Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN)," katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Penutup Program I-Deen Kepulihan AADK 2024 di Ibu Pejabat AADK, Kajang, Selangor pada Khamis.

BACA LAGI: KDN dalam peringkat akhir pinda Akta Penagih Dadah

BACA LAGI: AADK nafi dakwaan langgar SOP penahanan, suspek tolak pegawai, cuba larikan diri 2 kali

msg1050426791-34764

Saifuddin Nasution ketika membentang RUU Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) (Pindaan) 2024.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Abdul Halim Abdul Rahman; Ketua Pengarah Jabatan Penjara Datuk Nordin Muhamad dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK Khairul Anwar Bachok.

Mengulas lanjut, Shamsul Anuar berkata, pindaan akta itu dapat memberi kekuatan kepada AADK sebagai agensi yang berkesan dalam usaha memulihkan pelanggan.

"Masyarakat komuniti memainkan peranan penting untuk memulihkan mereka.

"Berdasarkan satu data yang kita ada membuktikan bahawa penting untuk meletakkan klien bersama masyarakat itu penting, itu hasrat kita," ujarnya.

Terdahulu, RUU Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) (Pindaan) 2024 dibacakan buat kali pertama di Dewan Rakyat pada Selasa lalu.

Rang undang-undang itu antara lain bertujuan meminda Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 (Akta 283) dibentangkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Menurut naskah biru yang disiarkan di laman sesawang Parlimen, rang undang-undang itu antara lain meminda tajuk panjang Akta 283 untuk memperluas ruang lingkupnya supaya merangkumi penagih bahan dan penyalahgunaam dadah atau bahan.

Pindaan juga bertujuan meluaskan skop rawatan dan pemulihan kepada penagih dadah atau bahan atau penyalahgunaan dadah atau bahan, selain pindaan Seksyen 3 untuk memperuntukkan seseorang pegawai boleh menahan dalam jagaan mana-mana orang yang dengan munasabah disyaki sebagai penagih dadah atau bahan atau penyalahgunaan dadah atau bahan.

Selain itu, rang undang-undang terbabit juga akan meminda Seksyen 5 berhubung dengan obligasi mana-mana penagih dadah atau bahan atau penyalahgunaan dadah atau bahan yang disyaki untuk menjalani tatacara ujian.

Pindaan turut meliputi penggantian Seksyen 12 untuk memberi ketua pengarah kuasa menyingkatkan tempoh rawatan dan pemulihan mana-mana orang di mana-mana pusat pemulihan atau pusat khidmat atau dalam komuniti atas apa-apa sebab yang difikirkan patut oleh ketua pengarah.

Saifuddin Nasution berkata, bacaan kedua dan ketiga rang undang-undang berkenaan dijadual dibentangkan pada mesyuarat yang sama. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram